Selamat Datang ke One Step Blog

Sekadar coretan dan berkongsi informasi yang sedia ada.

Selamat Datang ke One Step Blog

Sekadar coretan dan berkongsi informasi yang sedia ada.

Selamat Datang ke One Step Blog

Sekadar coretan dan berkongsi informasi yang sedia ada.

Selamat Datang ke One Step Blog

Sekadar coretan dan berkongsi informasi yang sedia ada.

Selamat Datang ke One Step Blog

Sekadar coretan dan berkongsi informasi yang sedia ada.

Saturday 26 January 2013

Poster Animasi Malaysia


Poster Animasi Malaysia

Boboiboy


                   

Upin Ipin


Dunia Eichak


Saladin


Bola Kampung


Pada Zaman Dahulu










Thursday 24 January 2013

Trailer Filem Animasi Malaysia Terbaru


Trailer Filem Animasi Malaysia Terbaru 

Bola Kampung The Movie 




In Theaters 21 March 2013 (Malaysia) / April 2013 (Indonesia). 


Synopsis

Amanda merupakan seorang puteri yang berasal dari dunia maya sebuah permainan bernama ‘Kingdom Hill’. Baginda telah dihantar ke Kampung Gong Lechar untuk mencari Perwira Suria, iaitu penyelamat yang boleh menamatkan krisis yang sedang melanda kerajaannya.

Malangnya, baginda hilang ingatan sebaik sahaja tiba di Kampung Gong Lechar. Iwan yang merupakan hero Bola Kampung telah tersalah sangka bahawa Puteri Amanda adalah saudaranya yang sepatutnya datang melawatnya di kampung semasa cuti sekolah. Baginda puteri kemudiannya menghabiskan masanya beramah-mesra bersama Iwan dan rakan-rakannya. Tidak beliau sedari akan hakikat  bahawa seorang anasir perosak dari dunia permainan maya yang berniat untuk membunuh baginda telah muncul di Kampung Gong Lechar.
Ingatan Puteri Amanda kembali pulih sedikit demi sedikit. Misinya untuk mencari pahlawan terpilih iaitu Perwira Suria telah berjaya apabila beliau menyedari bahawa Saboklah perwira yang dicari-cari selama ini. Malang sekali, Puteri Amanda telah ditangkap dan dilarikan oleh anasir perosak dan dipaksa untuk pulang ke dunia permainan maya, Kingdom Hill.

Iwan dan rakan-rakannya bersiap-sedia untuk menyelamatkan Puteri Amanda dan kerajaannya daripada serangan anasir perosak tersebut. Kumar yang merupakan seorang saintis muda kampung itu menyedari bahawa permainan alam maya terkemuka Kingdom Hill telah diserang virus dan mengesyaki virus yang sama menjadi punca kekacauan yang melanda keselamatan kerajaan maya itu.

Iwan, Sabok dan Azizul kemudian memasuki dunia maya Kingdom Hill dengan tujuan untuk menyelamatkan Puteri Amanda sekaligus menghancurkan niat jahat Lord Vilus untuk menakluki kerajaan Kingdom Hills.
“Apabila Fantasi Melangkaui Realiti”



Keratan Akhbar Kosmo


Dunia animasi Aznil, Marsha, Ezlynn


MENJADI pelakon suara untuk animasi Bola Kampung The Movie mencabar imaginasi Ezlynn, Aznil dan Marsha untuk menghidupkan emosi karakter yang mampu memikat hati penonton.


BERMAIN dengan karakter lakonan bukan lagi sesuatu yang asing buat Datuk Aznil Nawawi, Marsha Milan Londoh dan Ezlynn. Namun, membentuk imaginasi karakter kepada watak kartun hanya berdasarkan sekeping kertas mungkin tidak semudah yang dijangkakan.
Mereka bukan hanya terlibat dalam proses rakaman suara, malah lebih daripada itu. Dalam filem animasi 3D terbaharu, Bola Kampung The Movie yang akan ditayangkan pada 21 Mac ini, Aznil, Ezlynn dan Marsha sebaliknya terlibat dengan proses pembentukan karakter animasi bermula daripada proses lakaran awal hinggalah ke proses terakhir.
Atas bahu Aznil tersandang nama Lord Vilus, kuasa jahat yang tamakkan pengaruh dan rupa manakala Puteri Amanda yang masih kanak-kanak pula dihidupkan oleh Marsha. Keluar daripada kepompong Moon seperti yang terlihat dalam Husin, Moon dan Jin Pakai Toncit, Ezlynn pula menzahirkan dirinya menjadi Iwan, budak lelaki super aktif yang handal menyepak bola.
Melihat semula profil Aznil, 50, Ezlynn, 31, dan Marsha, 28, mereka bukanlah pelakon secara total sebaliknya berkembang daripada variasi lapangan. Masing-masing teruja kerana buat pertama kalinya, muncul dalam karakter kartun yang seratus-peratus bercirikan Malaysia.
Pelat Sabah
"Ini kali pertama saya terlibat dalam filem animasi. Semasa mula-mula hendak masuk studio saya hanya diberikan lakaran-lakaran watak Puteri Amanda. Ketika itu semuanya masih atas kertas. Daripada situ, kena banyak berimaginasi, mencari dan membentuk suara yang bagaimana paling sesuai untuk watak kanak-kanak perempuan yang berusia lingkungan empat hingga lima tahun," cerita Marsha yang sebelum ini pernah terlibat dalam rakaman suara dan alih bahasa filem High School Musical 1, 2 dan 3 serta filem animasi The Disco Worms.
SEDIKITmenyepikan diri selepas berkahwin, tahun ini Ezlynn meriah dengan pelbagai produk untuk tatapan peminatnya.


Amanda satu-satunya anak perempuan kepada pemerintah Kingdom Hill. Akibat pencerobohan ke atas negaranya oleh Lord Vilus lakonan suara oleh Aznil Nawawi, Amanda diamanahkan oleh ayahanda dan bondanya untuk mencari Pahlawan Suria bagi memulihkan keamanan Kingdom Hill daripada cengkaman kuasa jahat itu. Dalam pencariannya, Amanda jatuh ke bumi dan ditemui sekumpulan budak kampung.
Turut menyanyikan lagu runut bunyi filem berkenaan bertajuk Rindu duet bersama Harris Alif, cerita Marsha, penglibatannya dalam animasi itu berlaku secara tidak sengaja.
"Tapi bila nak mulakan rakaman suara awal tahun lepas, payah juga sebab kena tiru semula suara yang dikeluarkan masa uji bakat dahulu. Lepas setahun buat rakaman, tetapi hanya baru-baru ini kami dipanggil lagi untuk proses rakaman terakhir sebab nak betulkan mana yang kurang.
"Cabaran juga sebab kami buat rakaman secara berasingan, kena bayangkan sendiri percakapan oleh karakter lain, bawa pula watak budak perempuan umur lingkungan tiga hingga empat tahun," katanya yang mengakui peminat kartun-kartun Disney termasuk merujuk siri Dora The Explorer untuk mengelak rasa kekok dalam studio.
Tambah pelakon yang sedang di lokasi penggambaran Duri Di Hati itu, jika ada yang merasakan pertuturan Amanda kedengaran seperti bahasa persuratan serta pelat kebaratan, dia ada alasan yang kukuh.
"Mujur Amanda datang dari planet asing, anak raja pula. Jadi kalau ada yang kata vokal saya kedengaran pelat sebenarnya itu cuma campuran pelat Sabah dan Inggeris saya. Tak ada niat nak tiru suara Deanna Yusoff," usulnya berderai tawa.
Aznil kepit suara
Sempat mengusik Marsha yang harus melalui sesi uji bakat, Aznil pula dilamar pihak produksi untuk sekali lagi mendokong watak jahat dalam kemunculannya.
"Untuk menjadi Lord Vilus, saya kena kepit suara saya supaya berbeza dengan watak-watak jahat yang pernah saya lakonkan seperti, Prof. Klon, Mr. J atau Ketua Penyamun. Suara itu pula harus kena dengan cara watak itu berjalan, bahasa tubuh dan reaksi muka. Masalahnya, semua itu kena muncul dalam imaginasi. Kalau berlakon sendiri tahulah bagaimana saya nak buat mimik muka, beri reaksi sinikal atau apa sahaja. Saya diberitahu bahawa Lord Vilus asalnya seekor siput yang mahu jadi raja dan memiliki tubuh sendiri.
"Satu hal lagi, bukan hanya kena ubah suara tapi dalam masa yang sama saya mahu penonton masih dapat mengecam bahawa Lord Vilus itu ialah saya. Macam Afdlin Shauki pula, watak Sabuk itu memang nampak macam dia. Paling saya suka apabila Ezlynn bawa suara budak lelaki," beritahu Aznil sambil tidak segan meluahkan rasa kagum terhadap hasil animasi berkenaan yang disifatkannya bertaraf antarabangsa.
Seperkara lagi yang membuatkan Aznil terpanggil untuk menyertai keluarga Bola Kampung The Movie ialah bayaran. Bukan seorang yang materialistik tetapi tawaran Animasia Studios sebenarnya sedikit mengejutkan Aznil yang sudah berdekad bergelumang sepak terajang dalam industri.
BERPERSONALITI ceria dan kelakar dan menjadi idola dalam bidang pengacaraan, ironinya Aznil kerap melakonkan watak jahat di dalam filem dan teater.


Bayaran lumayan
"Bila ditawarkan watak dalam animasi, mulanya saya ingat macam rakaman suara macam biasa. Macam saya buat alih bahasa untuk Robot, The Disco Worms atau Ninja Turtle dahulu, tapi ini lain. Kami rakam suara sebelum ia jadi filem lagi. Saya tengok jumlah bayarannya juga lumayan, macam berlakon satu filem. Kami semua dibayar macam pelakon filem sebenar. Saya fikir filem ini memang ada perancangan besar dan mahu pergi jauh.
"Bila tengok hasilnya, memang saya layak rasa bangga dan tak mustahil ia akan menjadi produk antarabangsa yang membanggakan Malaysia. Kalau ada yang cemburu, pasti macam tak percaya, betul ke animasi ini orang Malaysia yang buat," beritahu Aznil yang kini sibuk dengan rakaman program Master Chef Celebrity musim kedua.
Sama seperti Marsha, awalnya Ezlynn tiba di Animasia Studio untuk tujuan merakamkan single keduanya berjudul Dusta. Kebetulan, ketika itu pihak studio sedang sibuk menguruskan uji bakat. Terlanjur berada di lokasi, Ezlynn bersama suami, Adam Fahmy turut diminta mencuba nasib.
"Bukan saya sahaja, Adam pun cuba juga tapi tak dapat. Masa uji bakat, saya cuba suara Nasha dan Amanda tapi gagal. Kemudian diberi satu peluang lagi supaya buat suara budak lelaki nama Iwan tapi tanpa dialog. Apa yang terkeluar secara spontan tapi ketika itu mereka macam suka gila dengan suara saya.
"Lepas dua minggu, saya dihubungi untuk bawa watak Iwan. Kata Joanna Basey, pengarah vokal filem ini, mujur kebanyakan kami semua ada asas nyanyian jadi mudah untuk pembentuk suara," giliran Ezlynn pula menceritakan pengalamannya.
Harus mengekalkan emosi budak lelaki yang selalu aktif dan teruja dalam setiap tindak-tanduknya, beritahu Ezlynn juga, dia terpaksa berlari-lari anak dan melakukan aksi sebagaimana pergerakan Iwan seperti yang dibayangkan ketika rakaman suara.
"Saya betul-betul kena jadi budak lelaki, nasib baik perasaan itu ada dalam diri saya yang memang suka sukan lasak. Saya juga peminat siri komik, kumpul buku komik dan suka ajuk suara kartun," cerita Ezlynn tentang kegilaannya terhadap dunia animasi.
Jika tidak diberi pendedahan tentang karakter lakonannya, tiada siapa dapat mengagak bahawa suara karakter Iwan dalam filem berkenaan milik penyanyi lagu Hi Hi Bye Bye itu.
Melibatkan pinjaman suara oleh ramai artis termasuklah Noh Hujan, Baki Zainal, Aizat Amdan, Douglas Lim dan Rahim Omar, filem yang turut diterbitkan bersama Young Jump Animation itu juga memperkenalkan satu permainan video online khas Bola Kampung The Movie yang diberi nama Robokicks. Ia boleh dimuat turun secara percuma iOS Apple dan Android.


Asah bakat di ChiliPadee Studio


PARA pelajar ChiliPadee Studio berpeluang mempelajari teknik-teknik dalam penghasilan sesuatu animasi.



ANIMASI kegemaran Mohamed Uwais Mohamed Syairoz, 10, ialah SpongeBob SquarePantsCar dan Toy Story sama seperti rakan-rakan sebayanya. Namun, ibu bapanya dapat mengesan sesuatu yang lain dalam diri kanak-kanak itu.
Mohamed Uwais kelihatan sangat berminat dengan pergerakan dan emosi wajah setiap karakter berbanding kanak-kanak lain yang hanya terpesona pada jalan cerita yang kelakar serta penggunaan warna menarik.
Berikutan perkembangan tersebut, ayah Mohamed Uwais, Mohamed Syairoz Mohd. Odman, 35, mengambil keputusan untuk mendaftarkan anak sulungnya itu ke kelas animasi kanak-kanak, ChiliPadee Studio (CPS) yang terletak di Batu Caves, Selangor.
CPS merupakan kelas animasi khusus untuk kanak-kanak yang pertama di Malaysia. Ia ditubuhkan pada November 2011 dengan menawarkan dua sesi kelas.
Menyasarkan kanak-kanak berumur antara 6 hingga 12 tahun, ia bertujuan untuk meneroka minat kanak-kanak terhadap animasi sekali gus mengasah kemahiran dan mengekalkan minat.
Bilangan pelajar setiap kelas dihadkan bagi memastikan hubungan murid dan guru lebih berkesan serta tidak berlaku sebarang tekanan kepada mereka.
"Kami mahu anak saya meneroka bakat yang ada dalam dirinya dan sebagai ibu bapa, kami perlu memberi sokongan sepenuhnya," kata Mohamed Syairoz ketika ditemui Taman Industri Bolton, Selangor.
Ketika ditanya mengenai cita-cita, Mohamed Uwais yang merupakan murid Sekolah Kebangsaan Taman Seri Gombak, Selangor, pantas menjawab mahu menjadi juruterbang.


UWAIS (kanan) berminat untuk meneroka karakter animasi Toy Story di ChiliPadee Studio.



Skil sandaran
Walaupun berbeza dengan apa yang dipelajarinya, ibu kanak-kanak itu, Saidatul Ashikin optimistik bahawa setiap bakat yang ada dalam diri kanak-kanak itu boleh menjadi skil sandaran pada kemudian hari.
Pada awal Januari lalu, anaknya itu selesai menjalani upacara graduasi setelah tamat kelas peringkat pertama.
Setiap pelajar yang menamatkan pengajian peringkat pertama termasuk menyiapkan setiap tugasan yang ada akan dianugerahkan sijil pencapaian.
Mohamed Uwais seterusnya didaftarkan dalam kelas peringkat kedua. Menurut Mohamed Syairoz, anaknya itu seronok dapat bersama dengan kawan-kawan dalam kelas yang sama.
"Paling penting, Mohamed Uwais tidak pernah kelihatan tertekan dalam menyiapkan tugasan yang diberikan gurunya.
"Penghayatan terhadap kartun juga semakin meningkat terutamanya dari segi mimik muka. Dia dapat memahami kesukaran dalam menghidupkan satu-satu karakter," terang Mohamed Syairoz yang bekerja sebagai pegawai bahagian perhubungan strategik sebuah syarikat swasta.
Antara muka mudah
Kelas animasi kanak-kanak di CPS setakat ini mempunyai dua peringkat yang menggunakan dua perisian yang berbeza iaitu Crazy Talk 6 (CT6) dan Crazy Talk Animator (CTA) masing-masing untuk peringkat yang berbeza.
Perisian CT6 adalah untuk peringkat pertama dengan memberi fokus pada ekspresi wajah dan pergerakan muka, manakala CTA pula, khusus pada pembinaan latar belakang serta pergerakan karakter.
Kedua-dua perisian itu sesuai untuk sistem operasi Microsoft dan merupakan animasi dua dimensi.
Sebenarnya, terdapat beberapa ciri pada perisian tersebut yang membolehkan kanak-kanak boleh mempelajarinya dengan mudah.
Hal itu bertentangan dengan tanggapan lazim yang sering terlintas dalam pemikiran orang ramai iaitu hampir semua perisian melibatkan animasi atau grafik terlalu sukar untuk dipelajari.
Menurut Pengarah CPS, Sazrul Zakri Zakariya, 36, kedua-dua perisian tersebut memberikan hasil akhir seperti karya juruanimasi profesional.
Namun, lelaki yang senang dipanggil Zack itu menambah, perisian tersebut dapat mempercepatkan masa pembikinan antara empat hingga lapan minggu.
Selalunya, bagi satu episod animasi berdurasi 30 minit memerlukan masa lebih kurang 35 minggu untuk disiapkan.
"Ciri jelas yang dapat dilihat ialah interface yang mudah digunakan sehingga kanak-kanak juga boleh menggunakannya," terang Zack yang berasal dari Pulau Pinang tetapi menetap di Seri Gombak, Selangor.
Interface (antara muka) bagi memilih ekspresi wajah dan pergerakan mulut agak senang dan prosesnya hampir berlaku secara automatik dengan suara yang dirakam.
Satu lagi ciri yang ada ialah tetapan (setting) yang telah dilaras lebih awal untuk pergerakan yang biasa dilakukan seperti berjalan, berlari atau menari.
Jadi, apabila pembikin animasi dua dimensi mahu karakter ciptaan mereka bergerak, watak yang sedia ada hanya perlu dimasukkan dan pilih pergerakan yang ada.
Pergerakan yang pelik seperti mahu menghasilkan tarian yang ada identiti seperti hip hop, juruanimasi harus menghasilkan gambar satu persatu.
Selain itu, banyak lagi ciri yang ada seperti watak yang dicipta boleh diberi dekorasi menarik. Contohnya, pakaian yang cantik berdasarkan kepada keinginan pereka.


PERISIAN CrazyTalk yang digunakan mudah untuk difahami oleh kanak-kanak.



Memupuk minat
Paling utama menerusi kelas bimbingan sebegitu adalah mencambahkan kreativiti anak-anak kecil. Melaluinya, minat kanak-kanak dapat dipupuk dan bakat mereka tidak disia-siakan malah dibentuk berdasarkan saluran yang betul.
Pendidikan awal dalam bidang animasi secara umumnya sangat penting dan untuk jangka masa panjang, ia dapat menyumbang kepada pembangunan negara sebagai persediaan sumber tenaga mahir dalam tempoh 20 tahun akan datang.
Tambahan pula, dengan sokongan kerajaan yang memperkenalkan Dasar Industri Kreatif yang memperuntukkan dana sebanyak RM200 juta bagi pembangunan bidang tersebut, ia bakal merancakkan lagi industri.
Pada masa akan datang, industri tersebut bakal melonjak dan sudah pasti negara ini memerlukan ramai tenaga kerja kreatif mahir untuk mengisi permintaan dunia penerbitan filem, muzik, penyiaran dan juga animasi.
Kini, perkembangan dunia animasi Malaysia juga dilihat agak meriah dengan penerbitan kartun kegemaran ramai seperti Upin dan Ipin dan Boboiboy.
Selain industri kreatif dan hiburan, kata Zack, animasi juga sangat berkesan dalam proses pembelajaran di sekolah. Perisian itu sebenarnya sudah digunakan di sekolah-sekolah di Singapura sejak tahun 2010.
Para guru dilatih menggunakan perisian Crazy Talk supaya penyampaian ilmu dibuat dengan lebih kreatif dan menarik dan dalam masa yang sama ia mudah diselenggara.
"Ia boleh menjadi alat bantu mengajar sampingan bersama-sama peralatan sedia ada yang konvensional iaitu papan hitam.
"Kaedah tersebut (konvensional) sudah sangat lama diguna pakai dan barangkali boleh menyebabkan timbul rasa bosan sekali gus membantutkan pengajaran," kata Zack lagi.
Perancangan masa hadapan CPS adalah mahu memperkenalkan kelas untuk pelajar menengah yang berumur antara 13 hingga 17 tahun.
Silibus kelas tersebut menggunakan perisian tiga dimensi, iClone. Kelas tersebut, untuk masa akan datang, turut menerima pelajar dewasa yang berminat untuk mengembangkan bakat dalam animasi.

Keratan Pada 7.03.2013

Mahu setaraf antarabangsa


FILEM animasi Bola Kampung menggunakan tenaga kerja sebanyak 100 orang termasuk animator dan penyumbang suara.


SELAMA ini penonton televisyen terutamanya kanak-kanak di negara ini sering kali dihiburkan dengan pelbagai program animasi yang menarik dari luar negara.
Siri animasi seperti Mickey Mouse, Tom And Jerry, Doraemon dan Crayon Sin Chan merupakan antara produk animasi luar negara yang begitu digemari kanak-kanak di negara ini.
Bagaimanapun, bidang animasi di Malaysia sebenarnya bermula sekitar era 80-an menerusi siri cerita pendek seperti Sang Kancil Dan Buaya, Sang Kancil Menipu Pak Belang dan Arnab Dan Kura-Kura yang disiarkan di saluran TV Pendidikan terbitan Filem Negara Malaysia.
Menariknya, cerita animasi yang diterbitkan itu bukan sekadar hiburan semata-mata, malah ia turut sarat dengan pelbagai mesej yang berguna kepada kanak-kanak.
Kemudian pada tahun 90-an industri animasi tempatan dilihat semakin berkembang dengan pelbagai siri animasi tempatan yang mula mendapat perhatian penonton seperti Usop Sontorian, Kluang Man dan Anak-Anak Sidek.
Seiring dengan peredaran zaman, kualiti produk animasi yang diterbitkan semakin meningkat dan berubah menjadi lebih baik, malah kerajaan menerusi Multimedia Development Corporation (MDeC) juga memang banyak menyokong penggiat animasi tempatan.
Biarpun perkembangan produk animasi tempatan agak lewat berbanding di beberapa negara lain seperti Amerika Syarikat dan Jepun, ketika ini sudah banyak syarikat penerbitan produk animasi tempatan yang telah diwujudkan.
Salah satu syarikat tempatan yang kini semakin proaktif menerbitkan produk animasi ialah Animasia Studio Sdn. Bhd. (Animasia Studio) yang terletak di Taman Sri Jati, Jalan Puchong, Kuala Lumpur.
Pengarah Urusan Animasia Studio, Edmund Chan berkata, syarikat yang mula ditubuhkan pada tahun 2005 itu sememangnya memberikan tumpuan kepada penerbitan produk animasi seperti siri televisyen.
"Matlamat utama penubuhan syarikat ini adalah untuk menghasilkan pelbagai produk animasi yang menarik dan bermutu, memandangkan industri animasi di Malaysia sekarang semakin berkembang maju.
"Sepanjang lapan tahun beroperasi, syarikat ini sudah mempunyai seramai 150 orang animator dan 98 peratus daripadanya merupakan animator tempatan," ujarnya selaku pengasas syarikat tersebut.
Menurutnya, setakat ini Animasia sudah menerbitkan banyak siri animasi Bola Kampung, Supa Strikas, Balla Bowl, Chuck Chicken, ABC Monsters, Ask Lara dan Harry & Bunny.
Menganggap Animasia Studio masih lagi setahun jagung dalam industri animasi tempatan, Edmund menyatakan, pihaknya melahirkan rasa bangga dan gembira dengan pencapaian yang telah diraih.
Ujarnya, setakat ini Animasia Studio merupakan syarikat animasi pertama yang memperoleh sijil ISO certified (ISO 9001:2008) dan mendapat status Koridor Raya Multimedia (MSC) Malaysia.
"Kebanyakan produk-produk animasi yang kami hasilkan pula turut dipasarkan di beberapa buah negara seperti Amerika Syarikat, England dan Sepanyol.
"Salah satu produk animasi yang kami terbitkan berjudul Ask Lara pula turut mendapat pengiktirafan antarabangsa apabila tercalon dalam International Emmy Kids Awards pada bulan lalu," ujarnya tentang perkembangan syarikatnya itu.
Apabila ditanya mengenai sejauh mana perkembangan industri animasi di Malaysia, Edmund memberitahu bahawa animasi tempatan sememangnya mampu bersaing dengan animasi luar negara.
Jelasnya, pada masa ini Malaysia sebenarnya tidak ketandusan bakat anak tempatan dalam bidang animasi dan ramai yang berkebolehan untuk menghasilkan sesebuah produk yang bagus.
Ujar Edmund, pihaknya sangat yakin dalam tempoh beberapa tahun akan datang, Animasia Studio mampu berdiri setanding dengan syarikat animasi antarabangsa.
"Kalau kita lihat sudah ada beberapa siri animasi yang dihasilkan syarikat tempatan mampu menembusi pasaran antarabangsa dan diminati ramai penonton.
"Paling utama produk yang dihasilkan perlulah bermutu dan berkualiti dan kami yakin syarikat ini mampu bersaing dengan syarikat animasi di luar negara menerusi beberapa perancangan yang akan dilaksanakan nanti," ujarnya.


PENGARAH Urusan Animasia Studio, Edmund Chan, telah menubuhkan syarikat dan rumah produksi ini sejak tahun 2005.


Filem pertama
Setelah menerbitkan beberapa siri animasi, kini Animasia Studio bakal tampil dengan filem animasi pertama mereka iaitu Bola Kampung The Movie yang akan ditayangkan pada 21 Mac ini.
Pengarahnya, Ah Loong berkata, sebelum ini pihaknya telah menerbitkan siri animasi Bola Kampung yang telah disiarkan di saluran RTM dan TV9 sejak tahun 2006.
"Sepanjang ditayangkan di kaca televisyen, Bola Kampung telah mendapat sambutan yang sangat baik daripada penonton dan pernah dinobatkan sebagai siri animasi nombor satu pada tahun yang sama.
"Selain itu, ia turut menjadi animasi pertama yang diterbitkan syarikat tempatan disiarkan ke 16 buah negara seperti Indonesia, Vietnam, Turki, Singapura dan Thailand menerusi saluran Disney Channel Asia pada tahun 2007 apabila dialih suara ke dalam bahasa Inggeris dengan menggunakan tajuk Football Kids," jelasnya.
Menurutnya, berdasarkan sambutan yang diterima, pada tahun 2009 pihak syarikat telah bersetuju untuk menerbitkan dalam versi filem iaitu Bola Kampung The Movie.
Mengenai proses penerbitan filem berkenaan, Ah Loong menjelaskan, seramai 100 orang yang terlibat dalam pembikinannya termasuk animator, pemuzik dan penyumbang suara untuk setiap karakter.
"Mungkin ramai yang berasakan kami mengambil tempoh yang panjang iaitu selama empat tahun untuk menghasilkannya. Sebenarnya, ia merupakan suatu perkara yang normal kerana penerbitan sesebuah filem animasi memang mengambil masa lama untuk disiapkan.
"Lagipun banyak proses yang perlu dilakukan seperti pemilihan skrip yang sesuai, menghasilkan story board dan penciptaan setiap karakter animasi agar nampak kelainan berbanding siri televisyen," ujarnya yang turut mengarahkan siri animasi Bola Kampung.
Menurutnya, selain tempoh masa yang panjang untuk menyiapkannya, ia turut melibatkan kos yang sangat besar itu sebanyak RM5 juta dan ia tidak termasuk dalam kos promosi.
"Apa yang menarik tentang Bola Kampung ini, ia menjadi filem animasi pertama berbahasa Melayu yang akan ditayangkan dalam bentuk stereoskopik tiga dimensi (3D). Jadi, penonton boleh menyaksikannya sama ada dalam versi 3D atau normal," ujarnya.


KIRI: Aktres Deana Yusof merupakan salah seorang penyumbang suara dalam filem animasi Bola Kampung.


Elemen tempatan
Berkenaan dengan cabaran sepanjang menghasilkan Bola Kampung The Movie, Chua Chong Tee selaku seorang lagi pengarah menyatakan, cabaran paling utama adalah memastikan filem itu mampu setanding dengan produk animasi yang pernah dihasilkan sebelum ini.
Jelasnya, mereka juga terpaksa mencari jalan cerita yang menarik sehinggakan skrip yang dihasilkan terpaksa diubah beberapa kali.
"Kalau boleh kami tidak mahu terikut-ikut dengan filem animasi seperti di luar negara. Jadi, antara langkah-langkah yang kami lakukan ialah menerapkan lebih banyak elemen tempatan dalam filem ini.
"Misalnya, memaparkan tentang budaya dan kehidupan di kampung yang agak jarang diterapkan dalam kebanyakan filem animasi. Menerusi cara ini ia bukan sahaja mampu menarik minat penonton Malaysia, malah penonton di luar negara sekiranya filem ini dipasarkan ke peringkat antarabangsa," ujarnya.
Mengenai harapannya terhadap filem ini, Choong Tee sememangnya sangat berharap agar para penonton dapat berbangga dengan produk yang dihasilkan oleh anak tempatan serta akan suka dan terhibur setelah menontonnya di pawagam nanti.
"Selain Bola Kampung The Movie, kami sudah merancang untuk menghasilkan beberapa buah filem animasi yang lain pada masa akan datang. Ketika ini kami mahu memberi tumpuan terhadap filem ini terlebih dahulu," jelasnya.
Bola Kampung The Movie mengisahkan tentang Amanda, seorang puteri dari dunia permainan maya Kingdom Hill telah dihantar ke Kampung Gong Lechar untuk mencari seorang wira yang digelar Suria Warrior untuk menyelamatkan Kingdom Hill yang sedang diserang virus.
Setibanya di Kampung Gong Lechar, Amanda telah kehilangan ingatan dan berkawan dengan wira-wira Bola Kampung seperti Iwan, Azizul, Sabok dan Kumar. Iwan pula menyangka Amanda merupakan sepupunya yang sedang bercuti sempena cuti persekolahan dan terus memperkenalkan puteri itu kepada rakan-rakannya.
Menariknya, filem ini turut menggunakan khidmat beberapa artis popular untuk menjadi penyumbang suara iaitu Ezlynn (Iwan), Afdlin Shauki (Sabok), Marsha Milan (Puteri Amanda), Aznil Nawawi (Lord Vilus), Douglas Lim (Szeto), Harun Salim Bachik (Tok Ayah), Deanna Yusoff (Queen) dan Aizat Amdan (Mat).

Komik melangkau sempadan

Komik Supa Strikas yang berasal dari Afrika Selatan kini melebarkan sayapnya di Asia Pasifik dengan memilih Malaysia sebagai negara pertama di rantau itu memilikinya.





ADA sesuatu yang berbeza dalam akhbar Kosmo! pada Sabtu lalu. Bagi pembaca setia akhbar ini, tentunya mereka pantas memahami apa yang dimaksudkan. Ya! itulah komik Supa Strikas yang menjadi sisipan percuma Kosmo! yang diterbitkan pada setiap Sabtu minggu pertama mulai 6 Disember lalu sehingga 28 Februari 2009.
Yang pastinya, ia bukanlah komik yang calang-calang!
Bermula di tempat asalnya, Afrika Selatan pada tahun 2001, komik fenomena ini kemudiannya melebarkan sayap ke negara tetangga seperti Kenya, Botswana, Namibia, Uganda dan Cameroon.
Selepas itu, Supa Strikas menjejaki negara-negara di benua Amerika Selatan seperti Colombia, Salvador, Honduras dan Guatemala.
Kemudian, ia meneruskan kemaraan ke negara-negara Eropah seperti Norway dan Sweden sebelum menembusi Pakistan.
Kini, setelah 17 buah negara dijejaki dalam tempoh kira-kira tujuh tahun, buat pertama kalinya, komik berasaskan bola sepak itu menerobosi Asia Pasifik apabila Malaysia menjadi negara pertama pilihannya sekali gus negara ke-18 di dunia mempunyai komik ini. Lebih mengujakan apabila komik tersebut turut diterjemah ke dalam Bahasa Malaysia.
Modus operandi yang digunakan untuk melebarkan sayap komik di seluruh dunia ialah mengadakan kerjasama dengan akhbar terkemuka di sesebuah negara. Nampaknya Kosmo! berjaya memikat hati mereka.
AH LOONG (dua dari kanan), Uzma, Oliver Power dan Sean Flanagan ketika memperkenalkan komik Supa Strikas eksklusif kepada media di Kuala Lumpur baru-baru ini.


Peluang bersemuka dengan dua tenaga penggerak Supa Strikas dari syarikat Strika Entertainment (Pty) Ltd. Afrika Selatan di Kuala Lumpur, baru-baru ini tidak disia-siakan oleh penulis untuk mengetahui lebih lanjut tentang komik sensasi ini.
"Komik ini telah berkembang pesat dalam tempoh tujuh tahun. Hanya kurang tiga tahun selepas menempa kejayaan di Afrika Selatan, kami tidak berlengah untuk memperkenalkannya di negara-negara jiran. Ia berlaku atas permintaan khalayak ramai di negara-negara tersebut.
"Komik kami dicetak sebanyak 1.5 juta naskhah setiap bulan," kata Pengarah Strika, Oliver Power yang juga bertindak sebagai salah seorang daripada pengasas komik berkenaan.
Pengaruh komik ini turut diakui apabila FIFA menjadikannya sebagai platform untuk mempromosikan Piala Dunia 2010 di Afrika Selatan. Komik ini juga telah diterjemahkan ke dalam lima bahasa iaitu Inggeris, Latin, Perancis, Kenya dan Bahasa Malaysia.
Jenama Supa Strikas juga begitu popular di Afrika Selatan sehingga produk lain berkaitannya seperti baju-t, minuman dan snek turut dikeluarkan untuk dijual di pasar raya-pasar raya.
Bermula dengan hanya tiga tenaga kerja, kini komik Supa Strikas yang berpangkalan di Cape Town, Afrika Selatan berkembang. Ia kini mengupah lebih 50 pekerja merangkumi pereka naratif cerita dan ilustrator bekerja. Setakat ini, sebanyak 92 isu telah diterbitkan.
Memang komik ini diberi percuma iaitu diselitkan di dalam akhbar utama di sesebuah negara, tetapi Supa Strikas telah menjalin usahasama dengan rakan perniagaannya, Chevron yang mengoperasikan jenama bahan bakar, Caltex. Justeru itu, pulangannya adalah dalam bentuk pelaburan bersama.
"Idea penerbitan komik ini tercetus apabila melihat kegilaan orang ramai terhadap sukan bola sepak. Di Afrika, bola sepak merupakan sukan paling popular. Dalam masa yang sama, kami juga sedar manusia gemarkan gambar, lebih-lebih lagi yang lucu dan menyeronokkan. Oleh sebab itu, kami mengadunkan dua kegemaran ini dengan menghasilkan komik Supa Strikas.
OLIVER POWER bersama komik Supa Strikas edisi Malaysia.


"Tahun demi tahun, hubungan kami dengan Caltex semakin mekar. Caltex menjadikan komik sebagai wahana untuk mendekati pelanggannya," kata Power sambil menerangkan Supa Strikas adalah nama pasukan yang dicipta.
Menerusi Supa Strikas, pembaca boleh mengikuti perjalanan hidup watak utamanya, Shakes yang bermain bersama pasukan Supa Strikas dalam liga yang bersifat global. Ia menceritakan bagaimana cabaran yang dilaluinya iaitu bermula sebagai seorang pemain bola jalanan yang kemudian bangkit untuk mencapai apa yang diidamkannya.
"Komik ini membawa kita menyelusuri apa yang diidamkan oleh anak-anak muda yang ingin berjaya dalam sukan ini. Komik ini boleh membakar semangat pembaca untuk merasai pengalaman bermain bola sepak di peringkat antarabangsa. Terbang dari satu negara ke satu negara untuk menyertai perlawanan dan bagaimana rasanya apabila memasuki stadium dan mendengar teriakan kira-kira 60,000 penyokong.
"Kita melihat bagaimana Christiano Ronaldo dan David Beckham sekarang. Tetapi melalui komik ini, kita dapat melihat bagaimana watak fiksyen, Shakes ini melalui cabaran dari satu peringkat ke satu peringkat," katanya.
JENAMA Supa Strikas turut diperluaskan kepada pakaian di Afrika Selatan.


Mengulas lingkungan usia pembaca komik ini, ia sebenarnya tiada batasan. Walaupun, komik biasanya lebih disasarkan kepada golongan yang lebih muda, namun sesiapa sahaja mampu jatuh cinta dengannya.
"Di Afrika Selatan, komik ini merupakan sisipan akhbar The Sunday Times yang dibaca oleh pelbagai peringkat usia tanpa mengira kerjaya," kata eksekutif penajaan Strika, Sean Flanagan.
"Orang ramai membeli surat khabar dan mereka mendapat senaskhah komik percuma. Cabaran yang mungkin timbul bagi kami ialah bagaimana menarik minat orang untuk membacanya," tambahnya.
Beliau menyifatkan komik ini juga mempunyai unsur lucu terutamanya watak yang dimainkan oleh rakan baik Shakes, Spenza.
Kosmo! menyisipkan 13 keluaran Supa Strikas keseluruhannya. Komik dengan 24 muka surat dan berwarna-warni ini akan menyerikan hari Sabtu setiap minggu pertama sehingga 28 Februari 2009 ini. Bagi memastikan keterujaan pembaca berpanjangan, pada setiap hari Sabtu minggu yang lain, terdapat kartun sebabak yang dicetak dalam akhbar Kosmo!.
Menarik juga untuk dikongsikan, selain komik, Supa Strikas juga bakal dianimasikan buat pertama kalinya. Animasi itu akan disiarkan di 15 buah negara. Lebih membanggakan, apabila produksi Malaysia turut diberi kepercayaan untuk menghasilkan animasi berkenaan.
Menurut Ketua Pegawai Operasi produksi Animasia Studio, Ah Loong, ia merupakan projek bertaraf dunia yang pertama akan dikendalikan oleh syarikatnya. Syarikat produksi tersebut sebelum ini pernah mengeluarkan kartun, Bola Kampung.
Animasi Supa Strikas sebanyak 13 episod akan ditayangkan pada setiap Ahad mulai 4 Januari 2009 di RTM2 pukul 5 petang. Animasi berdurasi setengah jam ini diterbitkan dalam Bahasa Malaysia.


Mencungkil bakat juruanimasi muda



PASUKAN Sekolah Menengah Teknik Dengkil dipilih sebagai kumpulan terbaik bengkel sulung DST Animation. Dari kiri: Presiden Lions Club, Flora Tan, Ketua Eksekutif Transtel Technology, KC Lim dan Maimunah Mohd. Tahir.



JIKA anda beranggapan hanya kanak-kanak yang menggemari kartun, pandangan itu mungkin kurang tepat. Hakikatnya, kartun pada hari ini juga diminati oleh golongan dewasa.
Hari ini, industri animasi adalah satu industri yang amat pesat. Permintaan untuk animasi meningkat selari dengan perkembangan dunia penyiaran melalui televisyen, Internet dan permainan elektronik.
Populariti watak-watak animasi juga mampu melahirkan pendapatan sampingan menerusi produk jualan lain seperti baju-T, topi, peralatan tulis dan sebagainya. Malah syarikat yang dianggap pelopor dunia animasi, The Walt Disney Company, melangkah ke tahap yang lebih jauh dengan membina taman-taman tema berkonsepkan animasi seperti Disneyland, studio animasi dan francais barangannya.
Walaupun Malaysia masih hijau dalam bidang ini, namun berdasarkan sambutan masyarakat terhadap filem animasi tempatan Upin dan Ipin: Pengembaraan Bermula pada tahun lalu, ia membuktikan bahawa bidang animasi tempatan mempunyai potensi.
Sehubungan itu, Multimedia Development Corporation Sdn. Bhd. (MDeC) Malaysia menjalin kerjasama dengan Disney Channel Asia Tenggara untuk menganjurkan bengkel animasi buat julung-julung kalinya di negara ini bagi mencungkil bakat-bakat juruanimasi muda di kalangan pelajar-pelajar sekolah yang berusia di antara 10 hingga 14 tahun.
KUMPULAN dari SJKC Dengkil meneliti jalan cerita animasi mereka.


Kerjasama itu diperkukuhkan dengan sokongan Bahagian Teknologi Pendidikan (BTP), Kementerian Pelajaran Malaysia. Pada 20 April lalu, bengkel animasi pertama telah berjaya diadakan di Sekolah Seri Puteri, Cyberjaya. Bengkel itu merupakan yang pertama daripada enam siri bengkel yang dirancangkan di seluruh negara dalam tempoh empat bulan ini.
Bengkel kedua diadakan di Sekolah Kebangsaan Pekan Jaya, Pahang dan akan disusuli oleh bengkel di di Sabah, Kuala Lumpur, Perak dan Johor. Peringkat akhir MSC Malaysia Digital Storytelling Animation Workshop bakal berlangsung di Johor pada Ogos ini.
Cara hasilkan animasi
Lapan buah sekolah iaitu dua buah sekolah rendah dan enam buah sekolah menengah menyertai bengkel di Cyberjaya, manakala di Pekan, sepuluh buah sekolah mengambil bahagian iaitu lapan buah sekolah rendah dan dua buah sekolah menengah.
Setiap sekolah diwakili oleh satu kumpulan yang terdiri daripada seorang guru dan tiga orang pelajar. Sekolah-sekolah yang dipilih adalah sekolah yang mencapai standard empat bintang iaitu yang mempunyai potensi untuk berkembang, berdasarkan keputusan penarafan Smart School Qualification Standard (SSQS) 2009 Kementerian Pelajaran Malaysia.
Para peserta diberi tunjuk ajar oleh pelatih-pelatih profesional dari Transtel Technology (M) Sdn. Bhd. di Cyberjaya dan Inspidea Sdn. Bhd. di Pekan, Pahang. Kedua-dua syarikat tersebut merupakan pakar dalam bidang digital multimedia, pereka sistem, animasi dan sebagainya. Majalah Kawan terbitan Utusan Karya Sdn. Bhd. pula adalah media rasmi bengkel tersebut.


PARA pelajar berbincang dengan guru mereka ketika sesi sumbang saran.



Sepanjang empat hari, peserta-peserta didedahkan kepada pelbagai topik. Bermula daripada sejarah animasi, pembentukan watak dan lukisan, menganimasi, menghasilkan jalan cerita, mengadunkan suara dan pergerakan sehingga penerbitan animasi pendek yang durasinya di antara 90 saat hingga 120 saat.
Kesungguhan pelatih mewujudkan rasa seronok kepada peserta untuk mempelajari cara menghasilkan animasi. Walaupun tidak mempunyai sebarang pengalaman dalam bidang itu, para peserta mendapat kepuasan kerana berjaya menghasilkan animasi mereka sendiri pada penghujung bengkel.
Pada peringkat akhir bengkel setiap kumpulan diberi masa dua minggu untuk memperkemas dan memperbaiki hasil animasi mereka sebelum diserahkan kepada MDec untuk penilaian. Dua hasil animasi terbaik daripada setiap bengkel akan dikumpulkan untuk penilaian peringkat akhir, yang menawarkan hadiah utama berupa percutian ke Disneyland Hong Kong.
Kumpulan yang berjaya ke peringkat akhir akan menyertai bengkel masterclass, berpeluang bertemu dan beramah mesra dengan juruanimasi Disney yang terkemuka yang didatangkan khas dari dalam dan luar negara untuk berkongsi pengalaman mereka.
Dengan adanya kerjasama antara Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM), MDeC dan Disney, diharap dapat membantu dan memberi pelajar dan sekolah kemahiran pada abad ke-21. Malah nilai tambah itu juga diharapkan dapat diaplikasikan dalam pembelajaran dan pengajaran dan semua kemahiran yang diberikan dapat dikembangkan serta dikongsikan dengan semua sekolah-sekolah di sekitarnya ke arah pembestarian sekolah.
"Melihat kesungguhan dan minat pelajar-pelajar ini, nampaknya matlamatnya telah tercapai. Dalam masa yang agak singkat pelajar-pelajar ini berjaya melakukan sesuatu yang amat memberangsangkan, seiring dengan moto KPM tahun ini iaitu kreativiti dan inovatif," kata
"Kita juga berharap perkongsian pintar seperti ini dapat dilakukan dengan agensi-agensi yang lain supaya ia dapat diaplikasikan pula kepada guru-guru, seterusnya memberi manfaat kepada sekolah," kata Penolong Pengarah Sektor Pembestarian Sekolah, Bahagian Teknologi Pendidikan, Kementerian Pelajaran Malaysia, Maimunah Mohd. Tahir.


PENGGUNAAN perisian yang canggih menarik minat para peserta terhadap bidang animasi.



Sementara itu, guru Teknologi Komunikasi Maklumat (ICT), Kejuruteraan Elektrik dan Lukisan Kejuruteraan, Sekolah Menengah (SM) Teknik Dengkil, Azhar Sulaiman, berkata program seperti itu patut diteruskan pada masa akan datang kerana ia bukan sahaja menarik minat para pelajar malah memberi peluang kepada pelajar-pelajar mencungkil bakat mereka.
"Saya harap selepas ini apa yang diperoleh daripada bengkel ini dapat diaplikasikan dan diteruskan di sekolah. Pelajar-pelajar ini mempunyai potensi besar sekiranya diberi pendedahan," katanya.
Sementara itu, pelajar tahun lima Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SKJC) Dengkil, Sepang, Kuwa Yan Ying, 11, melahirkan rasa gembira kerana terpilih menyertai program itu.
"Banyak pengalaman yang saya peroleh daripada bengkel ini contohnya cara-cara menghasilkan sebuah animasi menggunakan komputer dan bekerjasama dalam satu pasukan. Bengkel seperti ini perlu diteruskan kerana ia boleh memupuk minat di kalangan pelajar tentang bidang animasi,"katanya.


Watak kartun bukan mudah

Sejak dua tahun lalu, Nik Amirul Shafiq Nik Mazlan telah membawa suara Danial, karakter utama watak kartun animasi Danial. dia mengakui banyak yang dipelajarinya.


BERGELAR pemegang suara latar animasi Danial, memberi pengalaman baru kepada tiga kanak-kanak ini.



Vijay: Kau nampak tu Danial, biar
aku lastik burung tu.
Danial: Eh, jangan Vijay, burung
tu pun nak hidup jugak.
Chong: Lastik je Vijay!
Danial: Kenapa korang buat macam
ni, alahai...kan dah cedera burung ni.
Nita: Korang ni teruk tau, ini
menyeksa binatang ni.
Sue: Entah, teruk tau.
SETELAH mendengar dialog daripada kelima-lima watak siri animasi kartun Danial itu, mungkin ramai yang sudah memahami mesej yang hendak disampaikan mereka. Apatah lagi, apabila jalan ceritanya berkonsepkan cara kehidupan kanak-kanak kampung berbilang kaum.
Bagi anda yang terlepas peluang menyaksikannya menerusi saluran RTM1, pada setiap hari Ahad, pukul 7 petang, animasi kartun Danial mengisahkan perjalanan hidup lima sekawan. Mereka adalah Danial, Vijay, Chong, Nita dan Sue.
Watak utama, Danial, yang berasal dari bandar terpaksa menerima perubahan gaya hidup baru setelah ibu bapanya ditugaskan bekerja di luar negara.
Dia yang tinggal bersama datuk dan neneknya berpeluang mempelajari banyak perkara berkaitan cara kehidupan masyarakat luar bandar dan menimba pengalaman bersama empat rakannya.
Melihat pada sinopsis jalan ceritanya, saban hari Danial akan memberitahu setiap perkara yang berlaku ke atas dirinya kepada kedua-dua ibu bapa menerusi emel.
Selepas bersiaran lebih dua tahun, pasti ramai yang ingin mengenali lebih lanjut siapakah gerangan pemilik suara karakter utama itu?
Berbadan gempal, petah berbicara dan kelancaran bahasa yang teratur, antara ciri-ciri pemilik suara bagi watak Danial, Nik Amirul Shafiq Nik Mazlan, 12 tahun. Dia terlibat dalam pembikinan suara latar ini sejak usianya 10 tahun.
NURLIYANA ZAFIRA


Mesra disapa dengan panggilan Shafiq, dia sememangnya mempunyai penyampaian yang menarik menerusi suara latar atau voice over (VO), setelah berjaya dipilih pada sesi uji bakat, bertempat Studio Animatrix, Subang Jaya, Selangor, pada tahun 2006.
Menyedari minatnya dalam bidang kebudayaan dan seni suara latar sejak di sekolah tadika, dia tidak pernah ketinggalan menyertai pelbagai pertandingan nyanyian mahupun lakonan yang dianjurkan, sehingga berpeluang meraih gelaran juara.
Malah, wajah anak sulung daripada dua beradik itu pernah sekali muncul menerusi iklan komersial Tenaga Nasional Berhad, TNB, bersama pelakon utama, Adibah Nor, suatu ketika dahulu.
Menurut Shafiq, berkat sokongan dan bimbingan kedua-dua ibu bapanya, dia berjaya merealisasikan segala impian dan cita-cita yang diinginkan selama ini.
"Walaupun masih di bangku sekolah, saya menganggap bidang pembawaan suara latar dalam siri kartun animasi Danial sebagai hobi yang diimpikan dan ia tidak boleh dipersia-siakan.
"Walaupun sibuk dengan tugasan rakaman, pelajaran tetap diutamakan berbanding kerjaya yang dilakukan itu. Memandangkan keputusan yang diperoleh dalam pelajaran akan menentukan masa depan seseorang dan membantu meningkatkan daya intelektual, saya yakin dengan adanya pendidikan, kita berjaya memperoleh segala yang diimpikan.
"Menjadi rutin hidup saya setiap minggu, saya akan memastikan segala kerja sekolah akan disiapkan terlebih dahulu sebelum bergegas ke studio rakaman. Ia sedikit-sebanyak dapat mengurangkan keletihan selepas waktu rakaman dilakukan," ujarnya kepada KOSMO!.
Kata Shafiq, sepanjang berkecimpung dalam bidang seni suara latar, ia telah memberi keyakinan pada dirinya untuk menjadi seorang yang lebih berdisiplin.


"Watak yang dipegang menerusi kartun Danial itu bukan sahaja dapat mengajar saya erti kehidupan sebenar masyarakat kampung, malah memberi berpeluang kepada saya mempelajari sikap moral dan tanggungjawab yang perlu dilaksanakan kanak-kanak.
"Jalan cerita yang dibawakan Danial ketika berhadapan dengan pelbagai cabaran dan dugaan setelah ditinggalkan ibu bapa, mencetuskan impak mendalam terhadap saya selama ini.
"Setiap skrip dan watak yang dibawakan selama ini telah mengajar saya tentang cara mendisiplinkan diri, menghormati orang yang lebih tua, sayang-menyayangi, bersikap adil dan cara pergaulan dengan rakan-rakan," katanya yang amat berpuas hati dengan watak yang dipegangnya itu.
Berkongsi pengalaman kali pertama membaca skrip: "Bukan senang hendak membawa suara dalam watak kartun kanak-kanak itu kerana lenggok dan intonasinya seperti berlagu. Pengalaman awal memang saya ingat lagi. Menggigil saya walaupun hanya untuk baca sebaris ayat, 'alamak kambing kejar kita,' katanya sambil ketawa mengenangkan detik awal itu.
Namun, Shafiq mengakui memegang suara karakter Danial, adalah kenangannya paling manis dan cukup mencabar.
Di sebalik kelancaran pembacaan skrip dan gaya bahasa yang dituturnya, Shafiq sentiasa belajar cara mengolahkan setiap baris ayat dan intonasi menerusi bacaan pada komik dan surat khabar.
Ditanya mengenai hala tuju dan misi perjalanan hidupnya selepas menjangkau umur 20-an, sama ada ingin meneruskan perjuangan dalam bidang tersebut ataupun mempunyai matlamat yang tersendiri? Kata Shafiq, sekiranya dia diberi peluang memegang watak yang sama, dia pasti akan meneruskannya.
"Semuanya terpulang kepada keputusan pihak penerbit dan saya akur dengan keputusan yang dibuat," ujarnya.
NURSHAFIQAH FARHA


Bercerita tentang pendapatannya, tambah Shafiq, gaji pembawa suara latar dibayar mengikut episod yang dijayakan.
Kata Shafiq, pembayaran yang diterimanya, disimpan dan dijadikan perbelanjaan ke sekolah. "Sedikit sebanyak mengurangkan bebanan ibu dan ayah," selorohnya.
Selain Shafiq, pembawa karakter suara lain untuk watak-watak dalam siri kartun Danial, termasuklah Adam Ikhsan Salehudin (Vijay), Amir Haziem Razali (Chong), Nursyafiqah Farha Yahya Uzir ( Nita) dan Nurliyana Zafira Yahya Uzir (Sue).


Lebih 4,500 ikuti kisah Annur dan Meow


PROSES lakaran komik Annur dan Meow dilakukan dengan menggunakan peralatan khas.


BERPENGALAMAN luas sebagai animator termasuk terlibat di dalam pembikinan siri animasi popular seperti Usop Sontorian, Yokies, Alif dan Fruities, Ahmad Nazri Mahmood berusaha keras merealisasikan impiannya itu.
Menggunakan media baharu seperti Facebook untuk mengetengahkan karyanya itu, pada peringkat awal Ahmad Nazri mengakui menghadapi masalah untuk mencari watak dan jalan cerita yang sesuai dengan komiknya itu.
“Saya mencipta lebih 10 watak komik sebelum ini sebelum ia dimuat naik di dalam akaun Facebook milik saya. Ada kisah wanita muslimah, ada kisah pekerja di pejabat, pelajar universiti dan sebagainya.
“Bagaimanapun, ia tidak mendapat sambutan yang diharapkan dan tidak banyak komen diterima,” katanya. Biarpun begitu, dia tidak mengalah. Akhirnya, selepas beberapa kali mencuba dia tampil dengan komik Annur dan Meow yang disiarkan sejak Jun lalu.
Katanya, dia memilih Annur untuk menjadi watak penting kerana gadis itu seorang yang lemah-lembut dan sopan dalam tutur caranya.
Bagi menambah elemen humor di dalam komik itu, dia mencipta watak Meow dan Afi sebagai pelengkap jalan cerita.


PENGALAMAN luas dalam bidang animasi mendorong Ahmad Nazri membuka produksi animasi sendiri di Subang Jaya.



“Kebetulan saya memang mengenali diri Annur dan keluarganya sejak dahulu lagi, secara tidak langsung ia memudahkan saya memahami dan menyelami kesemua watak-watak yang berada di dalamnya,” katanya.
Ujarnya, sebaik sahaja tersiar di Facebook, komik itu terus mendapat komen-komen positif daripada pembaca. Malah ia juga turut popular dalam kalangan pemilik-pemilik blog di negara ini.
Komen positif
Kekuatan komik itu, katanya terletak kepada tiga teraju utamanya iaitu Annur, Meow dan Afi.
“Konsep komik yang santai dan menekankan elemen Islamik, kekeluargaan dan humor itu juga menyebabkan ia pantas menarik perhatian bukan sahaja si kecil malah peminat-peminat kucing di negara ini.
“Apa yang membanggakan saya, komik ini juga turut dijadikan bahan dalam kalangan guru-guru agama yang mengajar subjek Jawi di sekolah.
“Saya turut difahamkan, ia bukan sekadar diminati kaum Melayu sahaja, tetapi juga kaum-kaum lain seperti Cina dan India,” jelasnya yang memberitahu
Senarai peminat komik itu di akaun Facebook miliknya kini mencecah lebih 4,500 orang.
AHMAD Nazri mahu menggunakan bakatnya untuk memartabatkan tulisan jawi di negara ini.


Katanya, berikutan sambutan yang memberangsangkan itu, dia bercadang untuk menerbitkan komik Annur dan Meow pada masa hadapan.
“Setakat ini, sebanyak 70 muka surat komik telah dimuat naik di laman itu sementara sebanyak 50 muka surat lagi telah pun siap untuk dimuatkan di dalam komik itu nanti.
“Kini saya sedang giat menghasilkan siri kedua komik tersebut, di mana ia masih mengekalkan watak dan jalan cerita yang sama seperti sebelum ini,” katanya yang turut mencipta Fan Page Annur dan Meow di Facebook, khusus untuk peminat-peminat komik itu.
Katanya, dia berharap lebih ramai pelukis dan animator lain yang bakal mengikut jejak langkahnya bagi memastikan tulisan jawi tidak pupus ditelan zaman.
“Sebelum ini pun saya jarang menggunakan tulisan jawi dalam kehidupan harian. Melalui komik ini, secara tidak langsung ia berjaya mengasah semula kemahiran saya selepas sekian lama meninggalkannya sejak zaman sekolah lagi,” jelasnya. Kepada mereka yang ingin mengikuti kisah Annur dan Meow boleh melayari annurmeow.blogspot.com atau www.facebook.com/AnNurMeow.


Pendidikan berguna dalam Boo & Me



DARI kiri Pengarah Urusan Inspedia, Andrew Ooi, Paul Robinson dan Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk Dr. Puad Zakarshi pada Majlis pelancaran Boo & Me di Kuala Lumpur baru-baru ini.



"IMAN, kenapa asyik tengok kartun je ni. Dah tutup TV tu. Pergi buat kerja sekolah," rungut si ibu yang risau akan pelajaran dan tingkah laku anak dipengaruhi kartun animasi di kaca televisyen.
Sesetengah ibu bapa menganggap bahan tontonan seperti kartun memberi impak yang kurang baik. Namun, tanpa mereka sedari, kini terdapat banyak animasi yang memberi pendidikan dan pengajaran berguna kepada kanak-kanak.
Malah, perkembangan tersebut telah menarik perhatian syarikat-syarikat animasi tempatan untuk menghasilkan kartun animasi sebagai satu medium mendidik.
Terbaru, syarikat multimedia kreatif, Inspedia Malaysia telah menghasilkan siri animasi pendek 13 episod iaitu Boo & Me. Siri animasi pendidikan itu memaparkan orang utan dan dua orang sahabat iaitu Aiman dan Yasmin sebagai watak utamanya.
Ia bukan sahaja sesuai untuk tontonan kanak-kanak, malah buat orang dewasa bagi mempelajari tentang persahabatan, kesetiaan dan isu alam sekitar di Malaysia.
Inspedia bekerjasama dengan KidsCo Limited, satu rangkaian televisyen kanak-kanak antarabangsa yang berpusat di United Kingdom (UK) untuk menghasilkan siri animasi tersebut.
Menariknya, rangkaian televisyen kanak-kanak antarabangsa keempat terbesar di dunia itu telah memilih Pusat Pemulihan Orang Utan Sepilok, Sabah sebagai tema untuk mengadakan siri animasi kanak-kanak Boo & Me.
"Animasi Boo & Me ini memfokuskan kepada isu alam sekitar yang berbeza dalam setiap episod. Ia tertumpu kepada kurikulum pemuliharaan alam sekitar yang dipanggil 5R iaitu Reduce (mengurang), Reuse (guna semula), Recycle (kitar semula), Renew (memperbaharui) dan Respect (menghormati).
"Ia mengajar kanak-kanak bagaimana untuk menjaga alam sekitar dengan melakukan sesuatu seperti menggunakan semula tayar lama, beg plastik sebagai beg sampah, mengitar semula tin aluminium, plastik dan banyak lagi," kata Pengarah Urusan KidsCo, Paul Robinson.
Jelasnya, animasi Boo & Me itu memberi pengajaran kepada kanak-kanak mengenai pemuliharaan alam sekitar.
Memandangkan kanak-kanak hari ini bakal mewarisi dunia di masa hadapan, pendidikan awal mengenai alam sekitar amat penting.
"Kami ingin membantu menyalurkan pengetahuan bagi membolehkan kanak-kanak membesar menjadi orang dewasa yang sentiasa peka dan prihatin terhadap alam sekitar," katanya.
Siri animasi itu telah dialih suara ke dalam 15 bahasa yang akan disiarkan di 58 buah negara. Antaranya ialah Jerman, Perancis, Rusia, Asia Barat, Korea Selatan, Hong Kong, Asia Tenggara dan Afrika.
Menurut Pengarah Urusan Inspedia, Andrew Ooi, dengan adanya siri animasi pendidikan tersebut, kanak-kanak di serata dunia mendapat pendedahan mengenai Malaysia.


SIRI animasi Boo & Me akan disiarkan ke 58 buah negara di seluruh dunia.



"Rancangan animasi ini juga dapat membantu menyemai sikap cintakan alam sekitar di kalangan kanak-kanak," katanya.
Inspedia merupakan antara 11 buah syarikat multimedia kreatif yang dijemput oleh Perbadanan Kemajuan Multimedia (MDeC) untuk menyertai misi perdagangan yang diketuai oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Perancis baru-baru ini.
Tujuannya untuk meningkatkan hubungan ekonomi Malaysia dalam industri kreatif dengan syarikat-syarikat digital di seluruh dunia.
Bercerita mengenai siri animasi Boo & Me, Robinson memberitahu beliau dan Pengerusi KidsCo, Doug Murphy telah mengadakan pertemuan Najib di Cannes, Perancis dua minggu lalu.
"Perdana Menteri amat tertarik dengan animasi ini dan berharap ia akan membantu usaha kerajaan membudayakan penjagaan alam sekitar, kitar semula dan teknologi hijau.
"Malah, ia dapat memberi pendedahan kepada kanak-kanak bukan sahaja mengenai orang utan tetapi juga cara pemuliharaan haiwan, penjagaan alam sekitar dan bagaimana hendak memastikan dunia terus mempunyai flora serta fauna yang menarik," katanya.
Jelasnya, orang utan hanya terdapat di negara Asia Tenggara terutama di Malaysia dan Indonesia. Di Malaysia, orang utan begitu istimewa kerana ia dilindungi dan menjadi tumpuan para pencinta alam sekitar.
"Apabila program seperti pemulihan orang utan ini menjadi keutamaan sesebuah kerajaan, tentunya ia mempunyai nilai yang tinggi untuk diketengahkan bagi menarik kanak-kanak untuk menonton haiwan yang manja dengan manusia ini," katanya.
Pelbagai tema yang diutarakan itu bertujuan mendidik kanak-kanak mengenai tindakan yang sepatutnya diambil untuk menjaga alam sekitar.
Komitmen KidsCo terbukti apabila sebanyak 5,000 keping cakera padat digital (DVD) yang mengandungi dua episod pertama Boo & Me akan diedarkan di beberapa sekolah terpilih di seluruh negara di bawah kelolaan Kementerian Pelajaran.
Robinson berharap DVD tersebut akan digunakan oleh para guru sebagai pembelajaran tambahan dalam mendidik kanak-kanak mengenai nilai dan perkara asas alam sekitar.
Siri animasi Boo & Me itu juga boleh ditonton menerusi laman web rasmi KidsCo di www.kidscotv.tv.

Jiwai watak si kembar

Kepada penggemar siri animasi Upin&Ipin yang ditayangkan menerusi saluran TV9, suara kepada dua karakter tersebut ialah seorang kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun.





TATKALA meninjau bilik rakaman yang berada di Tingkat Bawah bangunan Les Copaque Productions (LCP) Sdn. Bhd., Shah Alam, Selangor kelihatan seorang kanak-kanak perempuan comel begitu fokus mendengar arahan dan tunjuk ajar daripada seorang pereka audio, Safrizan Mohd Razali.
Sesekali dia mengangguk faham, kadangkala tersenyum dan ketawa kecil.
Selepas memahami tugas yang perlu dilakukan, dia terus menghampiri mikrofon dan melontarkan dialog dalam lima intonasi yang berbeza-beza.
Tanpa perasaan malu atau takut, kanak-kanak berusia sembilan tahun ini melakonkan suara latar dengan baik.
"Hai kawan- kawan, saya Upin, yang ini adik saya Ipin. Ini kisah kami berdua iaitu, Istimewa Hari Raya. Hah, betul! Betul! Betul!," lakon empunya diri Nur Fathiah Diaz atau Teha yang menjadi suara latar bagi karakter Upin&Ipin yang popular ditayangkan menerusi stesen TV9.
Secara ringkasnya, Upin&Ipin merupakan siri kartun animasi mengenai pasangan kembar berusia lima tahun. Menerusi siri ini penonton dapat menyaksikan bagaimana mereka menjalani ibadah puasa sepanjang Ramadan yang penuh dengan dugaan.
Tapi, Upin&Ipin amat bertuah kerana dibantu oleh opah dan kak Ros sebagai pembimbing supaya mereka terus tabah menjalani ibadah puasa.
Banyak nilai-nilai murni, pengajaran dan elemen kampung untuk mengembalikan nostalgia zaman kanak-kanak.


PENGALAMAN menjadi suara latar Upin&Ipin banyak membantu Nur Fathiah mempelajari teknik menyampaikan cerita dan intonasi yang betul.



Keletah kembar yang begitu mencuit hati dan disusuli dengan pelbagai adegan lucu membuatkan kartun animasi ini mendapat sambutan yang menggalakkan daripada kanak-kanak hinggalah golongan dewasa.
"Ramai yang mengajukan mengapa Fathiah yang dipertanggungjawabkan watak Upin&Ipin, mengapa tidak kanak-kanak lelaki. Alasannya, seramai 20 orang kanak-kanak yang hadir ke sesi uji bakat tidak memenuhi kriteria.
"Mereka tidak menjiwai watak dengan baik, berlakon seperti membaca teks dan kurang memiliki daya kreativiti yang boleh menonjolkan karakter Upin&Ipin yang comel. Fathiah sebaliknya. Dia bukan saja bijak beraksi malah berani, ceria dan mudah mesra dengan orang lain," tegas Pengarah Upin&Ipin, Mohd Nizam Abd Razak.
"Seronok menyumbangkan suara dalam siri Upin&Ipin. Banyak pengalaman diperoleh dan pada masa yang sama membantu memberi pengajaran mengenai kebaikan bulan puasa dan pengisian hari raya kepada penonton.
"Tapi, Teha cuma berani berlakon sebagai suara latar berbanding drama kerana malu berhadapan dan dikelilingi dengan orang ramai," jelas pelajar Sekolah Kebangsaan Telok Menegong, Klang, Selangor yang ceria menyarungkan baju-t Upin&Ipin berwarna hijau.
Di sebalik sifat pemalu itu, anak sulung daripada tiga adik-beradik ini berjaya merangkul tempat ketiga dalam pertandingan bercerita mewakili sekolah di peringkat daerah, Klang.
Tambah Teha yang bercita-cita menjadi doktor: "Pengalaman berlakon Upin&Ipin banyak membantu saya mempelajari teknik menyampaikan cerita dan gaya intonasi yang betul.


Selain Fathiah, siri Upin&Ipin, turut diceriakan dengan karakter opah (Ainon Ariff), kak Ros (Noor Ezdiani Ahmad Fawzi), Rajoo (Kannan Rajan), Mei Mei (Yap Ee Jean), Ehsan (Mohd Syahmi Abd Hamid) dan Fizi (Ida Rahayu Yusoff).
Walaupun di televisyen kita menyaksikan setiap karakter bercakap antara satu sama lain, realitinya proses rakaman suara (audio) dilakukan secara berasingan.
Ini bagi mengelakkan studio rakaman menjadi gamat dan tidak terkawal memandangkan kebanyakan watak dilakonkan oleh pelakon kanak-kanak.
Jika proses rakaman kartun animasi yang lain dilakukan sambil melihat gerak-geri karakter (berjalan, berlari atau makan), tetapi produk animasi keluaran LCP mempraktikkan gaya rakaman tersendiri.
Dalam proses ini, pelakon perlu menggunakan imaginasi dan kreativiti yang tinggi. Ini kerana mereka hanya berlakon bersandarkan skrip dan mengikut panduan yang diberikan oleh pengarah dan pereka audio.
Di LCP proses audio dilakukan terlebih dahulu, sebelum beralih pada proses-proses yang lain. Sebab itu kumpulan pelakon berlakon berpandukan skrip, bukannya animasi yang tertera di depan mereka.
Biasanya proses rakaman suara diadakan pada hujung minggu.
"Selesai proses audio, kami meneruskan proses animasi yang menggunakan pengisian autodesk maya. Kumpulan pereka akan mengerakkan tubuh badan dan mulut karakter supaya menyamai serta bersesuaian dengan dialog yang diucapkan.
"Proses ini penting bagi memastikan pergerakan bibir dan dialog seiringan serta meletakkan emosi pada karakter. Jika pelukis tidak mempunyai idea untuk mencipta karakter berlari atau makan, salah seorang staf akan melakonkan gaya yang dikehendaki untuk rujukan kumpulan animasi," terang Nizam.
Upin&Ipin berdurasi lima minit
Pengarah Urusan LCP, Burhanuddin Md Radzi menyatakan pada asalnya filem kartun animasi 3 Dimensi (3D), bertajuk, Geng: Bermulanya sebuah pengembaraan, merupakan produk sulung mereka. Bukannya siri kartun Upin&Ipin yang semakin digilai ramai.
Namun idea Upin&Ipin timbul pada awal tahun 2006 ketika sedang sibuk menyiapkan pembikinan siri Geng. Dek kerana bimbang sekiranya filem yang membabitkan kos empat juta ringgit ini tidak mendapat sambutan yang menggalakkan, mereka mengambil keputusan mengeluarkan salah satu karakter untuk dikomersialkan.


NUR FATHIAH mengakui seronok dapat menyumbang suara untuk siri animasi Upin&Ipin.



Melalui tinjauan, rata-ratanya orang ramai lebih berminat pada watak Upin. Jadi bagi menyuntik tarikan yang lebih efektif pada jalan cerita, mereka lahirkan pula watak Ipin.
"Perancangan komersial akhirnya dapat direalisasikan apabila saya terserempak dengan Ketua Pegawai Operasi TV9, Bukhari Che Muda, di Cannes, Paris. Pada pertemuan tersebut beliau mencadangkan kartun animasi yang durasinya selama lima minit.
"Sehingga kini masih ramai yang tidak berpuas hati menonton siri Upin&Ipin selama lima minit. Pernah juga diminta memanjangkan tempoh siaran, tetapi kami masih kekal pada durasi yang sama supaya penonton tertunggu-tunggu episod yang seterusnya," tambah Burhanuddin yang menghasilkan karya dan dialog bersama isterinya, Ainon Ariff serta dibantu krew LCP yang lain.
Tambah Pengarah Teknikal LCP, Nazrul Hadi Nazlan: "Ketika episod keenam Upin&Ipin siri pertama yang disiarkan pada tahun lepas melonjak naik kami berhadapan dengan masalah baru. Ini kerana dalam filem animasi Geng, karakter Upin&Ipin bukanlah watak utama. Jadi kami terpaksa mengolah skrip dan menukar plot baru yang menampilkan peranan pasangan kembar ini.
Justeru kepada peminat setia, siri Upin&Ipin jangan ketinggalan untuk menyaksikan episod raya istimewa yang bermula pada hari raya pertama hingga hari raya keenam, di stesen TV9, Dekat di hati.

Kartunis Malaysia berkumpul di Shah Alam





SENI visual kartun, animasi, komik dan karikatur merupakan salah satu wadah komunikasi perhubungan antara manusia yang menyampaikan mesej dengan gaya santai.
Selain bertujuan untuk menghibur, ia juga kadangkala membawa mesej sosial dan sindiran sinis. Ia lazimnya disampaikan dalam majalah, surat khabar mahupun program televisyen.
Genre seni visual itu mudah terpahat dalam minda masyarakat dan dikenali oleh orang ramai - tidak kira tua atau muda, kaya atau miskin, penduduk bandar atau kampung, marhaen mahupun ahli politik.
Tidak salah jika menyatakan bahawa seni kartun adalah seni visual rakyat. Kadangkala secara realitinya, kartunis lebih dikenali dalam masyarakat berbanding figura genre seni visual yang lain.
Tambahan pula, seni kartun sering dilihat lebih dekat dan kritis dengan kehidupan rakyat.
Pameran mini Kartun Dan Masyarakat yang diadakan buat kali kedua di Galeri Shah Alam, Selangor memaparkan siri kartunis tempatan dari era perintis hinggalah ke era terkini.
Karya daripada nama-nama popular seperti Adonis, Alpha, Amin Landak, Boy PJ, Gayour, Hanie Mohd. Katon Aqhari, Kia, Leen Mafia, Mona, Monche, N.D, Sarah Joan, Sireh, Tazidi, Ujang, Zainal Buang Husein dan Zurin Shaari telah diangkat dan didokumentasikan dalam pameran itu.
Seorang pelajar jurusan seni di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Nor Azuwa Yusof, 23, berkata pameran itu sangat berguna bagi dirinya untuk dijadikan panduan dan pengalaman berguna.
Wadah Komunikasi

ANTARA yang memeriahkan perasmian pameran Kartun Dan Masyarakat di Galeri Shah Alam baru-baru ini. (Dari kiri) Mazlan Abdullah, Alfarizan Supiee, Presiden Persatuan Kartunis Selangor dan Wilayah Persekutuan, Tazidi Yusuf; Datuk Mohammad Nor Khalid atau Lat, Mazli Ibrahim atau Gayour, Zainal Buang Hussein dan Yaz Malee.



Menurut pelajar itu, kartun merupakan wadah komunikasi dalam menyampaikan mesej dengan gaya bersahaja dalam media cetak dan penyiaran yang sangat berkesan.
“Dalam pameran ini, saya dapat mengenali lebih ramai kartunis dan mendalami karya-karya yang mereka hasilkan.
“Lakaran kartun yang mereka hasilkan adalah seiring dengan kejadian sesuatu peristiwa. Ia menggambarkan isu yang berlaku sekali gus menterjemahkan pemikiran mereka,” katanya.
Melalui pameran itu juga katanya, pengunjung dapat melihat sudut pandangan yang berbeza daripada seseorang kartunis tentang perkara yang terjadi di sekeliling mereka.
Dalam pameran tersebut, pengunjung dapat menyaksikan karya kartunis dari peringkat karya itu dihasilkan menggunakan kertas dan pen dakwat basah sehinggalah ia berevolusi ke era digital.
Walaupun terdapat perbezaan dari segi medium karya itu, namun idea dan konsep sesuatu karya kartun itu dihasilkan masih sama dan berlegar-legar dalam konteks permasalahan masyarakat.
Pendapat Nor Azuwa itu disokong oleh rakannya, Nur Amnni Idayu Mohd. Rozemi, 23, yang mendakwa hasil karya kartunis walaupun hanya dihasilkan menggunakan medium pen dakwat basah dan sekeping kertas putih namun isi kandungannya penuh warna-warni serta bernilai tinggi.
Katanya, pameran itu dapat memberi inspirasi kepada dirinya sebagai belia dan peminat seni kartun yang masih tercari-cari identiti diri.
“Setiap karya yang saya lihat mempunyai mesej yang sangat berguna dan terkesan dalam hati pengunjung yang melihatnya.
“Selain melihat lakaran kartun yang dihasilkan, pengunjung akan terdorong untuk mengamati dialog yang disertakan dalam lakaran kartun. Ia membawa inspirasi,” ujarnya.
Tambah Amnni, setiap karya yang dipamerkan mempunyai karakter tersendiri dan pengaruh terhadap masyarakat ketika ia diterbitkan.
Pameran itu juga secara tidak langsung merupakan perjalanan kapsul masa golongan pengkarya dan dunia karikatur yang kini menjadi aset seni visual negara.
Sekali-sekala pengunjung pasti meleretkan senyuman ketika meninjau satu persatu sudut pameran yang disediakan pihak galeri untuk 18 kartunis yang terlibat dalam pameran kali kedua dianjurkan ini.
Seorang pengunjung, Siti Fairus Md. Kasa, 22, berkata, pameran kartun seumpama itu lebih menarik minatnya berbanding pameran seni lain seperti pameran seni lukisan atau arca.

SALAH seorang kartunis bebas wanita, Leen Mafia, menunjukkan hasil karyanya.



“Ini merupakan pameran seni pertama yang saya lawati. Kalau ada lagi pameran seumpama ini pada masa akan datang, pasti saya akan datang lagi. Saya harap persatuan penggiat kartunis dan komik perlu lebih aktif melakukan pameran seumpama ini pada masa akan datang,” katanya.
Sambutan menggalakkan
Pengarah Galeri Shah Alam, Prof. Madya Mohd. Said Abu, berkata, seramai 18 kartunis terkenal terlibat dalam pameran Kartun 2012 di Galeri Shah Alam yang diadakan buat kali kedua.
Kesemua kartunis terpilih itu komited untuk mempamerkan hasil karya masing-masing bagi tatapan golongan muda terutamanya pelajar sekolah yang berminat dalam bidang berkenaan.
“Pameran kali ini rentetan daripada kejayaan pameran pada tahun 2006 yang mendapat sambutan hangat.
“Susulan daripada kejayaan pameran lalu, kami anjurkan sekali lagi pada tahun ini. Kami bercadang untuk menjadikan pameran ini sebagai acara tahunan galeri,” ujar beliau.
Menurut Mohd. Said, pameran kali kedua itu melibatkan sejumlah 114 karya daripada 18 kartunis lelaki dan wanita dari pelbagai era.
Oleh itu, pihak galeri berharap ia dapat memberi pendedahan yang lebih dekat kepada pengunjung dan peminat seni kartun tanah air.
“Kami mahukan karya kartunis tempatan kita diketahui ramai terutamanya berhubung teknik sebenar menghasilkan karya ini.
“Ini kerana, kebanyakan generasi muda sekarang sejak lahir sudah didedahkan dengan media elektronik. Mereka hanya mengenali kartun elektronik berbanding kartun bercetak,” kata Mohd. Said.


SELAIN bertujuan menghibur, setiap hasil karya mempunyai mesej tertentu untuk disalurkan kepada masyarakat.



Turut hadir pada majlis perasmian pameran itu ialah kartunis tersohor negara, Datuk Mohammad Nor Khalid atau Lat, Zainal Buang Hussein dan Gayour.
Sementara itu, Datuk Mohammad Nor turut merasmikan pameran tersebut dan berharap lebih ramai kartunis dapat terlibat dalam pameran seumpama ini pada masa akan datang.
Selain itu, para penggiat kartun perlu lebih bersedia untuk menghasilkan karya kartun atau komik yang lebih segar dan kreatif mengikut kehendak zaman dan peminat.
Peminat kartun tanah air diharap tidak melepaskan peluang untuk melihat dan membeli hasil karya kartunis terkenal tempatan di Galeri Shah Alam, sempena Pameran Kartun 2012 berlangsung dari 8 Mei lalu hingga 22 Jun depan.
Malah, pameran itu juga memberi peluang keemasan kepada kartunis amatur dan profesional mengetengah bakat seni mereka sekali gus mengangkat karya seni kartun setanding karya seni lain yang lebih eksklusif dan bernilai tinggi.




Bakat menjana motivasi dan wang





DUNIA komik dan kartun di negara ini semakin berkembang maju. Sama ada dimensi karikatur bercetak, animasi video mahupun visual 3D, perkembangannya dilihat semakin memberangsangkan.
Banyak juga hasil karya tempatan yang diakui setanding dengan tahap antarabangsa.
Bagaimanapun, bilangan kartunis wanita yang terlibat secara langsung dalam arena karikatur dan animasi masih kurang berbanding lelaki. Ia dipercayai disebabkan minat dan kurangnya peluang pekerjaan dalam bidang tersebut.
Selain itu, ada juga yang masih kurang yakin tentang jaminan masa depan jika menceburi bidang berkenaan.
Pertemuan dengan seorang kartunis generasi baharu iaitu Suraya Md. Nasir yang berusia 26 tahun di pejabat Moy Publication Sdn. Bhd. di Subang Jaya baru-baru ini membuka pelbagai cerita tentang kartunis wanita itu.
Wanita kelahiran Johor dengan nama pena, Jon Suraya, itu kelihatan bersahaja dan tidak lekang dengan senyuman.
Sambil tangannya pantas melakar karikatur salah satu watak dalam karyanya di atas sekeping kertas putih, Suraya bermukadimah tentang langkah mula kerjayanya itu.
Bakat terpendam
"Saya tidak menyangka akan jadi kartunis. Masa mula-mula berkarya, saya masih belajar dalam jurusan Diploma Juruukur Bahan di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam.
"Bidang yang saya ceburi kini jelas jauh berbeza. Menyedari bakat terpendam saya, seorang sahabat kakak saya telah memperkenalkan saya kepada salah seorang editor majalah syarikat Moy Publication Sdn. Bhd.," katanya yang memberitahu hasil temu duga pertamanya itu telah ditolak.
Begitupun, Suraya tidak berputus asa. Situasi itu tidak menghalang dirinya untuk terus berusaha mengetengahkan karya komik kepada pihak Moy Publication.
Usaha tersebut akhirnya membuahkan hasil apabila kartun yang dihasilkan berjaya menambat hati editor majalah di Moy Publication.





"Saya sebenarnya minat melukis sejak tadika. Lukisan yang saya hasilkan mendapat pujian guru dan orang sekeliling.
"Apabila memasuki alam universiti, saya melukis dalam majalah fakulti dan lukisan yang saya hasilkan masih mendapat pujian rakan-rakan," kata anak kedua dari empat orang adik-beradik itu.
Dorongan demi dorongan diberikan oleh rakan-rakan dan ahli keluarga. Atas azimat itu, Suraya mula memasuki dunia kartunis sejak lima tahun lalu sehingga sekarang.
Suraya mula berkarya di dalam majalah Blues Selamanya terbitan Moy Publication sebagai kartunis sambilan selama setahun.
Dia kemudiannya berpindah ke majalah humor G3 terbitan Kumpulan Media Karangkraf Sdn. Bhd. (Karangkraf) selama tiga tahun sebelum beralih angin ke majalah APO? terbitan Moy Publication hingga sekarang.
"Sudah empat bulan saya berkhidmat secara sambilan dengan majalah APO?. Di sini, saya melakar komik kartun Leya The Awek Bikers dan Budak Sewa United," ujarnya yang banyak dipengaruhi teknik lakaran kartun komik mangga Jepun dalam karyanya,
Suraya memberitahu, dia berpuas hati kerana kerjayanya itu memberikan pulangan pendapatan yang lumayan. Dengan pendapatan tersebut juga, Suraya mampu menampung kos pengajian dalam jurusan Sarjana Seni Lukis dan Seni Reka di UiTM Shah Alam.
Bersaing dengan lelaki
Seorang kartunis wanita era 1990-an, Noorhazalen Saad, 40, pula memberitahu, antara faktor pendorong kelahiran kartunis wanita di Malaysia adalah kerana minat untuk bersaing dengan lelaki selain galakan daripada kawan dan keluarga.
Lebih daripada itu, kebanjiran tawaran daripada syarikat penerbitan besar yang berminat untuk menerbitkan karya mereka menjadi faktor positif pengembangan bakat. Dari penerbitan tersebut, karya mereka akan lebih dikenali dan dihargai umum.
Ketika ditanya mengapa jumlah kartunis wanita tidak ramai di Malaysia, Noorhazalen yang dikenali dengan nama pena Leen Mafia menjelaskan bahawa kekurangan itu bukan sahaja berlaku di negara ini sahaja malah di seluruh dunia. Nisbah kartunis wanita kepada lelaki dianggarkan 1/40.
Menurut kartunis yang berasal dari Felda Sungai Koyan, Pahang itu, kartunis wanita di Malaysia sentiasa berpeluang dan diberi ruang untuk maju. Perkara yang menjadi persoalannya adalah mengenai sikap, iaitu sama ada seseorang itu rajin atau tidak dalam berkarya.
"Kartunis lelaki dan wanita jauh bezanya. Kartunis lelaki lebih berbakat kerana fitrah lelaki yang dianugerahkan sembilan akal, mereka lebih kreatif dari segi idea dan lebih lawak berbanding wanita.
"Sebenarnya agak sukar wanita untuk bersaing dengan kartunis lelaki kerana dunia komik dimonopoli oleh lelaki.
"Dari segi psikologi pula, kanak-kanak lelaki lebih suka membaca komik dan meniru watak-watak aksi adiwira sekali gus mendorong mereka untuk melukis karakter tersebut sebagai idola," kata Noorhazalen.
Menurut Noorhazalen, masyarakat di negara ini didapati sangat positif menerima kehadiran kartunis wanita. Walaupun jumlah mereka sedikit, karya mereka sentiasa dinanti-nantikan pembaca.
Tambahnya, bakat melukis yang dimilikinya itu bermula sejak kecil apabila dia didapati aktif melukis dan meminati seni lukisan. Sejak itu, satu-satunya faktor pendorong untuk terus berjaya adalah azamnya sendiri.


Jon Suraya tidak kekok bekerja dalam kalangan lelaki di majalah APO?



Bercerita tentang jejak awal penglibatannya dalam dunia komik, Noorhazalen mengakui, dia berasa tertekan untuk bersaing dengan lelaki kerana golongan itu dilihat lebih kreatif, banyak idea dan mempunyai daya juang yang tinggi.
Begitupun, itu bukan alasan untuknya cepat mengalah. Sehingga kini, karyanya yang terkenal ialah SiswiTok Teh, Leen Mafia Real LifeBapakku Seorang Perajurit dan Kartun Loose.
Semakin menyerlah
Sementara itu, Pensyarah Sejarah dan Kritikan Seni di Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka, UiTM, Shah Alam, Selangor, Profesor Dr. Muliyadi Mahamod berkata, walaupun tidak ramai, jumlah kartunis dalam kalangan wanita di negara ini semakin bertambah.
Menurutnya, kehadiran kartunis wanita dewasa ini semakin menyerlah di dalam industri komik dan semakin mewarnai dunia komik negara yang sangat mencabar kini.
Ekoran perkembangan teknologi, kewujudan majalah komik semakin banyak dan medium internet kian meningkat serta mendapat sambutan menggalakkan.
Jelas beliau, kartunis wanita seharusnya mengambil kesempatan menempa nama dalam industri ketika masih muda dan bujang sebelum memasuki alam perkahwinan.
"Jadi kartunis sepenuh masa ketika muda, seronok. Bila sudah kahwin dan ada keluarga, kartunis wanita sering kali memilih untuk menjadi kartunis sambilan.
"Mereka akan mencari kerjaya yang lebih mudah dan menjamin masa depan atau menumpukan perhatian pada keluarga sebagai suri rumah," ujar beliau.
Dewasa ini, persaingan antara majalah komik semakin sengit begitu juga dengan kewujudan komik di internet yang semakin mendapat perhatian.
Sehubungan itu, kartunis wanita disarankan melengkapkan diri mereka dengan kemahiran dan pendidikan formal di peringkat yang lebih tinggi.
Selain itu, mereka juga perlu mengikuti perkembangan semasa. Kewujudan kartun di media cetak, internet dan laman sosial penting ketika ini kerana ia menjadi ejen bagi mempromosi karya kartunis.
"Setiap kartunis wanita perlu mencari identiti sendiri dalam menterjemahkan karikatur mereka.
"Mereka perlu ada pendekatan dengan gaya baharu yang unik. Contohnya, kartun Lat dilihat sebagai karikatur ikon kepada dunia komik tempatan. Kalau boleh, jangan terikut-ikut dengan mangga dan komik Barat," katanya.


TEKNOLOGI canggih hari ini membolehkan lakaran kartun dibuat terus ke dalam komputer.



Muliyadi mengesyorkan, Persatuan Penggiat Komik Malaysia (PeKOMIK) perlu menggiatkan lagi usaha mempromosi dunia komik yang didominasi lelaki ini kepada kaum Hawa yang dilihat sebagai golongan minoriti.
"PeKOMIK perlu lakukan lebih banyak promosi untuk menarik usaha untuk menambah kartunis wanita pada masa hadapan.
"Penampilan kartunis wanita perlu dilakukan lebih kerap di khalayak ramai terutama ketika menghadiri pesta atau pameran," cadang beliau.


Hukum fizik dalam animasi teknologi






PELANCONGAN angkasa lepas mungkin sesuatu yang asing kepada kebanyakan orang. Namun, bagi segelintir individu, mereka melihat perkara tersebut sebagai sebuah peluang dan prospek untuk dimajukan.
Antara insan yang menaruh kepercayaan kepada bidang itu ialah seorang profesor dari Jabatan Sains Alam Sekitar dan Pembangunan Hayat, Universiti Azabu, Jepun, Patrick Collins.
Dia sudah melibatkan diri dalam bidang sains angkasa selama 25 tahun dengan kajian yang mendalam terhadap industri angkasa lepas. Collins juga merangsang minat orang ramai terhadap pelancongan angkasa lepas dan sumber tenaga.


SELAIN mahu mempromosi semula sebuah komik popular, Collins mahu membantu perkembangan dunia animasi teknologi yang selari dengan pengetahuan tentang sains.



Antara hasil kerjanya yang amat menarik ialah sebuah komik anime bertajuk Re-Entry. Komik yang dihasilkan 10 tahun lalu itu merupakan bukti jelas mengenai usaha Collins dalam mempromosi bidang yang dianggap mustahil oleh rata-rata masyarakat.
Menariknya, hak harta intelek (IP) dan lesen komik tersebut telah diberi kepada syarikat anak tempatan, Triangle D Sdn. Bhd. (Triangle D) untuk diolah menjadi filem animasi tiga dimensi dengan kerjasama Persatuan Pelancongan Angkasa Lepas - Cawangan Malaysia (STS-MC).
Menurut Presiden Triangle D, Norul Rohidi Zakaria, 33, projek trailer animasi tiga dimensi Re-entry sudah 70 peratus siap dan kini berada pada tahap pascaproduksi.
“Pasukan kami terdiri daripada enam orang ahli yang berpengalaman dalam bidang masing-masing. Antara kerja-kerja akhir yang perlu dilakukan sekarang adalah suntingan dan memasukkan efek-efek khas,” katanya ketika ditemui di ibu pejabat Triangle D di Shah Alam baru-baru ini.


COLLINS dan Norul Rohidi bekerjasama demi merealisasikan Re-Entry.



Individu yang terlibat dalam projek trailer itu bukan calang-calang orang. Dua orang pensyarah yang masing-masing mengajar di Universiti Kebangsaan Malaysia dan Universiti Putra Malaysia, Muhammed Irwan Abdullah dan Muhammad Faizal Che Leh, turut menyumbang.
“Apabila siap nanti, trailer itu akan ditayangkan di Paris, Perancis pada 17 hingga 19 Oktober ini sempena persidangan Agensi Angkasa Eropah anjuran Agensi Angkasa Eropah (ESA) dan Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA),” kata Norul Rohidi yang teruja dengan penayangan Re-Entry kelak.
Mereka mengharapkan trailer selama tiga minit itu akan memberi impak kepada semua yang hadir di persidangan tersebut seterusnya mendapatkan dana bagi merealisasi filem tiga dimensi pertama Malaysia.
“Selain itu, kami juga sedang berusaha untuk mendapatkan dana di Malaysia kerana kami percaya kandungan cerita ini amat kuat,” luah Norul Rohidi.
Rekaan ditolak


BUNGA raflesia menjadi ilham kepada reka bentuk imaginasi pusat angkasa lepas.



Bercerita mengenai projek tersebut yang sudah bermula sejak Januari lalu, mereka mendapat panduan daripada Collins berhubung ketepatan jalan cerita dan hukum fizik di angkasa lepas.
Dari segi kreativiti pula, pasukan Triangle D diberi kebebasan sepenuhnya dalam penciptaan karakter yang sesuai dan dianggap global serta teknologi yang ditonjolkan.
“Untuk rekaan kapal angkasa lepas sahaja, reka bentuknya telah ditolak sebanyak tiga kali. Antara alasannya adalah rekaan itu tidak logik apabila dinilai dari segi saintifik.
“Komen-komen Collins seperti reka bentuk sayap terlalu besar dan jika dalam keadaan sebenar akan patah dalam kelajuan tinggi diaplikasi dalam rekaan seterusnya,” ulas lelaki itu.
IMEJ watak segak dengan sentuhan antarabangsa.


Mengikut hukum fizik, faktor yang menyebabkan sayap itu boleh patah adalah daya angkat (lift force) yang memberi tekanan tinggi pada permukaannya.
Ia mematuhi hukum Bernoulli iaitu apabila had laju tinggi, tekanan akan menjadi rendah.
Selain mendapat tunjuk ajar dalam rekaan kapal angkasa, pasukan mereka turut menjadikan model pesawat pejuang Apache Tomcat dan Lockhead SR-71 Blackbird sebagai rujukan utama.
Tambah Norul Rohidi, adegan pelepasan kapal angkasa ke orbit turut mendapat kritikan daripada Profesor dari Jepun itu supaya ia boleh dipaparkan dengan menarik dan mematuhi hukum sains.
“Tujuannya adalah supaya jalan cerita tidak tersasar dan paparan industri pelancongan angkasa lepas benar-benar meyakinkan dan mengikut logik sains,” jelasnya penuh teruja tentang projek itu.
Untuk karakter pula, atas permintaan Collins, semua watak telah ditukar dengan menampilkan watak-watak dari seluruh dunia seperti Malaysia, Rusia dan Zimbabwe berbanding komik asal yang nampak jelas ciri-ciri Jepun.
Treler Re-Entry itu nanti akan memaparkan imej karakter dalam bentuk dua dimensi manakala objek-objek persekitaran pula dalam bentuk tiga dimensi.


Animasi BoBoiBoy ke persada antarabangsa





GELAGAT comel kanak-kanak mempunyai kuasa super menentang makhluk asing bergelar Adudu yang berkepala botak dalam siri animasi tiga dimensi (3D) BoBoiBoy cukup menghiburkan dan mencuit hati penonton.
Kehalusan pergerakan karakter, pencahayaan terperinci dan garapan cerita yang baik menghidupkan lagi watak-watak dalam siri animasi 3D itu sehingga kelihatan bak dalam dunia nyata.
Ia sekali gus menjadikan siri animasi BoBoiBoy setanding hasil karya antarabangsa selain antara pilihan siri animasi kanak-kanak pada hari ini.
Bukan sahaja kanak-kanak kecil teruja menonton kelibat kanak-kanak mempunyai kuasa super itu malah, golongan dewasa juga tidak terkecuali dalam menonton siri animasi hasil garapan sulung Animonsta Studios Sdn. Bhd.

TUNJANG belakang Animonsta Studios (dari kiri) Muhammad Anas Abdul Aziz, Mohd. Nizam, Mohd. Safwan Ab. Karim dan Kee Yong Pin.


Di sebalik hasil karya yang mempunyai durasi selama 11 minit itu, penonton mungkin tidak mengetahui bahawa pembikinan sebuah episod BoBoiboy mengambil masa kira-kira satu bulan untuk disiapkan sepenuhnya.
Pengarah Urusan Animonsta Studios Sdn. Bhd., Mohd. Nizam Abd. Razak berkata, terdapat tiga peringkat utama yang perlu dilalui terlebih dahulu dalam penghasilan siri animasi BoBoiBoy.
“Pada peringkat awal, proses praproduksi perlu dilakukan terlebih dahulu. Kita akan bersama-sama membincangkan mengenai idea, plot cerita, skrip yang sesuai digunakan, penyediaan audio dan kemasukan suara latar.
“Apabila sudah melalui proses praproduksi ini, kita akan meneruskan pula proses produksi yang melibatkan proses lebih rumit seperti modeling watak-watak, pergerakan animasi, rendering, proses audio, pencahayaan dan banyak lagi,” ujar anak muda berusia 28 tahun itu.
Selepas proses produksi, graduan Universiti Multimedia (MMU) itu menjelaskan, mereka akan melakukan post produksi dalam mengemaskini garapan plot cerita untuk memastikan produk akhir menepati kriteria ditetapkan.

DARI KIRI: BoBoiBoy, Gopal, Ying dan Yaya menambat hati penggemar animasi tempatan dan antarabangsa.


Ujarnya lagi, beberapa perkara yang perlu dititikberatkan dalam proses akhir itu termasuklah penyuntingan, memasuk pelbagai efek, pengubahan dan lain-lain lagi.
Mohd. Nizam menubuhkan Animonsta Studios bersama tiga rakan universitinya yang hanya mempunyai tujuh tenaga kerja pada tahun 2009. Kini, Animonsta Studios boleh berbangga kerana menjadi platform mengetengahkan bakat tempatan dan luar negara apabila berkembang sehingga kini mempunyai 30 tenaga kerja.
“Kita telah menggunakan beberapa perisian termasuk Adobe Photoshop, After Effects, Premiere, Autodesk Maya 3D dan Apple Logic Pro untuk melancarkan proses pembikinan siri animasi 3D BoBoiBoy ini.
“Perbadanan Pembangunan Multimedia Malaysia (MDeC) banyak memberi sokongan termasuk memberi akses kemudahan yang ada di bangunan Pusat Animasi dan Kandungan Kreatif (MAC3), Cyberjaya,” katanya.
Dalam pada itu, Mohd. Nizam memberitahu, pemilihan watak adiwira cilik adalah kerana genre tersebut mudah diterima penonton tempatan dan antarabangsa.
“Kita ingin membikin ikon kanak-kanak yang dapat menghibur sambil menyampaikan nasihat kepada penonton terutama kanak-kanak melalui animasi. Ia terbukti apabila siri animasi 3D BoBoiBoy ini mendapat sambutan di negara ini. Bahkan, melalui rangkaian Disney ia berjaya menambat hati penonton animasi luar negara seperti di Filipina dan Singapura,” katanya.
Cabaran juruanimasi

ANIMONSTA Studios mempunyai 30 tenaga kerja untuk membikin BoBoiBoy.


Sementara itu, Juruanimasi Kanan Animonsta Studios, Ahmad Noriman Ahmad Saffian memberitahu, sebagai juruanimasi dia perlu mempunyai kemahiran berlakon.
“Lazimnya, kami akan melakonkan babak-babak antara satu sama lain untuk memastikan pergerakan animasi berjalan dengan lancar dan cantik.
“Dengan cara ini, kita dapat melihat mimik muka, pergerakan tangan dan kaki dengan lebih mudah untuk mendapat mood apabila ingin diterjemahkan kepada animasi,” katanya.
Pemuda berusia 23 tahun itu menambah, kadangkala dia juga berdepan kesukaran mencari idea yang sesuai untuk sesuatu babak animasi tersebut.
Katanya, dia tidak mahu babak dihasilkan menyamai babak sebelum ini untuk memastikan kelainan dapat ditonjolkan kepada penonton.
“Juruanimasi bukan sahaja perlu kreatif tetapi, mempunyai daya imaginasi yang tinggi dalam pembikinan BoBoiBoy.
“Kita juga sentiasa mengadakan perbincangan untuk memastikan hasil karya menepati cita rasa penonton hari ini,” katanya lagi.

PROSES rakaman suara perlu dilakukan dengan teliti.


Rashdan Fahirurazi, 23, yang sentiasa membuat rujukan filem atau siri animasi antarabangsa pula berkata, dia merasakan terdapat babak sukar dan mudah dilakukan dalam pembikinan BoBoiBoy.
“Ia bergantung kepada skrip yang diperoleh pada babak berkenaan. Kalau ada babak lawan ia lebih rumit dan memerlukan daya imaginasi para juruanimasi.
“Tidak dinafikan, terdapat juga babak-babak yang telah siap kemudian ditolak kerana tidak menepati kriteria dialog yang diberikan kepada kami,” katanya.
Bagaimanapun, ia bukan penghalang bagi mereka untuk meningkatkan lagi mutu dan kualiti produk akhir.
Katanya, apabila penonton dapat merasai apa yang cuba disampaikan ia memberi kepuasan kepada diri terutamanya membabitkan babak jenaka.
Perancangan masa depan
Mohd. Nizam menambah, dia sedang dalam perancangan untuk memasarkan siri animasi 3D BoBoiBoy di Indonesia pada bulan Januari tahun hadapan.
“Beberapa stesen televisyen luar negara turut menunjukkan maklum balas positif dan berharap BoBoiBoy dapat melonjak nama Malaysia di pentas antarabangsa,” katanya.
Dia yang menggemari animasi turut mempunyai perancangan untuk membuat filem dan barang niaga BoBoiBoy seperti kandungan mudah alih, baju T, minuman, kek serta banyak lagi.
Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai BoBoiBoy dan Animonsta Studios anda boleh melayari laman


Dilema animasi di Malaysia






'JANGAN monyet.....jangan' 'Aku tak peduli...aku nak juga. Walaupun dialog animasi pendek itu ditayangkan sekitar tahun 80-an, masih ramai yang mengingatinya. Petikan dialog animasi Sang Kancil dan Monyet terbitan Filem Negara Malaysia (FNM) itu nyata sangat kuat pengaruhnya.
Jalan ceritanya tampak mudah, namun siri yang diadaptasi daripada cerita dongeng kanak-kanak itu tetap memberi impak kepada penonton tanpa mengira peringkat usia.
"Penghasilan siri berkenaan telah mencetuskan fenomena baru dalam bidang animasi tempatan, biarpun tanpa sebarang kepakaran dan teknologi canggih," kata penciptanya yang juga pelopor bidang animasi di Malaysia, Hassan Abdul Muthalib.
Biarpun durasi siri tayangan yang dihasilkan pada tahun 1984 itu hanya lima minit, proses menyiapkannya mengambil masa selama enam bulan.
Kesemua proses dilakukan secara manual bermula daripada proses melakar, mewarna, membuat papan cerita, memasukkan imej sehingga kepada proses produksi.
"Untuk menghasilkan sebuah animasi selama satu saat memerlukan sebanyak 12 keping lukisan, bayangkan berapa keping lukisan diperlukan untuk tempoh lima minit," ujarnya.
Namun, semua itu tidak mematahkan semangat Hassan untuk meneruskan usahanya, lebih-lebih lagi percubaan pertamanya mendapat sambutan daripada penonton.
Tiada pengalaman
Dedikasinya diterjemahkan melalui beberapa siri animasi pendek seterusnya seperti Sang Kancil dan Buaya pada tahun 1987, Gagak Yang BijakSinga Yang Haloba dan Arnab Yang Sombong.
Mengakui tidak memiliki pengalaman dalam bidang pengarahan, penulisan atau penghasilan animasi ketika itu, Hassan berkata, ia dilakukan atas dasar minat, kajian dan percubaan semata-mata.
Lelaki berusia 65 tahun itu bertuah kerana bertemu dengan salah seorang animator Walt Disney yang terkenal, Clair Weeks. Daripada Weeks, Hassan belajar cara-cara untuk menghasilkan jalan cerita dan watak dalam sesebuah animasi.
KAMARUDIN (kiri) melihat kakitangannya melakar imej animasi menggunakan komputer.


Bermula dari situ Hassan menghasilkan beberapa treler pendek yang berbentuk nasihat seperti Hapuskan Denggi, Jimatkan Elektrik, Jimatkan Air, Jauhi Dadah sehinggalah diberi peluang menghasilkan siri Sang Kancil ketika menjawat jawatan sebagai Ketua Unit Senireka FNM.
Penglibatannya dalam bidang perfileman bermula selepas bertemu dengan Zarul Hisham Al-Bakri pada tahun 1989 yang membawa kepada penghasilan filem Mat Gelap lakonan Imuda.
Menariknya, ia merupakan kali pertama watak manusia dan animasi digabungkan dalam sebuah filem di negara ini.
"Ia diilhamkan berdasarkan filem Who Frame Rogger Rabbit yang diterbitkan pada tahun 1988. Biarpun watak animasi filem ini hanya memakan masa empat minit setengah namun ia memerlukan masa empat bulan untuk disiapkan.
"Prosesnya juga agak rumit kerana saya terpaksa membayangkan watak Imuda sebelum disesuaikan dengan imej Mat Gelap melalui teknik pertindihan imej," kata Hassan yang memberitahu ia merupakan filem pertama dan terakhir menggunakan teknik sedemikian.
Tidak terhenti setakat itu sahaja, beliau turut menjadi antara orang penting dalam filem animasi pertama negara iaitu Silat Lagenda yang mempopularkan watak Hang Tuah dan sahabat-sahabatnya, siri-siri animasi serta iklan komersial.
Kejayaan Disney
Menyifatkan penggunaan teknologi komputer dan perisian canggih banyak membantu serta memudahkan penghasilan animasi pada hari ini, Hassan berpendapat ia bukan faktor utama dalam melahirkan sesebuah karya yang hebat.
"Biarpun menggunakan teknik tiga dimensi (3D) dan imej janaan komputer (CGI) ia tidak akan bermakna sekiranya animasi yang dihasilkan tidak mempunyai penceritaan yang baik.
"Sebab itu kita lihat animasi Disney begitu berjaya sehingga ke hari ini. Animasi yang dihasilkan bukan sekadar lukisan yang bergerak tetapi cerita yang dilakarkan, sebab itu kita lihat watak Mickey Mouse dan Donald Duck mempunyai pengaruh yang sangat kuat," jelasnya yang berpengalaman sebagai pengajar dan juri jemputan pelbagai festival animasi di dalam dan luar negara.


MESKIPUN tanpa kepakaran, Hassan berjaya menghasilkan animasi filem Mat Gelap yang menggabungkan watak manusia dan animasi.



Sementara itu, Pengarah Urusan Quest Animations (M) Sdn. Bhd., Kamarudin Ismail yang berpengalaman dalam bidang animasi sejak dua dekad lalu berkata, kejayaan filem Geng: Pengembaraan Bermula yang diadaptasi daripada siri televisyen Upin dan Ipin membuktikan teknologi animasi semakin berkembang.
Berpengalaman mengarahkan animasi bersiri seperti Usop Sontorian dan Kluang Man yang begitu popular sekitar 90-an, beliau menjelaskan, ketika itu tidak ramai yang mempunyai kepakaran membabitkan aspek teknikal dan penerbitan animasi terutama melalui komputer.
"Saya sendiri bermula daripada bawah, belajar melalui buku sebelum mampu melatih pekerja menggunakan perisian yang digunakan.
"Semasa projek Usop Sontorian dimulakan, ramai yang memandang sinis dan membandingkannya dengan animasi dari luar, namun sebaik sahaja disiarkan ia berjaya menarik perhatian penonton," katanya yang juga Presiden Persatuan Animasi Malaysia (Animas).
Potensi dan nilai komersial yang dihasilkan membuka mata banyak pihak menyebabkan pelabur dan produksi tempatan menunjukkan minat untuk menghasilkan animasi tempatan.
Ini termasuklah ledakan teknologi digital seperti 3D yang membolehkan lakaran animasi yang dilakukan lebih halus dan setanding dengan produk luar negara.
Perkembangan itu digiatkan menerusi galakan daripada Perbadanan Multimedia Malaysia (MDeC) yang menyuntik sejumlah dana bagi membiayai projek dalam industri animasi dan kandungan kreatif digital.
Tidak hairanlah, beberapa syarikat animasi memberani diri menghasilkan siri seperti Anak-Anak Sidek, Bola Kampung, Yokies, Sang Wira, Kampung Boy dan sebagainya.
Malah, Kamaruddin sendiri telah menghasilkan beberapa karya bermula daripada Che Nat, Toman 1, Kumang Lagenda Sarawak, Lagenda Kinabalu, Pusaka, Pejuang dan terbaru Duwi.
Populariti animasi tempatan turut dirasai semasa Pameran Animasi 1Malaysia di yang diadakan di Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) pada 20 April sehingga 21 Mei lalu.
Pengarah Perkhidmatan Maklumat Umum PNM, Dahlia Zainal berkata, pameran yang julung-julung kali diadakan itu mendapat sambutan menggalakkan dan mendedahkan generasi muda terhadap bidang animasi tempatan.
"Sepanjang pameran ini mereka didedahkan tentang sejarah dan teknik penghasilan animasi selain bertemu dengan mereka yang terlibat dalam industri ini," katanya.
Dilema
Bagaimanapun dalam kerancakan itu, wujud dilema apabila stesen televisyen swasta kurang memberi sokongan kepada industri berkenaan.
USOP SONTORIAN berjaya mencetuskan fenomena.


Harapan kini disandarkan kepada Radio Televisyen Malaysia (RTM) yang membeli beberapa program animasi untuk disiarkan di dalam lima slot setiap minggu.
"Inilah masalah yang menghantui kalangan pengeluar animasi tempatan, sudahlah sukar mencari tempat di stesen televisyen milik swasta malah mereka terpaksa bersaing sesama sendiri mengisi slot yang disediakan oleh RTM.
"Kesannya, banyak produk animasi tidak dapat disiarkan malah ada di kalangan pemilik produksi terpaksa mencari pasaran baru di luar negara bagi mengelakkan kerugian di samping membayar segala kos operasi," kata Kamarudin yang berharap satu perbincangan segera dapat diadakan bagi menyelesaikannya.
Pendapat yang sama turut diutarakan oleh pengarah animasi berbakat, Amier Hamzah. Menurut beliau, salah satu pendekatan yang boleh membantu meningkatkan industri itu ialah dengan membuka lebih banyak siaran di rangkaian televisyen tempatan.
Beliau juga berharap kerajaan dapat menyalurkan bantuan bagi mendorong penghasilan animasi yang lebih bermutu terutama dalam konteks hiburan berlatarbelakangkan tradisi, adat resam dan kehidupan di negara ini.
Animasi boleh dijadikan bahan berkesan dengan memuatkan unsur-unsur nasihat, motivasi, keagamaan, mengangkat nilai tradisi dan sejarah melalui ikon-ikon tempatan yang dibentuk.
"Untuk membangunkan industri berkenaan, ia memakan masa yang lama dan tidak boleh berlaku dalam tempoh yang singkat.
"Bagaimanapun apa yang berlaku agak mengecewakan, pergantungan kepada animasi luar yang lebih murah menyebabkan animasi tempatan dan bakat-bakat sedia ada dan berpotensi terkubur begitu sahaja," tegasnya.

Supertots ke mata dunia





GARAPAN jalan cerita, latar belakang realistik, padanan suara latar dan kehalusan pergerakan karakter merupakan antara inti pati penting penghasilan sesebuah produksi tiga dimensi (3D) untuk memberi impak kepada penonton.
Membikin filem atau siri animasi 3D memerlukan keberanian kerana bukan sahaja memerlukan kos yang tinggi tetapi kesabaran serta ketelitian untuk memberi nafas kepada setiap karakter dihasilkan.
Bahkan, penghasilan sesebuah produksi animasi 3D yang memakan masa sehingga bertahun-tahun lamanya membuatkan ramai berfikir dua tiga kali sebelum mengambil keputusan menceburi bidang tersebut.
Bagaimanapun, kejayaan filem Geng Pengembaraan: Upin dan Ipin sehingga ke peringkat antarabangsa telah merubah persepsi mengenai animasi 3D di negara ini, sekali gus membuka 'jalan' kepada syarikat-syarikat tempatan untuk bersama-sama merebut peluang dalam industri baru itu.
Salah sebuah syarikat tempatan yang tidak mahu ketinggalan dalam arus pembangunan teknologi animasi ialah Netcarbon.
Syarikat ditubuhkan pada tahun 2003 itu sedang dalam pembikinan siri animasi 3D berbahasa Inggeris iaitu Supertots.
Supertots merupakan langkah berani Netcarbon yang sebelum ini membangunkan projek kandungan interaktif untuk memasarkan siri enam episod untuk segmen pasaran antarabangsa.
Ketua Pegawai Eksekutif Netcarbon, Mohd. Rashdan Ramlee, berkata, Supertots merupakan siri animasi 3D berlatar belakangkan angkasa lepas dengan menampilkan lima kanak-kanak pendukung watak utama iaitu Captain Danny, Elly, Alan, Shasha dan Blinq yang menentang Zeeboz.
PROSES lakaran jalan cerita perlu disiapkan terlebih dahulu sebelum pereka model membuat watak-watak Supertots.


"Dalam siri animasi selama 11 minit bagi setiap episod ini, kami ingin menerapkan nilai-nilai murni seperti persahabatan, perpaduan dan semangat kerjasama.
"Begitupun, mesej utama yang ingin kami sampaikan dalam setiap episod siri animasi ini adalah kepentingan kerjasama dalam mencapai kejayaan. Tanpa semangat kerjasama tentu sukar memperoleh kejayaan," katanya ketika ditemui Kosmo!.
Menyentuh mengenai lima watak utama siri Supertots, Mohd. Rashdan menambah, setiap kanak-kanak itu mempunyai personaliti unik dan kuasa tersendiri.
"Sebagai contoh Captain Danny yang berumur lima tahun merupakan ketua pasukan Supertots memiliki kuasa baju perisai nanotek untuk menangkis serangan Zeeboz. Alan pula hanya berusia dua tahun adalah pegawai komunikasi dengan kuasa misteri.
"Elly (pegawai sains), Shasha (pegawai keselamatan) dan Blinq (jurutera utama) pula berumur empat tahun masing-masing mempunyai kuasa seperti telekinesis, kekuatan super serta kelajuan super," katanya lagi.
Dalam pembikinan siri animasi Supertots, Netcarbon bekerjasama dengan Perbadanan Pembangunan Multimedia (MDeC) dan Persatuan Forum Usahawan ICT Bumiputera Malaysia (NEF).
Produksi yang bermula pada bulan Mac lalu, dijangka siap menjelang Jun 2011 melibatkan kira-kira 45 tenaga kerja. Lebih manis kesemuanya merupakan anak tempatan.
Ujar Mohd. Rashdan lagi, selain daripada lima watak utama itu terdapat juga karakter Atok yang merupakan penjaga kapal angkasa serta membantu dan menasihatkan kanak-kanak itu setiap kali mereka bergaduh atau berselisih faham.


PARA pekerja Netcarbon giat menyiapkan projek siri animasi 3D Supertots.



Katanya, Zeeboz pula merupakan watak nakal dalam animasi 3D tersebut yang akan menimbulkan masalah kepada pasukan Supertots.
"Bagi menyiapkan satu episod Supertots, kita memperuntukkan masa tiga hingga empat bulan demi menjaga kualiti dan produk akhirnya.
"Pelbagai proses yang perlu dilalui sebelum siri animasi 3D ini dapat direalisasikan. Kami juga menggunakan beberapa aplikasi utama dalam pembikinan animasi ini termasuk Autodesk Softimage, Apple Final Cut Studio dan Particle Illusion,"ujarnya lagi.
Langkah pembikinan
Mohd. Rashdan menambah, proses pembikinan siri animasi 3D Supertots itu bermula dengan idea dan konsep terlebih dahulu. Selepas kata sepakat dicapai proses lakaran serta jalan cerita bermula dalam bentuk  dua dimensi (2D).
Walaupun lakaran 2D tampak menarik tetapi apabila ditukar kepada 3D, ia tidak seperti yang dikehendaki dan memerlukan dia dan tenaga kerja mencari penyelesaian.
"Sebelum proses pembentukan watak, kita terlebih dahulu perlu merakam gerak geri yang dikehendaki melalui proses rakaman pergerakan di studio.
"Memandangkan kami menggunakan bakat dewasa pereka model perlu memainkan peranan agar ia bersesuaian dengan perwatakan kanak-kanak yang cuba ditonjolkan dalam siri animasi 3D ini," katanya.
Ujar beliau lagi, proses rakaman pergerakan melibatkan empat peringkat utama iaitu modeling (proses membuat model), rigging (proses membuat rangka dalam animasi), animation dan rendering (proses menjadi model sebagai imej).
Sementara itu, Pengarah Seni Netcarbon, Marhaidan Muhiddin, berkata, proses modeling amat penting kerana ia adalah langkah mewujudkan karakter dalam siri itu sebelum memasukkan aspek lain seperti anggota badan, pakaian, warna dan sebagainya.
SEORANG pelakon bakat sedang melakukan pergerakan untuk dirakamkan sebelum diterjemah dalam bentuk animasi.


"Setiap pereka model perlu mempunyai ketelitian dan kesabaran dalam menghasilkan setiap watak dalam pembikinan siri animasi 3D ini.
"Apabila sudah selesai dan berpuas hati dengan modeling kita akan memulakan proses rigging pula yang bertujuan untuk memasukkan tulang-tulang agar pergerakan kelihatan lebih lembut serta kemas," ujarnya lagi.
Marhaidan menambah, proses rigging amat penting untuk membuatkan watak-watak dalam siri animasi 3D kelihatan realistik.
Katanya, jikalau rigging tidak dilakukan dengan sempurna pergerakan watak-watak itu akan kaku dan tidak dapat memberi impak kepada penonton.
"Dalam pembikinan siri animasi 3D ini, kita juga menggunakan pencahayaan Global Illumination (GI) agar setiap perincian dapat dilihat oleh penonton.
"Pencahayaan GI lebih merumitkan daripada biasa tetapi hasilnya lebih mengagumkan dan dapat memberi kepuasan kepada penonton kelak," katanya.
Selain itu, jelas Marhaidan, proses rendering juga memerlukan kesabaran kerana mengambil masa yang lama iaitu kira-kira satu bulan untuk sebuah episod.
"Kita akan melihat sama ada apa yang dikehendaki dapat dihasilkan jika tidak berpuas hati proses rendering dilakukan semula," katanya.
STUDIO suara latar turut disediakan di Netcarbon untuk memudahkan proses memasukkan suara.


Ketua Pegawai Operasi Netcarbon, Muhammad Iskandar Daniel Yahya, menambah, siri animasi 3D Supertots itu banyak menggunakan warna ceria kerana watak yang ditonjolkan adalah kanak-kanak.
"Walaupun latar belakang cerita ini mengisahkan di angkasa lepas, namun warna ceria diterapkan dalam pembikinan siri animasi ini.
"Kita mahu penonton berasa seronok dan mendapat pengajaran serta mesej yang cuba disampaikan pada setiap episod siri animasi ini," ujarnya lagi.
Netcarbon sudah mendapat beberapa permintaan dari luar negara untuk penyiaran siri animasi 3D Supertots itu. Syarikat berkenaan juga bercadang untuk membuat dalam bahasa Melayu bagi pasaran tempatan kelak.

 Kerana watak Kak Ros

Pelakon suara, Ida Shaheera kena mencuba berbagai-bagai variasi nada dalam animasi Upin dan Ipin.


IDA bersama watak Kak Ros yang menggunakan suaranya.



APABILA mendengar watak animasi bersuara di kaca TV, kita seolah-olah percaya bahawa suara itu adalah milik watak kartun berkenaan. Namun, di sebalik tabir, sudah tentu ada insan yang menjadi 'peti suara' bagi watak tersebut.
Kerja itulah yang dilakukan oleh pelakon suara (voice actor). Merekalah yang memberikan suara kepada watak kartun. Sehinggakan kita sendiri mampu mengenal pasti bunyi suara itu milik Upin, Donald Duck atau Pikachu.
Wartawan ADHAM SHADAN berpeluang menemu bual seorang pelakon suara, IDA SHAHEERA AZHAR, 24, yang melontarkan suara untuk watak Kak Ros dalam siri animasi yang mencetuskan fenomena di Malaysia, Upin dan Ipin.
GenK: Bagaimanakah anda mula terlibat dalam kerjaya ini?
IDA: Saya sebenarnya terlibat di sebalik tabir produksi syarikat Les' Copaque sebagai penulis skrip. Saya mula melontarkan suara untuk watak Kak Ros, kakak kepada Upin dan Ipin, sejak musim kedua siri animasi berkenaan.
Kalau ada orang lain berminat untuk jadi pelakon suara, apakah nasihat anda?
Kesesuaian suara dengan watak itu perlu. Minat sahaja tidak mencukupi jika tidak ada watak yang dicipta atau suara kita tidak kena dengan watak. Justeru, animasi di negara ini perlu diperbanyakkan bagi mempelbagaikan watak. Buat masa ini, pengambilan untuk menjadi pelakon suara adalah menerusi uji bakat yang dibuka kepada orang ramai dan biasanya ia dibuka apabila ada kekosongan watak. Maklumlah, ia berlainan dengan pekerjaan alih suara.
Bolehkah anda jelaskan kelainan antara pelakon suara dan alih suara?
Alih suara melibatkan kerja kita mengalih suara pada animasi atau drama yang telah wujud tetapi pelakon suara ialah mereka yang melakonkan animasi yang masih dalam produksi atau secara khususnya belum dapat  dilihat atau ditonton. Orang ramai salah faham, mereka fikir suara dimasukkan selepas animasi siap, sebaliknya suara perlu disiapkan lebih awal daripada animasi. Jadi, ia berbeza dengan produksi alih suara.
Kerja itu sudah membayangkan cabarannya. Bagaimanakah anda menghayatinya?
Sebagai pelakon suara, kita bersuara dengan membayangkan bagaimana watak animasi itu akan berkata-kata, intonasinya dan sebagainya. Memang ada panduan daripada mock-up suara dan jurulatih suara tetapi kita masih boleh mencorakkannya mengikut kewajaran. Kalau alih suara, cabarannya melibatkan sudut yang lain pula. Mungkin untuk memastikan pergerakan mulut hampir serupa dengan watak animasi. Tetapi tidak bagi kami kerana suara kami direkodkan dahulu, baru disiapkan animasinya.


IDA melakukan lakonan suara di studio.



Mengenai cabaran pelakon suara, kami kena cuba berbagai-bagai variasi nada dan intonasi untuk satu baris ayat. Kami juga perlu cuba berkali-kali. Biasanya lima kali. Paling banyak saya pernah melakukan 10 kali percubaan untuk satu ayat.
Adakah terdapat persamaan antara watak anda dengan Kak Ros?
Macam tidak ada (ketawa). Sebabnya, watak Kak Ros adalah tegas. Saya sebenarnya seorang yang tak tahu nak marah. Jadi, ramai kawan-kawan tak sangka bahawa suara Kak Ros adalah suara saya. Ramai juga kawan-kawan yang tidak dapat cam suara itu. Kebanyakan mereka hanya sedar apabila tertera nama saya di bahagian kredit pada akhir cerita.
Apakah perasaan anda setelah menjadi pelakon suara?
Seronok. Bukanlah popular sangat tetapi kerana watak Kak Ros saya dikenali. Kadang-kadang saya berasa unik, sebab tak ramai orang berpeluang melakukan kerja itu. Ini kerana di negara ini belum banyak lagi animasi yang dihasilkan. Tetapi, ada juga orang tidak sukakan Kak Ros sebab begitu tegas dengan Upin dan Ipin yang comel itu (ketawa).


IDA menerangkan peringkat-peringkat penghasilan animasi.



Bagaimanakah hendak menjadi pelakon suara yang baik?
Jangan cepat putus asa. Sebab adakalanya kita kena ulang satu baris ayat berkali-kali. Tidak bermakna kalau anda merasakan telah melakukan yang terbaik untuk sebaris ayat pada hari ini, anda tidak akan dipanggil untuk memperbaikinya keesokan hari atau pada hari yang lain. Maklumlah, setiap produksi pasti mahu menghasilkan animasi yang terbaik.
Bolehkah kerjaya pelakon suara menjadi pekerjaan tetap individu di negara ini?
Susah hendak kata, sebab bayarannya berbeza-beza mengikut faktor tertentu seperti watak yang dibawa atau berapa baris ayat yang dilakonkan. Buat masa ini, saya berpendapat mungkin ia lebih sesuai dijadikan kerjaya sambilan. Tetapi, tidak mustahil kalau industri animasi sudah betul-betul berkembang di negara ini, ia boleh menjadi sebaliknya.

Autodesk pelengkap animasi

Rekaan imej tiga dimensi (3D) semakin popular di kalangan para peminat animasi. Setiap perisian yang ingin digunakan menjadi keutamaan bagi penggiat 3D untuk mendapatkan hasil yang berkualiti tinggi.





TELATAH karakter filem animasi Upin & Ipin ternyata telah menghiburkan ramai penonton yang menyaksikannya. Meskipun menampilkan watak kanak-kanak, ia telah berjaya diterima oleh seluruh lapisan  masyarakat.
Mungkin kejayaan Upin & Ipin ini perlu dilihat sebagai pencetus semangat baru kepada penggiat animasi untuk mencorak kegemilangan filem animasi di negara ini.
Kekuatan jenama Upin & Ipin ternyata sukar digugat, apatah lagi filem pertama Geng: Pengembaraan Bermula yang ditayangkan di pawagam bermula 12 Februari hingga 1 April lalu mencatat sejarah tersendiri apabila berjaya mengutip lebih RM6.3 juta.


FUAD (kanan) bersama CS Tan (tengah) dan Mohd. Hafiz Hanafiah ketika pelancaran perisian Autodesk.



Namun, di sebalik kejayaan yang telah diraih itu, produksi Upin & Ipin tidak keberatan untuk menceritakan serba sedikit mengenai teknologi canggih imej tiga dimensi (3D) yang digunakan filem tersebut sehingga ia telah diiktiraf di peringkat antarabangsa.
"Teknologi animasi yang kami gunakan sebelum terhasilnya filem ialah perisian Autodesk Maya. Salah satu tujuan kami memilih perisian ini kerana ia mudah. Lagi pun kami sudah berpengalaman menggunakannya sebelum ini," beritahu Ketua Pereka Las Copaque, Fuad Md. Din pada sidang media perisian animasi Autodesk di Sri Hartamas, Kuala Lumpur baru-baru ini.
FUAD MD. DIN


Memuji perisian Autodesk yang dikatakan sudah lengkap bagi sesiapa yang ingin menghasilkan filem animasi bermutu tinggi, Fuad menjelaskan dengan melaksanakan empat aspek iaitu modelingrigginganimation dan rendering maka terhasil filem animasi itu.
Dalam aspek modeling atau pengwujudan karakter, pembentukan anggota badan adalah penting sebelum ia diteruskan dengan penghasilan perkara lain seperti pakaian dan sebagainya.


Bagaimanapun ciri ketelitian tidak boleh diabaikan kerana watak yang ditampilkan dalam filem itu penuh variasi. Ini kerana ia memaparkan pelbagai kaum seperti Melayu, India dan Cina.
"Kita terapkan banyak watak di dalam filem ini. Jika ditonton semula, filem Upin & Ipin turut menggunakan banyak watak binatang dan tumbuh-tumbuhan. Jadi, ia memerlukan banyak model iaitu sehingga mencapai 100 model 3D," ujarnya.
Proses rigging pula, dilaksanakan untuk memudahkan para artis grafik membentuk tulang pada setiap watak yang ingin dimainkan. Tujuannya mudah sahaja, iaitu untuk menggerakkan seluruh anggota badan.
Apabila menggunakan perisian Maya, ia langsung tidak menyusahkan para penggunanya kerana dalam beberapa minit sahaja hasil sudah siap sepenuhnya.
Kebiasaannya dengan menggunakan perisian grafik yang lain, anda mungkin perlu menyiapkan lukisan tulang yang ingin digunakan dalam karakter. Ia boleh mengambil masa sehingga beberapa hari.
"Perisian ini memang mempercepatkan proses pembikinan watak. Untuk menghasilkan tulang yang ingin dimasukkan ke dalam watak, anda hanya perlu klik sahaja.
"Malah ia boleh digunakan untuk kesemua watak yang mempunyai tulang," beritahunya secara ringkas.


FILEM Upin & Ipin banyak menggunakan perisian Autodesk Maya yang setanding dengan filem animasi antarabangsa.



Dalam pada itu, untuk menghasilkan bayang-bayang realistik seperti pergerakan udara, paint effect yang dimuatkan di dalam Autodesk Maya sudah cukup memberi kepuasan dalam penghasilan animasi Upin & Ipin.
Sementara itu, Pengurus Autodesk Malaysia, CS Tan pula memberitahu, industri digital bagi menghasilkan grafik 3D kini semakin mendapat sambutan memberangsangkan.
Malah, ramai antara mereka yang ingin menghasilkan animasi akan memilih perisian yang lengkap dan ditawarkan pada harga berpatutan.
Proses tempoh pembikinan juga menjadi salah satu faktor terpenting. Sebabnya, para penerbit animasi lebih senang mendapatkan perisian yang mesra pengguna dan pantas.
"Para pereka grafik atau animasi masa kini tahu untuk memilih perisian yang sesuai dengan hasil kerja mereka. Jadi dengan adanya pelbagai perisian Autodesk mereka mempunyai banyak pilihan bagi menghasilkan idea lebih kreatif yang berkualiti," jelasnya.


Dalam masa yang sama, Autodesk juga telah menghasilkan perisian baru iaitu Autodesk Entertainment Creation Suites dan Autodesk Real-Time Animation Suites.
Kelebihannya ialah syarikat pembikinan filem animasi atau grafik mampu mencapai penjimatan kos sehingga 35 peratus.
Kesemua produk terbaru ini memberi pengalaman baru dan impak yang menakjubkan kepada dunia animasi 3D. Terutama apabila menghasilkan filem, permainan video dan industri reka bentuk.

 

 Artikel pada 15/01/2011 

Keluang Man maskot tahun kelawar 2011

KUALA LUMPUR – Keluang Man, watak superhero animasi kartun tempatan yang berdasarkan kelawar buah, dipilih menjadi maskot dan rakan promosi Tahun Kelawar 2011-2012 di negara ini.
Pengarah Zoo Negara, Dr Muhammad Ngah berkata, langkah itu adalah untuk menarik minat kanak-kanak untuk mengenali lebih dekat 1,100 jenis kelawar yang wujud di seluruh dunia dan usaha yang dijalankan untuk melindungi mamalia itu.
Dengan wujudnya kesedaran sedemikian, ia akan menggalakkan kanak-kanak untuk melawat Zoo Negara bagi mengenali kelawar dengan lebih dekat lagi, katanya semasa merasmikan sambutan Tahun Kelawar 2011-2012 di Zoo Negara ini.
Beliau juga berkata, pengunaan Keluang Man itu dijayakan bersama Persatuan Animasi Malaysia (Animasi). – Bernama

 

Kampung Boy, komik ke muzikal






KOMIK adalah merupakan bahan bacaan yang paling digemari ramai sama ada golongan kanak-kanak atau pun dewasa. Ia digemari kerana jalan ceritanya yang mudah serta pelbagai gambar yang menarik.
Tidak dinafikan, masyarakat kita sering dilambakkan dengan komik luar seperti dari Jepun. Antaranya seperti komik Doraemon yang dihasilkan oleh kartunis Fujio F. Fujiko atau pun menggemari Yoshito Usui yang telah mencipta komik Crayon Sin Chan.
Bagaimanapun, negara kita sebenarnya turut memiliki seorang insan istimewa yang boleh dianggap sebagai ikon kepada kartunis yang ada pada hari ini.
Insan tersebut adalah Datuk Mohd. Nor Khalid atau lebih dikenali sebagai Datuk Lat. Beliau juga adalah abang kepada pengarah filem terkenal negara iaitu Mamat Khalid.
Jika adiknya lebih popular dengan menghasilkan filem-filem yang digemari ramai, beliau pula sememangnya sangat dikenali sebagai seorang kartunis yang hebat dengan karakter ciptaannya, Lat dan kawan-kawan.
Karakter tersebut dilakar kemas dengan penceritaan yang menarik dalam komik The Kampung Boy, sebuah novel grafik yang cukup popular dengan jalan cerita mengenai kisah kehidupan kanak-kanak di kampung pada era 70-an dan 80-an.
Apa yang mengagumkan, komik tersebut bukan hanya popular di negara ini, malah ia turut mendapat perhatian di peringkat antarabangsa sehinggakan nama Datuk Lat turut dikenali oleh para kartunis di luar negara.
Menyingkap serba sedikit mengenai pelukis komik tersohor itu, beliau dilahirkan pada 5 Mac 1951 dan berasal dari Kota Baru, Perak. Bapanya merupakan kakitangan kerajaan berjawatan kerani, manakala ibunya pula adalah seorang suri rumah sepenuh masa.
Mengenai gelaran 'Lat' melekat sehingga ke hari ini, ia berasal dari gelaran 'Bulat' yang diberikan kepada keluarganya memandangkan fizikalnya yang bulat, tetapi kemudiannya dipendekkan menjadi Lat oleh rakan-rakannya.
Boleh dikatakan pembabitan Lat dalam bidang lukisan sebenarnya bermula sejak usia kanak-kanak lagi. Ayahnya adalah antara individu yang mengesan bakat dan minat yang dimilikinya serta banyak memberi sokongan kepada beliau.
Menariknya, beliau turut membantu menyumbang kepada pendapatan keluarganya apabila menjual kartun-kartun yang dihasilkan kepada akhbar dan majalah.
Malah, dalam usia yang cukup muda iaitu semasa berusia 13 tahun, beliau berjaya menghasilkan komik sulungnya berjudul Tiga Sekawan: Menangkap Penchuri yang diterbitkan oleh Sinaran Brothers pada tahun 1964.
Empat tahun kemudian, beliau telah mula menghasilkan Keluarga Si Mamat, sebuah siri komik untuk Berita Minggu dan ianya berterusan selama 26 tahun.
Wartawan jenayah





Setelah mendapat keputusan peperiksaan Senior Cambridge yang kurang memberangsangkan semasa di tingkatan lima sehingga tidak layak meneruskan pelajaran ke tingkatan enam, Datuk Lat akhirnya mengambil  keputusan untuk berhijrah ke Kuala Lumpur pada tahun 1970.
Hasratnya untuk berhijrah diiringi dengan satu hasrat yang begitu tinggi iaitu mahu memohon pekerjaan sebagai kartunis sepenuh masa di akhbar Berita Harian yang banyak menyiarkan karya kartunnya sebelum ini.
Bagaimanapun, hasratnya itu tidak tercapai disebabkan tiada kekosongan pada masa itu. Sebaliknya, beliau tidak mempunyai sebarang pilihan yang lain dengan terpaksa menerima jawatan yang ada iaitu sebagai wartawan jenayah di akhbar New Straits Times.
Di samping kerjaya barunya itu, beliau masih tetap meneruskan minatnya melukis kartun. Tetapi sepanjang bergelar wartawan jenayah juga beliau sebenarnya mengalami kesukaran menyesuaikan diri sehingga pernah  mengambil keputusan untuk meletakkan jawatan dan kembali semula ke kampung halamannya di Ipoh, Perak.
Namun begitu, nasib Datuk Lat mula berubah pada tahun 1974 apabila sebuah majalah Asia Magazine yang bertapak di Hong Kong telah menyiarkan kartun mengenai bersunat. Lebih menarik lagi, kartun berkenaan turut mendapat perhatian ketua penyunting New Straits Times, Tan Sri Lee Siew Yee.
Apabila diberitahu bahawa beliau sebenarnya sudah pun bekerja dengan akhbar berkenaan, beliau terus dipanggil ke pejabat Siew Yee sehinggalah akhirnya berjaya menjadi kartunis dengan tugasan pertama merakamkan kebudayaan Malaysia dalam siri kartun Scene of Malaysia Life.
Kemudian kehidupan beliau juga turut berubah selepas itu setelah karya komiknya semakin menjadi kegemaran segenap lapisan masyarakat di Malaysia. Impiannya untuk menjadi seorang kartunis profesional sepenuh masa akhirnya tercapai.
Salah satu komiknya yang paling mendapat sambutan sudah tentu adalah The Kampung Boy yang diterbitkan pada tahun 1979. Ia merupakan sebuah komik autobiografi yang dilukis oleh beliau tentang zaman kanak-kanaknya di kampung.
Ternyata komik berkenaan mendapat sambutan yang cukup hangat dan difahamkan terjual sebanyak 60,000 hingga 70,000 salinan dalam tempoh empat bulan selepas keluar di pasaran. Sehingga tahun 2009, komik itu  telah dicetak semula sebanyak 16 kali sehingga menjulang beliau sebagai kartunis paling masyhur di Malaysia.
Tersohor di luar negara
Semenjak bergelar kartunis profesional, pelbagai kejayaan memberangsangkan yang telah diraih oleh Datuk Lat. Biarpun banyak komik yang telah dihasilkan beliau, namun The Kampung Boy yang telah mempopularkan namanya dan memberi fenomena baru kepada dunia komik tanah air.
Selain diminati ramai, komik berkenaan turut mendapat perhatian di peringkat antarabangsa. Sehingga kini, ia telah terbit dalam 13 bahasa, seperti Jepun, Korea, Brazil, Sepanyol, Itali, Jerman dan Arab serta versi Amerika, Australia dan Thailand.
Melihatkan kepada populariti yang diraih oleh The Kampung Boy, ia juga telah diadaptasi menjadi siaran animasi sebanyak 26 episod yang disiarkan di saluran Astro. Malah, ia turut dialih bahasa untuk tayangan di beberapa buah negara seperti Jerman, Perancis dan Jepun.
Apa yang menariknya, beliau bukan sahaja dikenali masyarakat di negara ini tetapi namanya sering menjadi sebutan pelukis di luar negara. Misalnya, pengasas kartun The Simpsons, Matt Groening menyifatkan Kampung Boy sebagai satu buku komik terbaik sepanjang zaman.


Awie (kiri), Hans Isaac, Harith Iskandar dan Douglas Lim antara yang terbabit dalam LAT Kampung Boy Sebuah Muzikal.



Sergio Aragones yang merupakan pengasas kartun Groo the Wanderer pula telah mengambil inspirasi gaya ilustrasi bentuk hidung yang menjadi identiti eksklusif Datuk Lat dan digunakan untuk satu watak dalam karyanya yang dinamakan Lat.
Ketika berkunjung ke Jerman untuk melancarkan The Kampung Boy edisi bahasa Jerman di pesta buku terbesar dunia, Frankfurt International Book Fair 2008, beliau turut dianugerahkan oleh German-Malaysian Society dengan pengiktirafan Sumbangan Paling Menyerlah dalam Mempromosi Kefahaman Budaya antara Malaysia dan Jerman.
Sambutan hangat
Berdasarkan kejayaan yang diraih oleh pelukis yang dilabel sebagai Bapa Kartun Malaysia Kontemporari itu, buat julung-julung kalinya satu pementasan teater muzikal berjudul Lat Kampung Boy Sebuah Muzikal (LKBSM) akan dipentaskan di Istana Budaya.
Teater muzikal berkenaan mengisahkan kehidupan Datuk Lat yang bermula sejak zaman kanak-kanak ketika membesar di kampung sehingga beliau menjadi seorang kartunis yang dikagumi di seluruh negara dan diiktiraf di peringkat antarabangsa.
Ia telah diterbitkan oleh Institut Terjemahan Negara Malaysia (ITNM) dan Tall Order Production (TOP) serta mendapat kerjasama Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan (KPKK). Ia dipentaskan di Panggung Sari Istana Budaya bermula 16 Mac hingga 5 April 2011.
Diangkat daripada novel grafik Kampung Boy, ia juga mendapat perhatian istimewa apabila Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak telah bersedia untuk menjadi penaung kepada pementasan teater berkenaan.
Menurut Pengarah Urusan ITNM, Mohd. Khair Ngadiron berkata, idea untuk menghasilkan pementasan teater muzikal berkenaan timbul berdasarkan kejayaan novel grafik The Kampung Boy yang berjaya sehingga ke peringkat antarabangsa.
Jelasnya, begitu juga dengan sumbangan Datuk Lat yang telah mempromosikan budaya serta kehidupan harmoni masyarakat berbilang bangsa di Malaysia dan sewajarnya pementasan tersebut dihasilkan sebagai satu bentuk penghormatan kepada beliau.
“Saya akui bahawa antara cabaran getir yang terpaksa dilalui oleh pihak ITNM untuk menghasilkan pementasan muzikal ini adalah untuk mendapatkan persetujuan daripada Datuk Lat sendiri.
“Setelah mengadakan beberapa siri pertemuan, akhirnya beliau memberi persetujuan dengan syarat. Antara syaratnya beliau pementasan itu harus berkonsepkan muhibah sama ada di kalangan pelakon dan termasuk kru di belakang tabir,” ujarnya.
Menurut Khir lagi, muzikal ini juga dilihat mampu untuk memberi gambaran mengenai kehidupan masyarakat kampung dahulu yang tidak pernah dirasai oleh kebanyakan generasi pada hari ini.
Sementara itu, Ketua Pengarah Istana Budaya, Mohamed Juhari Shaarani pula meluahkan rasa gembiranya apabila teater berkenaan akhirnya dapat dipentaskan setelah pernah tertangguh sebelum ini.
“Pada asalnya, pementasan ini berlangsung sehingga 3 April sahaja, tetapi ia telah ditambah selama dua hari lagi bagi memberi peluang kepada orang ramai untuk menontonnya,” ujarnya.
Teater muzikal yang diarahkan oleh Hans Isaac dan Harith Iskander ini turut dibarisi beberapa orang pelakon popular seperti Awie, Atilia, Jalil Hamid serta ramai lagi dengan kos keseluruhan RM 3 juta.
Sebanyak 14 buah lagu dipersembahkan dalam pelbagai genre yang dihasilkan oleh Michael Veerapan serta lirik yang ditulis oleh Adlin Aman Ramlie untuk lagu bahasa Melayu dan Harith Iskander untuk bahasa Inggeris.

 

Artikel pada 25/04/2012

Generasi baru kartunis perlu terap identiti Malaysia


KUALA LUMPUR — Ikon kartunis terkemuka negara, Datuk Mohd. Nor Khalid, yang lebih dikenali sebagai Lat mahu generasi baru kartunis negara mengetengahkan identiti warisan Malaysia dalam penghasilan karya mereka.
Beliau berkata, usaha itu dapat memperkayakan identiti Malaysia di mata dunia dalam pelbagai lapangan karya termasuklah animasi, cereka, majalah dan juga pelukis kolumnis.
"Ini juga dapat mengingatkan kita dari mana asal usul kita, dan kebudayaan kita. Apa yang penting, bagaimana untuk memilih gelanggang atau bidang menerusi saluran yang tepat dan kesesuaian mesej yang ingin disampaikan.
"Dalam mengangkat karya yang mempunyai identiti yang tersendiri yang perlu dipelihara untuk meneruskan kesinambungan itu bagi tatapan generasi baru, ianya tidak akan terhasil sekiranya kita membawa hasil orang lain,” katanya ketika sesi soal jawab Kuliah Budaya bertajuk ”Kartun dan Masyarakat” di sini hari ini.
Kuliah Budaya yang dianjurkan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) disertai 220 pegawai dan warga kerja agensi di bawah Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan.
Lat, 61, yang juga Pemenang Hadiah Kebudayaan Asia Fukuoka 2002 berkata identiti Malaysia, Asia Tenggara, dan ruangan lingkupnya mempunyai corak kebudayaan yang hampir sama.
"Sekiranya kita kekalkan identiti itu, generasi akan datang dapat melakukan perkara yang sama menerusi karya kreatif mereka. Mengekalkan identiti dan asal usul menerusi karya asli mereka.— BERNAMA

 

 Mencipta karakter animasi

Pelukis animasi perlu membayangkan gaya berjalan, ekspresi muka, cara duduk, cara bercakap dan setiap gerak-geri dan perlakuan yang diperlukan oleh karakter yang ditulis





INDUSTRI animasi di Malaysia mungkin masih terlalu baru jika dibandingkan dengan industri yang sama di Jepun mahupun negara-negara Barat.
Namun, kita masih boleh berbangga kerana kini banyak siri televisyen dan filem berbentuk animasi ditayangkan di Malaysia. Sambutannya juga sangat menggalakkan.
Terbaru, filem animasi 3D, Geng: Pengembaraan Bermula yang diadaptasi daripada siri televisyen Upin dan Ipin berjaya menarik perhatian penonton yang terdiri daripada kanak-kanak dan orang dewasa.
Filem yang dihasilkan sepenuhnya oleh produksi milik tempatan itu menelan belanja sebanyak RM4 juta. Sekali gus, ia membuktikan bahawa orang kita juga sebenarnya boleh menghasilkan karya yang bermutu dan  berkualiti tinggi setanding dengan produksi luar.


PENCIPTAAN karakter berpandukan watak yang sesuai adalah antara cabaran utama bagi pelukis animasi.



Kini, sebuah lagi karya animasi bertajuk Silang bakal menemui penonton di kaca televisyen bermula Mei ini di saluran Radio Televisyen Tempatan (RTM).
Siri animasi 13 episod terbaru itu mengisahkan sekumpulan haiwan yang hidup di dalam hutan yang diketuai oleh seekor anak burung helang yang dipanggil Silang.
Orang yang bertanggungjawab di sebalik penghasilan pelbagai karakter dan watak yang terdapat dalam animasi Silang itu ialah pelukis animasi daripada syarikat Oscar Hallmark Sdn. Bhd. (OHSB).
Pengarah Animasi OHSB, Norizal Ngah, 33, berkata, pihaknya menggalas satu tanggungjawab yang besar apabila ditugaskan menghasilkan karakter dan watak yang ada dalam animasi tersebut.
"Dalam menyiapkan tugasan ini, banyak cabaran yang kami hadapi terutama dalam mencipta karakter yang bersesuaian berpandukan perwatakan seperti yang dikehendaki penulis atau tukang cerita.
"Sebagai pelukis animasi, mereka perlu membayangkan gaya berjalan, ekspresi muka, cara duduk, cara bercakap dan setiap gerak-geri dan perlakuan yang diperlukan oleh karakter yang ditulis supaya gaya dan cara percakapan karakter itu dapat disampaikan dengan baik melalui pergerakan lukisan.
"Bagi pelukis bahagian reka letak juga, ada cabaran yang perlu mereka hadapi. Contohnya apabila mereka dikendaki melukis kawasan hutan yang menyeramkan, pulau yang menjadi sarang penyamun atau lanun dan penempatan penduduk pada zaman prasejarah, mereka perlu memikirkan apa yang perlu ada di tempat-tempat begitu seperti bentuk muka bumi, prop dan sebagainya.
"Justeru, dalam siri Silang ini, setiap pelukis animasi memainkan peranan penting untuk memastikan ia mampu mencuri perhatian penonton apabila ditayangkan kelak," kata Norizal yang berpengalaman selama 15 tahun dalam bidang animasi. Beliau mula menyertai bidang animasi sejak 1994 sebagai pelukis latar belakang animasi secara manual.


RASHIDAH (tiga dari kanan) dan kumpulan kartunis Cyber Oscar Hallmark yang menjadi tulang belakang animasi Silang.



Menurut Norizal, sebagai pelukis animasi rutin hariannya sama seperti pekerja daripada sektor-sektor lain, cuma bezanya dia jarang pulang mengikut waktu kerja yang ditetapkan disebabkan banyak tugas yang perlu  disiapkan.
"Setiap episod dalam sesuatu siri animasi biasanya akan mengambil masa sebulan untuk disiapkan lengkap dengan rakaman suara, pergerakan, komposit dan sebagainya. Ia bergantung pada tenaga kerja dan kualiti animasi yang dimahukan.
"Untuk siri animasi Silang ini, kami dapat menyiapkannya dalam tempoh tiga minggu bagi setiap episod dengan tenaga kerja tujuh pelukis animasi yang mahir dalam bidang ini," tambah Norizal.


ANIMASI Silang yang mengisahkan sekumpulan haiwan di hutan.



Sementara itu, seorang pelukis animasi, Rashidah Abd. Rahman menjadi satu-satunya pekerja wanita yang dikelilingi oleh tujuh pekerja lelaki termasuk Norizal yang bekerja keras menyempurnakan setiap tugasan yang diberi.


PANDUAN papan cerita penting bagi menghasilkan sebuah kisah yang menarik.





Menariknya, Rashidah mengakui dia langsung tidak tertekan bekerja  dalam kumpulan majoriti lelaki. Sebaliknya, wanita berusia 30 tahun itu yang satu-satunya pekerja wanita begitu serasi bekerjasama dengan rakan-rakan sekerja lelaki.
"Kerjaya sebagai pelukis animasi amat sesuai dengan jiwa saya. Walaupun pada mulanya saya sekadar suka-suka menceburi bidang ini, tetapi lama-kelamaan saya semakin serius untuk menjadikannya sebagai kerjaya tetap.
"Di samping itu, kerja ini lebih fleksibel meskipun berdepan dengan takat waktu yang harus dikejar. Apa yang penting ialah bagaimana kita bekerja secara sistematik dan mampu menyiapkan segala tugas yang ada," kata Rashidah yang memiliki kelulusan Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) dalam bidang Seni Halus dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam.
Menurut Norizal, Rashidah ialah seorang pekerja yang bagus dan sentiasa memberi kerjasama dalam setiap tugas yang diperolehnya.
"Di Malaysia, pelukis animasi wanita yang hebat masih kurang dan kalau ada pun boleh dikira dengan jari.
"Justeru, kredit harus diberikan pada Rashidah kerana boleh memberi saingan pada pelukis animasi lelaki dan saya yakin dia mampu melangkah lebih jauh dalam bidang ini," jelas Norizal yang telah banyak terlibat dalam lain-lain projek animasi di Malaysia termasuklah siri Sang Wira, Kenyalang, Aliff dan filem Putih selain iklan berbentuk animasi.
Seorang lagi pekerja, Mathadir Pauji @ Mawzar, 25, yang baru enam bulan melibatkan diri dalam dunia animasi berkata, dia seronok dengan kerjaya itu.
"Banyak perkara baru yang saya pelajari daripada rakan sekerja terutama Norizal yang tidak pernah jemu mengajar kami.
"Memang pada awalnya saya rasa agak tertekan kerana gagal menyiapkan tugasan dengan baik. Tetapi, Alhamdulillah, kerana minat dan semangat yang tinggi, saya dapat mengatasi tekanan yang dihadapi.
"Kalau dulu dalam masa sehari, satu babak pun sukar untuk disiapkan, tetapi kini dalam tempoh yang sama, saya mampu menyiapkan dua hingga tiga babak," tutur Mathadir sambil menambah untuk bergelar pelukis animasi, seseorang itu perlu mempunyai motivasi diri yang tinggi.


Kartun tempatan jadikan APO? unik


KUMPULAN kartunis APO? yang berbakat menzahirkan perasaan bangga dengan kelahiran wajah baharu majalah kesayangan mereka.



KITARAN hayat sesuatu majalah yang memaparkan kartun lucu seringkali menjadi kerisauan syarikat penerbitnya. Tanpa formula dan idea segar daripada tenaga kartunis, sambutan majalah tersebut boleh merudum sekali gus lenyap daripada pasaran.
Perkembangan sesuatu majalah itu perlu disesuaikan mengikut peredaran zaman. Penggunaan isu-isu semasa sebagai bahan jenaka juga berkesan dalam menarik minat pembaca untuk terus setia. Kesemua langkah itu jelas dipraktikkan majalah APO?
Sejak dilancarkan pada tahun 1998, APO? terus menjadi ‘kegilaan’ anak-anak muda yang dahagakan jenaka ringkas. Pengekalan identiti Malaysia sebagai rencah utama kandungan membuatkan APO? dianggap sebagai majalah paling kelakar dalam kalangan pengikut mereka.
Begitupun, kekurangan publisiti membuatkan majalah itu seperti hilang taringnya, hinggakan ada yang menyangka ia telah ‘pupus’ seperti beberapa majalah berkonsep sama yang tidak mampu mengekalkan prestasi jualan.
Baru-baru ini, APO? menerusi siri 321 menampilkan wajah baharu. Pengenalan maskot terkini yang dikenali sebagai Mansor Todak membuktikan majalah terbitan MOY Publications itu masih relevan.
Kartunis popular majalah tersebut, Dilfitry Tajudin, 34, atau lebih dikenali sebagai Lambok menyatakan APO? amat bertuah kerana memiliki dua kumpulan pembaca.
Pengaruh anime
“Kelompok pertama ialah mereka yang telah mengenali kami sejak awal lagi dan yang kedua ialah generasi baharu terutamanya anak-anak muda.
“Kita cuba menampilkan jenaka yang malar segar dan mengikuti cita rasa pembaca. Kandungan yang kita hasilkan juga perlu sesuai dengan keadaan semasa agar ia tidak nampak ketinggalan,” jelas Lambok yang cukup terkenal dengan lawak berkonsep hantu.
Diterbitkan dua kali sebulan, APO? menampilkan tema yang menarik untuk setiap isu. Cabaran yang dihadapi tenaga kerja majalah itu bagaimanapun menjadikan mereka lebih peka dan kreatif dalam menghasilkan karya bermutu.
Seorang lagi kartunis yang telah bersama majalah itu sejak ditubuhkan, Anuar Hassan, 39, atau dikenali sebagai Sireh tidak menyangkal persaingan yang mereka hadapi kini dipengaruhi lambakan majalah berteraskan animasi Jepun (anime) dalam pasaran.
Sambutan luar biasa remaja terhadap anime membuatkan banyak syarikat penerbitan berlumba-lumba mengeluarkan majalah seumpama itu. Namun, kesan jangka panjang yang diterima agak menyakitkan.
“Memang pernah suatu masa ramai orang tertarik dengan anime sehingga ia menjadi fenomena, tetapi kita tidak langsung mengikut perubahan tersebut.
“Kami mengekalkan signatur kartun yang bersifat lokal kerana ia mencerminkan budaya orang Malaysia. Alhamdulillah sehingga kini kami dapat bertahan,” ujar Sireh yang juga seorang pensyarah di sebuah universiti tempatan.
Pengarah penerbitan majalah berharga RM5.90 itu, Syamsul Ikram Ghazali, 39, menjelaskan, setiap isu yang diterbitkan disesuaikan mengikut keadaan semasa.
“Edisi hari raya umpamanya, jenaka yang kami ketengahkan adalah berkisar tentang sambutan perayaan tersebut. Begitu juga ketika acara penting lain seperti kemerdekaan, puasa dan perayaan kaum lain.
“Kita tidak mengehadkan isi cerita pada cara hidup orang Melayu kerana pembaca APO? terdiri daripada pelbagai kaum termasuk Cina dan India,” tutur kartunis yang menggunakan nama Rambai itu.
Tidak mengecewakan
Thinagaran Perumal, 25, ialah bukti APO? mempunyai penyokong berketurunan India. Lelaki yang kini berkhidmat sebagai pegawai bank itu mula mengenali APO? sejak berusia 11 tahun.
Menurut anak kelahiran Perak itu, setiap kali tamat sesi persekolahan, beliau pasti membelek-belek majalah APO? di kedai mamak.
“Bermula dari situ saya mendapati humor yang disampaikan APO? sangat menarik. Setiap isu yang dikeluarkan tidak pernah mengecewakan.
“Hiburan bersahaja menerusi karakter yang mencuit hati membuatkan hari saya tidak pernah sunyi tanpa jenaka. Ia juga menjadi tanda sokongan saya terhadap karya tempatan yang tidak kurang hebatnya,” kata Thinagaran ketika ditemui di ibu pejabat MOY di Subang Jaya pada sesi pelancaran wajah baharu APO?

 

 

 

 Keratan Surat Khabar Kosmo 08/03/2012

 Kualiti Seefood setanding antarabangsa



Filem Seefood mengisahkan tentang kelangsungan hidup haiwan di dalam laut.



FILEM kita wajah kita, kata-kata yang jelas dan tepat sekali menggambarkan kualiti hasil sesebuah filem sebenarnya saling berhubung kait dengan acuan yang kita bentuk pada mulanya.
Seefood, sebuah filem animasi terbitan Silver Ant Sdn. Bhd. yang diedarkan oleh Grand Brilliance Sdn. Bhd. merupakan salah satu hasil kerja anak muda tempatan yang patut dibanggakan.
Selain berjaya menghasilkan kualiti grafik bertaraf antarabangsa, filem yang sudah banyak kali dipertikaikan ejaan Seefood yang sebenarnya bermaksud seeing food itu memaparkan jalan cerita yang sarat pengajaran serta amat sesuai buat tontonan si cilik.
Filem animasi arahan Goh Aun Hoe itu juga telah berjaya ditayangkan di lebih 90 buah negara di seluruh Amerika Utara, Eropah, Amerika Latin dan Asia.
Malah, menurut Aun Hoe lagi filem animasi berbahasa Inggeris pertama di Malaysia itu mengekalkan usaha 100 peratus bakat tempatan.
“Filem ini memakan masa selama lebih dua tahun untuk disiapkan sepenuhnya manakala kajian yang dilakukan untuk Seefood juga mengambil masa yang panjang iaitu hampir sepuluh tahun.
“Sebab filem ini lambat dikeluarkan adalah kerana masalah kewangan. Selain sukar untuk mendapatkan bahan mentah dan tenaga kerja yang bermutu, kami perlu sentiasa memantau kualiti yang bakal dihasilkan,” katanya yang ditemui ketika sidang akhbar dan sesi tayangan perdana filem animasi Seefood di Cineleisure, Mutiara Damansara, Petaling Jaya baru-baru ini.
Seefood mengisahkan tentang pengembaraan seekor jerung bernama Pup dan sahabat baiknya Julius ke daratan apabila berdozen telur ikan jerung dalam terumbu karang dicuri pemburu haram dari perairan.
Tanpa mengambil kira risiko dan bahaya yang bakal ditempuhinya, Pup nekad untuk menyelamatkan adik-beradiknya.
Julius yang khuatir akan keselamatan Pup muncul dengan sutnya yang menyerupai robot akuarium untuk memburu makanan di daratan.
Malangnya, Julius pula yang menjadi mangsa tangkapan seorang nelayan yang tamak dan Pup pula yang bertindak untuk menyelamatkan kawan baiknya daripada menjadi hidangan sup jerung istimewa.


FILEM animasi Seefood ini telah menggondol tiga anugerah dalam Majlis Anugerah Animasi pada tahun lalu.



Penggambaran filem itu dilakukan oleh studio animasi Silver Ant Sdn. Bhd. dan penyelidikan terhadap pelbagai jenis spesies ikan serta persekitarannya dijalankan selama tiga bulan di akuarium, kawasan kampung di Sekinchan serta beberapa buah pantai di sekitar kawasan Pantai Timur Semenanjung Malaysia.
Seefood dibiayai menerusi geran dana e-kandungan Kementerian Sains, Teknologi dan Alam Sekitar (MOSTI) dan telah memenangi tiga anugerah dalam Majlis Anugerah Animasi pada tahun lalu menerusi kategori animator tiga dimensi terbaik, animasi terbaik dan montaj animasi terbaik.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Primeworks Studios Sdn. Bhd., Ahmad Izham Omar, pihaknya bagaimanapun tidak meletakkan sebarang sasaran untuk filem itu.
“Mendapat kutipan pecah panggung bukanlah tujuan utama filem animasi ini dihasilkan tapi kami mahu memotivasikan animator-animator tempatan untuk bersama-sama menyumbangkan kemahiran dalam industri ini bagi penghasilan animasi yang bertaraf antarabangsa,” ujarnya.
Sari kata bahasa Melayu dan Mandarin disertakan untuk filem Seefood yang mula ditayangkan pada 8 Mac (hari ini) di 65 buah panggung wayang seluruh Malaysia dan Brunei.
Sementara itu, filem animasi itu juga bakal ‘terbang’ ke Jerman dan Indonesia pada bulan depan seterusnya ke China pada bulan Jun nanti.






Keratan Akhbar Kosmo pada 07/03/2012

Animasi Cingkus Blues di Nickelodeon


WATAK Cing dan Kus ini sudah menemui penonton saluran Nickelodeon pada 18 Februari lalu.



SEJAK akhir-akhir ini, pembikin animasi tempatan mula meraih tempat di hati penggemar-penggemar animasi antarabangsa. Hasil karya pembikin animasi itu mula ditayangkan di rangkaian antarabangsa sekali gus memartabatkan industri animasi tempatan.
Terbaharu, syarikat Third Rock Creation Sdn Bhd. yang mempunyai status Koridor Raya Multimedia (MSC) berjaya mendapat tempat di Nickelodeon Channel melalui animasi bersiri Cingkus Blues.
Cingkus Blues yang memaparkan kisah pengembaraan dua sahabat baik, Cing dan Kus merupakan animasi 26 episod dengan durasi 11 minit.
Cing merupakan seekor kucing biru yang suka melenting dan ego dengan slanga Britain, manakala Kus pula seekor tikus yang sentiasa mengambil berat tentang Cing.
Ketua Pegawai Eksekutif Third Rock Creation Sdn. Bhd., Sheikh Raheem berkata, siri animasi Cingkus Blues turut memperkenalkan beberapa destinasi pelancongan di dalam negara bagi setiap pengembaraan dua  sahabat baik itu.
“Sejak hari pertama, penekanan kami adalah untuk membangunkan kandungan animasi yang dapat memenuhi kehendak pasaran tempatan dan antarabangsa.
“Kami telah memulakan pembikinan siri animasi Cingkus Blues pada tahun 2008 lagi dan amat berbesar hati kerana ia ditayangkan di saluran Nickelodeon,” katanya dalam satu kenyataan akhbar.
Selain daripada Cingkus Blues, Third Rock Creation turut dalam pembikinan projek animasi baharu iaitu Soccerbugs.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Multimedia (MDeC), Datuk Badlisham Ghazali berkata, Cingkus Blues yang dibangunkan Third Rock Creation membuktikan satu lagi kejayaan industri animasi tempatan apabila mendapat pengiktirafan peringkat antarabangsa.
“Ia sangat menggalakkan apabila sekali lagi melihat kematangan dalam pembangunan kandungan kreatif tempatan.
“Saya sangat yakin Malaysia akan membangun sebagai hab kreatif di peringkat tempatan dan antarabangsa,” kata beliau optimis.
Siri animasi Cingkus Blues telah ditayangkan di saluran Nickelodeon pada 18 Februari lalu.