Friday 9 November 2012

Keratan Akhbar MyMetro

Minda: Dunia tabik karya kita

Oleh Nizam Razak

SEJAK beberapa tahun kebelakangan ini, kita dapat melihat kebangkitan industri animasi di Malaysia. Ia menjadi satu fenomena dan trend baru. Bermula dengan siri animasi Upin & Ipin di TV9 pada bulan puasa 2007, sambutannya amat luar biasa.
Saya yang terbabit secara langsung dengan penerbitan siri Upin & Ipin dan filem animasi 3D pertama Malaysia; Geng Pengembaraan Bermula amat teruja dengan sambutan yang diberikan.
Manakan tidak, pada awalnya agak risau dengan sambutan yang bakal diterima, namun kerisauan itu hilang apabila rakyat memberikan sambutan padu terhadap Upin & Ipin dan seterusnya membanjiri pawagam untuk melihat filem Geng Pengembaraan Bermula yang turut memaparkan watak popular Upin dan Ipin.

Selepas Upin & Ipin dan Geng Pengembaraan Bermula, kita dapat lihat lebih banyak animasi dihasilkan dan penerimaan penonton semakin meluas serta penghayatan penonton semakin mendalam.

Siri animasi BoBoiBoy, Saladin, Pada Zaman Dahulu dan Bola Kampung musim baru dilihat memeriahkan lagi dunia animasi tanah air.

Siri animasi BoBoiBoy yang menjadi siri animasi tempatan pertama ditayangkan di TV3, baru-baru ini berjaya mencatatkan sejarah dengan memecahkan rating dan rekod penonton siri animasi tertinggi di kaca TV Malaysia dengan 1.736 juta penonton. Rekod penonton tertinggi selama ini dipegang puluhan tahun lamanya oleh siri animasi Jepun, Doraemon dengan 1.6 juta penonton.

BoBoiBoy menjadi pilihan penonton bukan saja di Malaysia, malah di Filipina dan juga Singapura melalui siaran di Disney Channel. BoBoiBoy bakal memasuki pasaran Indonesia pada Jun ini melalui GlobalTV.

Kemeriahan ini ditambah lagi dengan kemunculan filem animasi Seefood yang baru saja ditayangkan di pawagam tanah air serta diedarkan di 90 negara. Akhir tahun ini, Bola Kampung The Movie pula akan ditayangkan. Selepas melihat trailer Bola Kampung The Movie, penulis semakin tidak sabar untuk menontonnya. 

Melihat perkembangan Upin & Ipin, Les’ Copaque membuktikan bahawa siri kartun dapat diterjemahkan ke teater muzikal, karnival malah ke peringkat taman tema. Penulis berharap taman tema yang dirancang Les’ Copaque menjadi kenyataan. 

Dapat kita lihat, animasi yang dulu dikatakan tidak mempunyai masa hadapan yang cerah, kini menjadi buah mulut generasi muda untuk dijadikan kerjaya apabila memasuki alam pekerjaan nanti. Ada juga yang memasang azam dan impian untuk memiliki studio produksi sendiri kelak.

Kerajaan sememangnya memainkan peranan utama dalam usaha menaikkan industri animasi. Pelbagai usaha seperti pemberian dana, akses pasaran dan penyediaan infrastruktur disediakan.

Kerajaan sendiri melalui Multimedia Development Corporation (MDeC) memacu industri apabila mengumumkan produksi siri animasi Saladin dengan kerjasama Al Jazeera Children Channel. 

Tahun 2011 menyaksikan siri animasi Saladin mencipta sejarah apabila dicalonkan di International Emmy Awards. Satu penghargaan tertinggi untuk industri animasi tanah air. 

Kejayaan Saladin di peringkat antarabangsa berjaya meletakkan Malaysia di peta animasi dunia. Nama-nama besar di dalam dunia animasi kagum melihat mutu penghasilan Saladin. Ini secara langsung menaikkan keyakinan mereka secara keseluruhan terhadap industri animasi negara. Nampaknya peluang animasi kita untuk menembusi pasaran antarabangsa semakin luas. 

Jika dibandingkan dengan negara lain, industri animasi di Malaysia sememangnya beruntung kerana diberi banyak bantuan oleh pihak kerajaan. Sebagai contoh, tidak banyak negara memperuntukkan dana berbentuk geran yang tidak perlu dibayar semula.

Tidak cukup dengan bantuan dalam bentuk kewangan, setiap tahun pihak kerajaan daripada MDeC, Finas dan SKMM akan membawa syarikat animasi yang berminat untuk menyertai pelbagai pasaran atau program berkaitan dengan animasi.

Jelas sekali di mata saya bahawa industri animasi kita dikagumi oleh negara lain. Setiap kali saya berpeluang untuk ke negara jiran untuk menguruskan perniagaan, mereka pasti akan menyatakan kekaguman mereka dengan pembangunan pesat industri animasi kita. Mereka amat memuji usaha dan bantuan kerajaan berikan terhadap industri animasi kita.

Apa yang saya lihat masih kekurangan ialah bajet untuk pemasaran dan promosi. Walaupun kerajaan banyak membantu untuk membawa syarikat ke pasaran antarabangsa, namun bagi saya ia belum mencukupi. 

Animasi adalah bisnes media dan bisnes media tidak boleh lari daripada perbelanjaan pemasaran dan promosi. Untuk sesebuah syarikat menyediakan bajet pemasaran dan promosi sendiri, ia amat besar dan kadangkala boleh melepasi bajet produksi.

Saya dapat lihat banyak produk keluaran negara berada di paras global tetapi oleh kerana kekurangan bajet pemasaran dan promosi, produk animasi yang mempunyai peluang masih lagi ‘tersangkut’ di Malaysia saja.

Bajet pemasaran dan promosi penting bukan saja untuk menyedarkan pembeli yang terdiri daripada stesen penyiar mengenai kewujudan produk animasi tetapi juga untuk menyedarkan pihak berminat untuk mengambil lesen barangan serta mengumumkan kewujudan barangan kepada orang ramai.

Sebenarnya perniagaan animasi ini hanya bergantung 30 peratus daripada jualan penyiaran dan selebihnya daripada pemberian lesen dan penjualan barangan.

Tanpa bajet pemasaran dan promosi, adalah amat sukar untuk syarikat animasi mengumumkan bahawa adanya lesen dan kewujudan barangan di pasaran. Ini mengakibatkan kerugian 70 peratus peluang perniagaan. Secara langsung, situasi ini menyukarkan syarikat animasi untuk kekal lama.

Sebab itu kita lihat banyak animasi popular dari Barat dan Jepun seperti Naruto, Doraemon, Ben10 dan Ultraman sebenarnya memberi fokus kepada aspek penjualan barangan. Siri animasi yang mereka siarkan di TV itu hanyalah untuk mempopularkan cerita dan watak yang ada di dalam animasi mereka. 

Selepas cerita dan watak popular, mereka mengaut keuntungan dengan aktiviti jualan barangan mereka seperti jam tangan, patung permainan, baju, beg sekolah dan pelbagai lagi yang bernilai jutaan ringgit.

Di Malaysia kita bernasib baik kerana pihak stesen TV banyak membantu mempromosikan animasi tempatan yang mereka siarkan tetapi situasinya berbeza apabila kita ke luar negara. Di luar negara produk animasi kita hanyalah satu daripada berpuluh-puluh atau mungkin beratus-ratus animasi yang dibeli.

Secara lojik pembeli tidak boleh mempromosikan animasi kita secara berlebihan. Cukup sekadar untuk memberitahu penonton waktu siaran saja. Jadi sudah tentu kita perlukan bajet yang lebih untuk mempromosikan jualan barangan dan lesen animasi kita. 

Walaupun banyak kita perlu pelajari dan perbaiki, saya percaya kita berada di landasan yang betul. Saya berasa amat bangga dengan kemajuan industri animasi tanah air setakat ini yang bukan saja berjaya di Malaysia malah diterima di peringkat antarabangsa.

Ini terbukti dengan penyiaran beberapa animasi tempatan di saluran TV antarabangsa seperti Disney Channel dan juga Cartoon Network. Berdasarkan pengalaman saya, ia bukanlah mudah bagi saluran TV antarabangsa untuk menerima produk animasi. Mereka amat mementingkan aspek penceritaan, kualiti visual dan kesesuaian dengan penonton mereka yang meliputi beberapa negara.

Penerimaan terhadap animasi kita patut dibanggakan seluruh rakyat Malaysia kerana membuktikan cerita kita, budaya kita, wajah kita boleh diterima di peringkat antarabangsa.

Secara tidak langsung kita dapat mengeksport budaya kita ke serata dunia. Lihat apa yang dilakukan oleh Jepun sehingga dunia berpeluang mengenali budaya mereka melalui animasi yang banyak berada di kaca TV seluruh dunia. Muda-mudi di negara kita turut belajar bahasa Jepun secara tidak langsung daripada siri animasi mereka.

Saya harap industri animasi kita akan dapat mencapai tahap lebih tinggi agar dunia dapat mengenali kita dengan lebih dekat lagi melalui produk animasi kita.


Penulis pengasas bersama Animonsta Studios
Artikel ini disiarkan pada : 2012/03/2

Bola Kampung lonjak standard animasi tempatan

Kejayaan Upin & Ipin seterus–nya memberi inspirasi kepada penerbitan animasi lain yang turut mendapat perhatian antarabangsa seperti Saladin, BoboiBoy dan SeeFood. 
Perkembangan positif ini membuktikan tenaga kreatif anak tempatan menyengat seperti karya luar jika peluang, sokongan dan aplikasi teknologi semasa terus mengiringi inovasi mereka. 

Terbaru, animasi Bola Kampung The Movie menunjukkan taringnya apabila ia diangkat ke layar lebar yang diarahkan Wong Kuan Loong (Ah Loong). Naskhah cetusan Animasia Studio dengan kerjasama Young Jump Animation ini dihasilkan untuk memeriahkan dunia animasi tempatan mengikut standard antarabangsa.

Filem ini dibintangi pelakon alih suara antaranya Ezlynn, Afdlin Shauki, Harris Alif, Marsha Milan, Datuk Aznil Nawawi, Harun Salim Bachik, Aizat Amdan dan Deanna Yusoff.

Untuk mengetahui sejauh manakah bidang animasi tempatan menunjukkan potensi berkembang setanding piawaian global seperti yang dicanangkan, ikuti perbualan Wartawan RAP, Wahi Aziz (wahiduzzaman@mediaprima.com.my) dengan Ah Loong. 


RAP: Ceritakan serba ringkas mengenai transisi Bola Kampung daripada TV ke filem. 

AH LOONG:
 Semuanya bermula kira-kira empat tahun lalu susulan penerimaan baik siri ini di TV. Ketika itu, kami terfikir bagaimana untuk mengembangkannya ke tahap lebih tinggi. Selepas enam musim dengan 78 episod bersiaran di TV, sudah tiba masanya Bola Kampung diterbitkan dalam bentuk filem. 



RAP: Bagaimana pengalaman menghasilkan filem animasi sulung Animasia Studio ini? 

AH LOONG:
 Saya akui ia bukan proses yang mudah. Praproduksi saja mengambil masa hampir empat tahun. Bayangkan kami ambil masa 15 hingga 18 bulan untuk menghimpunkan skrip, tenaga kerja dan pelakon terbaik untuk filem ini. Kami berusaha sebaik mungkin menerbitkan filem ini mengikut setaraf piawaian antarabangsa. 



RAP: Apakah keistimewaan versi filem ini berbanding di TV? 

AH LOONG:
 Kami mahu angkat filem ini ke tahap yang lebih tinggi berbanding versi TV. Sebagai nilai tambahan kepada penonton, Bola Kampung The Movie berasaskan jalan cerita, konsep dan watak yang berbeza. Dalam filem ini, perlawanan bola sepak diperluaskan kepada watak-watak robotik dan makhluk asing dalam alam maya permainan video yang digemari kanak-kanak. Kesemua elemen baru ini dihasilkan dengan begitu bagi mengembangkan plot asalnya. 



RAP: Anda menyebut mengenai penerbitan animasi yang berkualiti tinggi, apakah dunia animasi kita sudah mencapai standard antarabangsa? 

AH LOONG:
 Boleh saya katakan proses dan kualiti animasi tempatan sangat memberangsangkan kini berbanding lima atau enam tahun lalu. Kita boleh berbangga apabila ia mendapat perhatian penonton dan menerima kerjasama pelaburan pelbagai pihak. Malah, jaringan pemasaran juga makin meluas apabila animasi kita mendapat tempat di luar selain rantau ini. 



RAP: Di mana tahap dan kedudukan animasi kita di pasaran global? 

AH LOONG:
 Animasi tempatan sudah setanding karya pembikin Asia yang lain kalau pun belum setaraf Hollywood. Ia satu perkembangan yang baik kerana selain pengiktirafan di pelbagai anugerah dan pasaran, saya percaya dalam tempoh lima tahun Malaysia boleh menjadi hab penerbitan animasi yang unggul di Asia. 



RAP: Bagaimana pula dengan strategi pemasaran filem ini ke luar negara? 

AH LOONG:
 Selain tayangan tempatan yang bakal bermula pada esok, Bola Kampung The Movie juga menarik minat pasaran di rantau ini dan Eropah. Sebagai contoh, ia akan ditayangkan di Indonesia pada Jun depan, Kemboja (April) dan beberapa negara Eropah yang turut berminat untuk memasarkan filem ini. 



RAP: Apakah kunci kejayaan sesebuah animasi? 

AH LOONG:
 Perkara asas adalah memastikan jalan cerita dan konsepnya kuat dan menarik. Penonton mahu terhibur dengan karya kita, jadi selain aspek grafik atau kesan khas, nadi kejayaan sesebuah animasi adalah cerita yang baik dan unik. 



RAP: Apakah perasaan anda menjelang tayangan pembukaan filem ini esok? 

AH LOONG:
 Kami teruja untuk melihat reaksi dan sambutan penonton. Sebenarnya, animasi ini sudah mempunyai jumlah pe–ngikut yang ramai, semoga kelainan pada versi filem ini dapat menghiburkan dan menarik perhatian penonton nanti.
Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/20

Suara popular jadi taruhan

Ezlynn, penyanyi terkenal dengan lagu Hi Hi Bye Bye mengejutkan penonton yang hadir pada pratonton di GSC The Gardens, Mid Valley, Kuala Lumpur, Rabu lalu menerusi watak budak lelaki bernama Iwan yang juga ‘wira’ dalam filem terbitan Animasia Studio Sdn Bhd ini. 

Percaya atau tidak, tiada satu butir perkataan pun yang keluar daripada mulut Iwan boleh mengaitkan dengan suara sebenar Ezlynn. Malah, sewaktu Ezlynn menceritakan bagaimana dia boleh terbabit dengan pembikinan filem animasi itu, dia sempat melakonkan suara Iwan. 

“Tiada sebarang ubah suai. Ia 100 peratus menggunakan suara sebenar saya, cuma saya meniru suara budak lelaki.

“Sewaktu proses ‘dubbing’, sekali-sekala terkeluar juga suara wanita saya terutama ketika keletihan. Jadi, saya perlu pastikan sentiasa dalam keadaan bertenaga semasa proses ‘dubbing’,” katanya ketika ditemui.

Ezlynn berkata, pengarah vokal filem itu, Joanna Bessey banyak membantunya dalam mencari sisi budak lelaki dalam suaranya selain memberi tunjuk ajar bagaimana menjaga intonasi dan ‘feel’ suara serta mengawal pernafasan. 

“Terus-terang saya amat bangga terbabit dengan pembikinan BKTM ini. Memang tidak sangka terpilih kerana niat saya semasa mengunjungi studio Animasia untuk merakamkan lagu dan masa itulah saya dimaklumkan mereka sedang mencari pelakon suara untuk watak Iwan. 

“Suami juga minta mencuba dan tidak sangka percubaan suka-suka itu akhirnya menarik minat pihak Animasia untuk menawarkan saya watak berkenaan,” katanya. 

Turut beraksi cemerlang ialah pengarah, produser, pelakon dan pelawak terkenal, Afdlin Shauki yang meminjamkan suaranya untuk watak Sabok. Watak Sabok ini ternyata bersesuaian sifat sebenar Afdlin yang dikenali sebagai suka berjenaka dan nakal. 

“Tidak susah menghayati watak Sabok kerana saya hanya perlu mengeluarkan sisi nakal saya yang sudah lama tidak keluar untuk watak ini. Apabila saya menonton penuh filem ini, Sabok sebenarnya mengingatkan saya pada zaman kanak-kanak saya yang memang nakal. 

“Saya berbangga dapat terbabit dalam filem ini. Sebelum ini, isteri saya yang terbabit dengan dunia animasi dan anak-anak saya lebih teruja melihat hasil kerjanya berbanding filem yang saya hasilkan. 

“Sekarang, anak-anak saya boleh menghargai kerja saya menerusi filem animasi ini. Saya juga mahu ucapkan tahniah kepada Animasia di atas kejayaan mereka menghasilkan sebuah filem animasi bertaraf dunia,” katanya. 

Selain Ezlynn dan Afdlin, turut meminjamkan suara mereka dalam filem animasi ini ialah Noh Hujan (Dino), Marsha Milah (Puteri Amanda), Datuk Aznil Nawawi (Lord Vilus), Harun Salim Bachik (Tok Ayah), Aizat Amdan (Mat), Harris Alif (Azizul), Baki Zainal (Santok), Deanna Yusoff (Permaisuri) dan Douglas Lim (Szeto). 

Dalam pada itu, Noh yang meminjamkan suaranya untuk watak Dino mengakui, pembabitan dalam BKTM satu pengalaman baru yang memberi kepuasan kepadanya. 

“Saya sebenarnya peminat cerita animasi dan memang sengaja mahu merebut peluang ini untuk melihat dengan lebih dekat lagi proses pembikinannya dan secara tidak langsung ia dapat beri kepuasan dalam diri saya,” katanya. 

Aizat pula berkata, sama seperti Noh, dia juga mengambil peluang itu kerana minat dengan animasi selain mahu memahami proses pembikinan filem berkenaan. 

“Kebanyakan pemuzik memang ada sifat keanak-anakan dalam diri mereka. Tak pasti sejauh mana kebenaran ini, tapi itu pendapat saya. 

Saya secara peribadi sukakan filem bercorak animasi. Jika diminta untuk melakukan sekali lagi sebagai latar suara filem animasi, saya tidak ada masalah kerana ia tidak memerlukan saya beraksi depan kamera sebaliknya menzahirkan emosi dan ekspresi saya di balik tabir,” katanya. 

Sementara itu, Marsha yang memegang watak Puteri Amanda menganggap pembabitannya dalam BKTM sebagai satu pengalaman berharga. 

“Untuk suara latar filem, ini adalah satu pengalaman baru buat saya dan berharap dapat melakukannya lebih banyak filem seperti ini pada masa akan datang. 

“Walaupun ia sebuah filem animasi, cabarannya besar kerana terdapat banyak babak mencemaskan di mana saya perlu membayangkan diri saya dalam situasi itu walhal saya hanya berada di studio,” katanya. 


Ambil masa empat tahun, kos RM6 juta 

Komitmen tinggi dan kehebatan semua barisan pelakon Bola Kampung The Movie menggembirakan Pengarah Urusan Animasia Studio Sdn Bhd, Edmund Chan dan memuji pembabitan mereka. Beliau menyifatkannya sebagai sesuatu yang menakjubkan apatah lagi filem ini banyak menggunakan Imej Janaan Komputer (CGI). 

“Projek ini disertai lebih 100 bakat tempatan dan akan dipersembahkan dalam format CGI yang terbaru dan menakjubkan. Lebih istimewa lagi, setiap karakter dalam filem ini diberikan ‘nyawa’ melalui suara-suara yang dipinjamkan oleh pelakon, penyanyi, pengacara TV dan komposer popular tempatan,” katanya. 

Edmund berkata, mereka perlu melalui proses uji bakat suara yang dibuat mengikut kesesuaian karakter yang terdapat dalam filem itu dan semuanya dapat melakukannya dengan baik tanpa sebarang masalah. 

Filem bakal ditayangkan pada 21 Mac ini menelan belanja hampir RM6 juta dan mengambil masa lebih empat tahun untuk disiapkan bagi mendapatkan hasil yang berkualiti. 

“Kami ambil masa yang agak lama bagi memastikan kualitinya bertaraf antarabangsa kerana ia akan dibawa ke Indonesia, Kemboja dan Russia. Bagi pasaran Malaysia, kami menyasarkan kutipan RM10 juta dan 20 peratus daripadanya adalah hasil jualan ‘merchandise’ atau barangan BKTM,” katanya. 

Bola Kampung bermula sebagai siri televisyen animasi berbahasa Malaysia yang ditayangkan di RTM dan TV9. Ia kemudian dialih ke bahasa Inggeris dengan judul Football Kids untuk tayangan Disney Channel di 16 buah negara sejak 2007 termasuk Indonesia, Brunei, Thailand, Singapura, Filipina, Vietnam dan Turki. 

Bola Kampung juga adalah siri animasi pertama dari Malaysia yang ditayangkan di Disney Channel Asia. 

Menerusi filemnya kali ini, ia mengisahkan Amanda, seorang puteri dari dunia maya, Kingdom Hill yang dihantar ke Kampung Gong Lechar untuk mendapatkan bantuan bagi menyelamatkan Kingdom Hill yang diserang virus. 

Amanda bertemu dengan wira-wira bola kampung iaitu Iwan, Azizul, Sabok, Kumar dan kawan-kawan yang membantunya menghapuskan virus berkenaan. 

Iwan, Sabok dan Azizul kemudian memasuki dunia maya Kingdom Hill dalam usahakan menyelamatkan negara itu yang ditakluki Lord Vilus.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/08

Pinjam suara 100 bakat tempatan

Oleh : Oleh Norhadiani Baharom

Awal tahun 2013 menjadi permulaan baik buat Animasia Studio apabila program animasi terbitan mereka, Ask Lara dicalonkan di International Emmy Kids Awards bulan ini sekali gus meningkatkan keyakinan mereka untuk terus tampil dengan produk bermutu.
Bulan depan, Animasia Studio bakal tampil dengan Bola Kampung The Movie selepas menerima reaksi positif dari siri Bola Kampung yang kini disiarkan di TV9 dan Cartoon Network Asia.
Kini, Animasia Studio mempertingkatkan lagi portfolio dengan menjadikan siri popular ini dalam bentuk filem 3D. 

Bakal ditayangkan pada 21 Mac ini, Animasia Studio berharap filem Bola Kampung The Movie mendapat sokongan umum yang kini dilihat semakin giat menyokong produk tempatan.

Pengarah Urusan Animasia Studio Sdn Bhd dan Penerbit Eksekutif filem berkenaan Edmund Chan berkata, apa yang menarik mengenai pembikinan filem animasi ini ialah ia menampilkan ramai selebriti yang menyumbangkan suara untuk setiap watak.

“Projek ini disertai lebih 100 bakat tempatan dan filem ini akan mempersembahkan format Imej Janaan Komputer (CGI) yang baru dan menakjubkan.

 “Setiap karakter dalam filem ini diberikan ‘nyawa’ melalui suara yang dipinjamkan oleh pelakon, pe­nyanyi, komposer dan penyanyi tempatan. De­ngan bajet RM6 juta, kita menjanjikan hasil kerja tempatan dengan kreativiti yang hebat,” katanya. 

Edmund berkata, antara selebriti yang terbabit sebagai pelakon suara ialah Afdlin Shauki, Ezlynn, Deanna Yusoff, Datuk Aznil Nawawi, Harun Salim Bachik, Aizat Amdan, Marsha Milan, Baki Zainal, Noh dan Douglas Lim.

Turut terbabit dalam proses menyumbangkan suara adalah Harris Alif, Adila Shakir, Meester Bones dan Mamat.

Edmund berkata, Bola Kampung bermula sebagai siri televisyen animasi buatan Malaysia yang disiarkan dalam bahasa Melayu di saluran RTM dan TV9 sebelum dialih bahasa ke bahasa Inggeris dan bahasa lain dengan judul Football Kids untuk taya­ngan Disney Channel di 16 buah negara termasuk Indonesia, Brunei, Thailand, Singapura, Filipina, Vietnam dan Turki sejak 2007.

Bola Kampung juga adalah siri animasi pertama dari Malaysia yang mendapat saluran melalui Disney Channel Asia dan hingga kini, siri berkenaan disiarkan empat musim di kaca televisten. 

“Pada 2011, siri ini diperbaharui dengan judul Bola Kampung X dan ditayangkan secara perdana di saluran Cartoon Network. Sebelum ini, sejak 17 tahun lalu, pihak Animasia Studio sudah menghasilkan pelbagai produk animasi antaranya Bola Kampung, ABC Monster, Chuck Chicken, Balla Bowl, Bola Kampung X, Supa Strikas, Harry Bunny dan Asian Folklores,” katanya.

Bola Kampung The Movie mengisahkan Amanda, seorang puteri dari dunia permainan maya Kingdom Hill dihantar ke Kampung Gong Lechar untuk mencari wira bergelar Suria Warrior untuk menyelamatkan Kingdom Hill yang diserang virus.

Setibanya di Kampung Gong Lechar, Puteri Amanda tiba-tiba hilang ingatan dan berkawan dengan wira Bola Kampung seperti Iwan, Azizul, Sabok, Kumar dan lain lain. 

Iwan pula salah anggap Puteri Amanda adalah sepupunya yang sedang bercuti sempena cuti persekolahan dan terus memperkenalkan Puteri Amanda kepada kawannya. 

Tanpa disedari, seorang penjahat dari Kingdom Hill juga dihantar ke Kampung Gong Lechar untuk mencari dan membunuh Puteri Amanda. 

Selepas beberapa hari, ingatan Puteri Amanda beransur pulih sedikit demi sedikit dan menyedari bahawa Sabok ialah wira Suria Warrior yang dicari-carinya selama ini. Malang sekali, Puteri Amanda ditangkap dan dilarikan penjahat itu serta dipaksa pulang ke Kingdom Hill.

Filem animasi pengembaraan ini wajib ditonton khalayak untuk mengenal sebuah ikatan antara persahabatan dan kekeluargaan.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/28

Netcarbon lancar filem animasi 3D Supersquad

SYARIKAT animasi bumiputera tempatan, Netcarbon melancarkan filem animasi tiga dimensi (3D) Supersquad The Movie yang akan menemui penonton mulai Disember 2013.
Dengan kos pembikinan RM6 juta, filem itu merupakan kesinambunagan daripada siri televisyen 13 episod Supertots yang disiarkan tahun lalu. 
Ketua Pegawai Operasinya, Mohd Rashdan Ramlee berkata, seramai 45 juruanimasi dan bakat kreatif tempatan terlibat dalam pembikinan filem yang dimulakan sejak Oktober 2011. 

“Supersquad The Movie menyasarkan penonton daripada kalangan ahli keluarga dan kanak-kanak berusia tujuh hingga 17 tahun.

“Bagi menghasilkan kesan terbaik, filem animasi berbahasa Melayu ini dibangun menggunakan teknik hybrid motion capture dan keyframing,” katanya pada sidang media di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Daripada segi pasaran, Netcarbon menyasarkan jualan sebanyak 800,000 tiket di samping merancang bekerjasama dengan beberapa rakan kongsi untuk menyokong aktiviti penajaan dan jualan produk berkaitannya. 

Selain Malaysia, Supersquad The Movie akan turut dibawa ke peringkat antarabangsa menerusi kerjasama beberapa rakan pengedar. 

“Sebagai permulaan, animasi ini akan disiarkan di MIP TV, Perancis pada April 2013 sebelum ke Singapura, Indonesia dan negara-negara Timur Tengah di mana urusan alih bahasa akan dilakukan oleh mereka sendiri. 

“Menggalakkan lagi promosi filem ini, Netcarbon turut melancarkan aplikasi buku cerita interaktif Supertots untuk peranti iPad,” jelasnya. 

Filem animasi aksi komedi Supersquad The Movie mengisahkan pengembaraan lima adiwira iaitu Kapten Danny, Elly, Alan, Blinq dan Sasha untuk menyelamatkan bumi dan ayah mereka daripada dimusnahkan makh­luk asing diketuai Zeeboz. 

Antara artis tempatan yang menyumbang suara untuk setiap karakter adalah Aaron Aziz, Dafi, Radhi Khalid dan Diana Danielle.
Artikel ini disiarkan pada : 2012/09/11

Boboiboy telan kos RM2.6 juta

Oleh Afiq Hanif

MASIH ingat animasi pertama yang diterbitkan di negara kita iaitu Hikayat Sang Kancil pada 1978, diikuti dengan Monyet dan Buaya pada 1983?
Sejak itu, industri ini berkembang dengan adanya perkakasan, teknologi dan inovasi dari negara Barat terutama Perancis yang membawa era baru animasi negara dalam animasi empat dimensi, khusus pada pertengahan 1990-an.
Filem animasi tempatan pertama ialah Silat Lagenda dengan kos produksi RM3.5 juta.Filem ini mengambil masa dua tahun untuk disiapkan dan ditayang kepada umum pada 27 Ogos 1998.

Animasi tempatan lain yang ‘meletupkan’ dunia siaran ialah Usop Sontorian (1996-1998), Anak-Anak Sidek (1997-2004), Kluang Man dan sebagainya yang berjaya mendapat tempat di saluran utama televisyen tempatan.

Foto

HEBAT...aksi Yaya, Ying dan Gopal dalam Boboiboy.

Kini, selepas Upin & Ipin mencipta sejarah terutama selepas menjadi filem animasi tiga dimensi (3D) tempatan yang pertama menjejak ke panggung dan terus memecah panggung, satu lagi animasi baru bakal menemui pengguna bulan depan.

Boboiboy, nama yang diberikan syarikat pembikinnya, Animonsta Studios Sdn Bhd, diterajui Pengarah Urusan, Mohd Nizam Abdul Razak dengan tujuh rakannya yang lain melonjakkan kemampuan bakat muda untuk mencipta hasil setanding produk Amerika Syarikat.

Pembikinan animasi Boboiboy mencecah kos RM2.6 juta untuk 30 episod dengan 25 tenaga pakar dikerah untuk menyiapkan siri BoBoiBoy yang mengambil masa 18 bulan untuk dihasilkan. 

“Setakat ini, semua tenaga kerja berumur 30 tahun ke bawah dan kebanyakannya lepasan universiti dan kami bercadang untuk menambah lima lagi juruanimasi menjadikannya jumlah keseluruhan kepada 30 tenaga,” katanya.

Beliau memaklumkan, idea BoBoiboy timbul selepas mendapati bahawa Malaysia belum mempunyai ikon superhero kanak-kanak tempatan. 

“Kami mahu membuat animasi yang mampu menambat hati penonton tempatan terutama golongan kanak-kanak berkonsep ‘Superhero Kita’ yang disertakan humor,” katanya.

Katanya, karakter BoBoiboy boleh mengawal elemen seperti angin, tanah dan petir namun sering lupa kaedah memulakan kuasanya. 

“Manakala Yaya seorang budak perempuan bertudung yang mempunyai kekuatan seperti Superman, tetapi tidak suka berlawan. Dia akan dipaksa oleh kawannya untuk menyelamatkan keadaan,” kata Nizam.

Sementara karakter Ying mempunyai kuasa berlari laju sepantas kilat, tapi dia akan kehilangan kuasanya apabila bersin dan memperoleh kuasanya semula selepas bersin semula berlainan dengan karakter Gopal yang boleh menukar objek kepada makanan.

Nizam berkata, keghairahan menggunakan teknik 3D dibuat atas dasar daya tarikan yang kuat terhadap golongan kanak-kanak. 

“Animasi memberikan pelbagai cabaran seperti perlu mencari keseimbangan antara kreativiti, teknikal dan aspek perniagaan.

“Ketiga-tiga aspek ini adalah ramuan yang paling penting bagi menjayakan sesuatu produk manakala penulisan skrip yang menarik dan bersesuaian dengan animasi juga antara cabaran utama,” katanya.

Menariknya, Animonsta menggunakan teknologi 3D menggunakan perisian Autodesk Maya selain Logic Pro sebagai perisian audio.

“Perisian Adobe Creative Suite pula berupaya mengemaskan tekstur muka dan karakter serta digunakan untuk rekaan di samping komposisi,” tambah Nizam. 

Katanya, Autodesk Maya disifatkan perisian yang kompleks lengkap untuk menghasilkan dari proses model, ‘rigging’, animasi, pencahayaan dan ‘rendering’. 

“Kami perlu membahagikan tugas berbeza walaupun menggunakan perisian yang sama. Semua proses terbabit dilakukan di alam maya dalam bentuk digital sebelum dizahirkan ke bentuk imej,” katanya.

Katanya, perisian sama kali ini lebih baik berbanding tiga tahun lalu terutama membabitkan tahap kesukarannya sebagai contoh simulasi kain jauh lebih kemas, proses mewarna yang cepat dan lebih berkualiti.

Bukan itu saja, Animonsta memerlukan 25 komputer dan 1 komputer pelayan untuk menyimpan data yang menggunakan perkomputeran medium disediakan MAC3 iaitu prasarana dikhaskan untuk syarikat kreatif.

“Rata-rata komputer kami dilengkapi pemprosesan Intel XEON Dual - Quad Core dengan memori RAM 4G. Jika proses render terlalu kompleks, kami menggunakan MAC3 Rendering Farm yang mempunyai 100 CPU untuk penghasilan imej,” jelas Nizam.

Bercakap mengenai proses rendernya pula, Nizam berkata ia boleh disifatkan seakan proses mewarna dengan meletakkan cahaya digital dalam senario dan kemudian dirender ke beberapa lapisan yang berasingan.

“Pengasingan lapisan dilakukan untuk memudahkan dan mempercepatkan proses render. 

“Lapisan yang berasingan ini kemudian dicantumkan semula dalam proses komposisi untuk penghasilan imej yang terakhir,” katanya.

Sementara itu , beliau berpendapat, animasi tempatan sudah mendapat tempat 
di hati rakyat Malaysia dan semakin banyak syarikat tempatan mula menceburi bidang ini. 

“Ia penting untuk negara kerana animasi boleh mengharumkan nama negara di arena antarabangsa yang mengete­ngahkan budaya dan cerita kita pada masyarakat luar di samping menyumbang kepada ekonomi negara,” ujarnya.

Mengulas lanjut, Nizam berkata, Malaysia sudah sampai di taraf antarabangsa atau Hollywood cuma faktor bajet boleh mengehadkan kualiti dan pencapaian teknikal. 

“Kita dapat lihat syarikat gergasi di arena antarabangsa mula mencari animasi 
di Malaysia kerana pencapaian mutu kandungan dan teknikal kita,” katanya.

Oleh itu, untuk lebih maju ke depan bantuan kewangan dan penerokaan pasaran antarabangsa bagi mendapat pulangan yang lebih tinggi dijadikan modal untuk menghasilkan mutu kerja yang lebih tinggi. 

“Kami bernasib baik apabila menerima geran Multimedia Development Corporation (MDeC) bernilai RM1.96 juta melalui BCi2 Fund,” katanya.

Boboiboy juga kini sudah disunting saluran TV kanak-kanak antarabangsa popular, Disney yang akan memulakan tayangannya Jun nanti menunjukkan Boboiboy bukan calang-calang animasi di pasaran.

“Disney Channel memang menitikberatkan mutu. Apabila mereka memilih untuk menyiarkan Boboiboy menerusi saluran mereka, ia satu peng­iktirafan besar buat Malaysia dan industri animasinya yang masih di peringkat permulaan,” katanya.

Sejarah sejak lima tahun kebelakangan ini membuktikan syarikat tempatan berupaya menghasilkan kandungan kreatif bertaraf antarabangsa untuk pasaran global.

Menurut Nizam, cabaran besar yang dihadapi syarikat tempatan ialah menghasilkan animasi bertaraf dunia pada kos penerbitan yang terhad.

“Industri animasi Malaysia kecil. Bajet produksi kita agak terhad berbanding syarikat terkemuka dunia yang menghasil­kan sehingga RM1.1 juta bagi animasi tiga dimensi (3D) bagi tayangan selama setengah jam,” katanya.

“Pasaran Malaysia terhad, sebab itu kami meneroka di peringkat dunia. Kami percaya pemasaran animasi tidak dibataskan sempadan dan bahasa sesebuah negara,” tambah Nizam.

“Apa yang membanggakan kualiti animasi yang kita hasilkan menepati piawaian antarabangsa dan ini diakui sendiri pemain industri di peringkat antarabangsa,” katanya.

TV3 menjadi stesen televisyen yang sentiasa memberi sokongan padu terhadap pembangunan dan perkembangan animasi tanah air melalui siri baru Boboiboy yang bakal ditayangkan di slot utama jam 7 malam setiap Ahad.

Ruang yang diberikan stesen TV sebenarnya turut bertanggungjawab kepada perkembangan animasi keluaran tempatan memandangkan tanpa sokongan mereka, memang sukar anak muda yang kreatif dalam animasi dan multimedia mengembangkan bakat dan idea masing-masing.

Apatah lagi, kos penerbitan animasi terutama produk bersiri memang tinggi membabitkan teknologi multimedia canggih dan beberapa kesan khas.

Ditambah pula, proses pembikinannya juga agak leceh kerana memerlukan komitmen serta disiplin yang tinggi.

Oleh itu, kita berupaya menghasilkan sebuah animasi atau kartun yang baik kalau sanggup menyediakan peruntukan besar untuk membeli teknologi canggih seperti komputer berkelajuan tinggi atau mengambil seberapa banyak tenaga muda.

Menerusi kos yang besar itu, memang tidak menguntung­kan kalau stesen TV sekadar membeli dan menyiarkan animasi yang panjangnya 10 episod atau 15 episod. Tapi ia dianggap satu pelaburan yang baik kalau stesen TV sanggup memberikan slot sekurang-kurangnya 30 episod bagi sebuah siri animasi.

Animasi menjadi semakin popular dan diterima masyarakat dunia selaras teknologi berkaitan yang berkembang pesat menyaksikan banyak perubahan daripada awal 1900 sehingga kini.

Teknologi dua dimensi (2D) menjadi pembuka tirai animasi sebelum aksi 3D mengubah fenomena menjadi lebih hebat, tetapi bagaimana ia membantu mengembangkannya?

Animasi 2D memerlukan sesuatu karakter disunting dalam komputer menggunakan grafik bitmap dan seterusnya direka menggunakan grafik vektor termasuk teknik animasi tradisional seperti ‘tweening’, ‘morphing’, ‘onion skinning’ dan ‘interpolated rotoscoping’.

3D memerlukan penggunaan komputer membina karakter berdasarkan poligon yang membenarkan pergerakan dalam bentuk digital (sculpture).

Proses ini dinamakan ‘rigging’ menggunakan pelbagai teknik termasuk fungsi matematik (graviti), simulasi serta kesan khas untuk sesuatu seperti pergerakan api dan air.

Perisian yang diperlukan bergantung kepada keperluan membina animasi baik termasuk Maya, ACIS, Animation Master, 3D Modeler, Renderman dan Interactive Scenario Builder.

Superkomputer pula dengan cip pantas mampu memproses empat gigabait data dalam tempoh satu saat selain dapat meningkatkan kelajuan pemprosesan data satu pertiga kali ganda daripada kelajuan yang ada sekarang.

Hasil kerja seperti proses pewarnaan digital dan mattle, mengubah visual, model 3D, animasi 3D dan pergerakan imej dalam filem menjadi kerja paling rumit.

Jangan anggap ‘industri kartun’ remeh hanya kerana ia kartun tapi ia mempunyai potensi pasaran besar tetapi belum diterokai secara bersungguh-sungguh oleh stesen TV tempatan.

Biarpun sekadar kartun, tetapi penontonnya bukan kanak-kanak saja. Orang dewasa juga meminati kartun.

Dari satu aspek, memang animasi sesuatu yang menarik kerana terbukti kualiti Malaysia diiktiraf oleh negara luar. Tapi dalam jangka panjang kita akan terasa kerugian dari segi bakat dan kemahiran kerana mereka menghasilkan kreativiti yang terhad tanpa tahu ke mana ia perlu disalurkan.

Artikel ini disiarkan pada : 2011/02/15

Bajet animasi RM6 juta

Oleh Syanty Octavia Amry

KECANGGIHAN teknologi masa kini memberi peluang kepada produser filem menghasilkan filem bercorak animasi 3D. Nyata peluang itu memberi banyak impak apabila ramai penonton filem tempatan dapat menerima kehadiran filem animasi 3D yang dihasilkan.
Netcarbon Sdn Bhd turut mengambil peluang menghasilkan filem animasi 3D berjudul Supersquad The Movie yang menelan belanja hampir RM6 juta dan mengambil masa kira-kira 24 bulan untuk menerbitkannya.
Menggunakan suara pelakon terkenal seperti Diana Danielle, Dafi, Radhi Khalid dan Aaron Aziz filem berkenaan berkisarkan lima adiwira berjuang menyelamatkan bumi daripada cengkaman makhluk asing.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohd Rashdan Ramlee, seramai 45 juru animasi dan bakat kreatif tempatan terbabit dalam pembikinan filem yang dimulakan sejak Oktober tahun lalu.

“Supersquad The Movie menyasarkan penonton daripada kalangan ahli keluarga dan kanak-kanak berusia tujuh hingga remaja.

“Bagi menghasilkan kesan terbaik, filem animasi berbahasa Melayu ini dibangun menggunakan teknik ‘hybrid motion capture’ dan ‘keyframing’.

“Insya-Allah kalau tiada sebarang masalah filem ini akan ditayangkan di seluruh pawagam tanah air pada Disember 2013,” katanya pada majlis pelancaran filem animasi berkenaan baru-baru ini.

Katanya, selain Malaysia, Supersquad The Movie akan turut dibawa ke peringkat antarabangsa menerusi kerjasama beberapa rakan pengedar.

“Sebagai permulaan, animasi ini akan disiarkan di MIPTV, Perancis pada April 2013 sebelum ke Singapura, Indonesia dan negara-negara Timur Tengah di mana urusan alih bahasa akan dilakukan oleh mereka sendiri.

“Bagi menggalakkan lagi promosi filem ini, Netcarbon turut melancarkan aplikasi buku cerita interaktif Supertots untuk peranti iPad,” katanya lagi.

Sementara itu bagi penyumbang suara watak Kapten Elly, Diana berkata, Karakter Elly memerlukan dia menjiwai watak seorang gadis muda yang mempunyai kuasa luar biasa dan berpendirian tegas. 

“Ia bukan satu tugas mudah, tetapi saya seronok sepanjang proses itu serta berharap penonton juga menyukai hasilnya nanti,” katanya.

Bagi Dafi, tawaran melakonkan watak utama dalam Supersquad The Movie menjadi pengalaman peribadi berharga, selain menambah portfolio dalam bidang lakonan yang baru diceburinya.

“Saya pegang watak sebagai Kapten Danny dan pengalaman ini sangat menyeronokkan,” katanya.

Supersquad The Movie mengisahkan pengembaraan lima adiwira iaitu Kapten Danny, Elly, Alan, Blinq dan Sasha untuk menyelamatkan bumi dan ayah mereka daripada dimusnahkan makhluk asing diketuai Zeeboz.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/09/17

Upin & Ipin ke-5 di dunia

Oleh Salman Hamat

JOHOR BAHRU: Siri animasi Upin & Ipin mencatat sejarah tersendiri apabila tersenarai sebagai satu-satunya laman sosial facebook tempatan paling banyak dilawati serta dikongsi sepanjang tahun lalu dengan menduduki tangga kelima di dunia mengalahkan siri animasi antarabangsa seperti Doraemon dan Sponge Bob.
Mengikut sumber facebook, kedudukan itu bagi Kategori Hiburan di bawah subkategori karakter fiksyen didahului dengan Dr House yang dilawati 22,828,438 pelawat, Mr Bean (16,633,297), Dory (14,184,410), Patrick Star (10,959,651) dan Upin & Ipin (5,442,386). Pengarah Web Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai di sini, Dr Nor Azman Ismail berkata, kedudukan itu berdasarkan maklumat diperoleh daripada facebook sepanjang 2011.

“Kedudukan itu menunjukkan pertambahan pengguna facebook dalam negara serta kejayaan animasi tempatan untuk meraih populariti paling tinggi.
“Selain peminat tempatan, ia hasil peminat dari Indonesia yang turut meminati watak Upin & Ipin yang disiarkan di negara mereka.

“Kiraan populariti itu dijalankan berdasarkan jumlah peminat yang melayari facebook berkenaan serta dikongsi dalam tempoh singkat di seluruh dunia,” katanya, semalam.

Watak Upin & Ipin ialah tajuk bagi siri animasi tayangan singkat dihasilkan syarikat animasi Les’ Copaque di Malaysia.
Ia disiarkan pada Ramadan 2007 di TV9 (Malaysia) dengan tujuan mendidik kanak-kanak supaya menghayati erti bulan mulia berkenaan.

Sambutan hebat terhadap siri animasi pendek itu menyebabkan Les’ Copaque menerbitkan satu lagi musim baru dengan 12 episod sempena Ramadan dan Aidilfitri pada 2008. Amat membanggakan apabila pada musim pertama, Upin & Ipin memenangi anugerah Animasi Terbaik pada Festival Filem Antarabangsa Kuala Lumpur 2007.
Hasil perkembangan serta peminat yang semakin bertambah, Upin & Ipin kini menjangkau lima musim siaran dan tidak terhad pada siaran televisyen malah diedarkan dalam bentuk Video Cakera Digital (DVD).

Animasi Upin dan Ipin berkisar mengenai sepasang adik-beradik kembar yang belajar di sebuah tadika serta tinggal bersama kakak mereka dan Opah di Kampung Durian Runtuh.

Antara karakter utama yang turut mewarnai Upin & Ipin ialah Mei Mei, Jarjit Singh, Ehsan, Fizi dan Mael.
Artikel ini disiarkan pada : 2012/01/11


Malaysia perlu pandang jauh

Oleh Afiq Hanif

SIDANG Kemuncak Animasi Asia 2012 yang bakal berlangsung bulan depan mengundang persoalan sejauh mana masa depan animasi mampu menarik minat kanak-kanak moden selain memperkasa ciptaan produk tempatan yang lebih baik.
Ketua Pemerolehan CBBC dan Pembangunan Drama, Sarah Muller Jones berkata, industri kini berada dalam kedudukan global dan memerlukan kerjasama dunia yang membantu peningkatan dalam kepentingan rangkaian antarabangsa. 
“Kanak-kanak pada zaman sekarang mahukan animasi yang bukan berasaskan budaya semata-mata, tetapi lebih bersifat global dan ia perlu difahami pembangun di seluruh dunia,” katanya kepada it@Metro.

Beliau memaklumkan, animasi moden memerlukan karakter yang bersifat lucu dengan kandungan memahami kedua-dua jantina di kalangan kanak-kanak.

“Teknologi animasi mampu memainkan peranan penting dalam perkembangan kanak-kanak,” kata Jones yang pernah terlibat beberapa kerjasama dengan beberapa siri animasi disiarkan dalam saluran BBC di United Kingdom.

CBBC yang bernaung di bawah BBC menawarkan animasi kepada kanak-kanak berusia 6 hingga 12 tahun.

Dalam pada itu, Jones memaklumkan, pembangun animasi Malaysia perlu bersedia ke arah pemodenan yang bersesuaian dengan masa depan.

“Saya lihat potensi juruanimasi negara ini mampu pergi jauh.

“Cuma, mereka perlu memberi fokus yang meluas ketika cuba untuk memahami dan bekerja merentasi perubahan budaya dan berhubung rapat dengan rakan kongsi pengeluaran bersama dalam usaha untuk mendapatkan kerja diiktiraf di peringkat tempatan dan antarabangsa,” katanya.

Jones tidak menolak kemungkinan animasi negara ini mampu menembusi pasaran BBC di Eropah, namun ia memerlukan pembangunnya melakukan kajian yang mendalam melangkaui pasaran tertentu semata-mata.

“Malaysia mempunyai bakat yang baik dan mereka perlu memikirkan produksi secara bersama dengan syarikat luar,” nasihat Jones.

Jones antara individu yang bakal hadir pada Sidang Kemuncak Animasi Asia 2012 yang berlangsung selama dua hari bermula 10 Disember depan.
Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/27

Polisi animasi perlu jelas

Oleh Afiq Hanif
afiq@hmetro.com.my
SALADIN...kuasai Timur Tengah.
SALADIN...kuasai Timur Tengah.

SEMUANYA bermula pada 1983 apabila industri animasi tempatan mencatatkan sejarah menerusi penayangan filem animasi pendek pertama bertajuk ‘Hikayat Sang Kancil’ di stesen Radio Televisyen Malaysia (RTM).
Filem pendek garapan Anandam Xavier itu menjadi titik permulaan meneroka bidang yang sejak sekian lama menjana keuntungan besar kepada industri filem luar negara seperti Jepun dan Amerika Syarikat (AS).
   
    Foto
  • Foto U.
BOBOIBOY...jengah pasaran luas

Antara 1984 dan 1987, beberapa lagi filem animasi pendek dihasilkan atas sokongan Filem Negara seperti Sang Kancil dan Monyet, Sang Kancil dan Buaya, Gagak Yang Bijak, Arnab Yang Sombong serta Singa Yang Haloba.

Lebih 10 tahun selepas itu, filem animasi cereka pertama bersandarkan kisah legenda kepahlawanan Hang Tuah pula diterbitkan iaitu filem Silat Lagenda yang diarahkan oleh Hassan Abd Muthalib.

Bagaimanapun, kejayaan paling membanggakan sudah pasti dicetuskan sekumpulan anak muda lulusan Universiti Multimedia Malaysia (MMU) yang bernaung di bawah syarikat Les Copaque Production menerusi filem animasi paling berjaya di pasaran setakat ini, Geng: Pengembaraan Bermula.

Terbaru, animasi Boboiboy yang dihasilkan Animosta Studios sudah melepasi tayangan di saluran Disney di beberapa negara di samping siri Saladin berjaya menembusi pasaran Timur Tengah.

Kejayaan terbabit mendorong banyak syarikat mencuba nasib dalam bidang animasi dengan menubuhkan syarikat ditambah pula tawaran geran yang disediakan melalui agensi kerajaan atau swasta.

Tawaran yang disediakan cukup untuk melengkapkan syarikat pemula yang beroperasi sekitar dua atau tiga individu saja.

Naib Presiden Multimedia Development Corporation (MDeC), Kamil Othman, mengulas mengenai kualiti kandungan kreatif seperti animasi yang sepatutnya mampu mempamerkan keupayaan negara di mata dunia.

Saya berpendapat, siapa yang mampu mengawal kandungan kreatif mereka mampu mengawal destinasi negara pada masa depan.

Bayangkan, siapa yang menonjolkan kepada masyarakat keadaan dunia menurut perspektif mereka? Hollywood,” katanya.

Menurutnya, Hollywood memainkan peranan dengan memberi gambaran dan menempatkan persepsi mengenai dunia dengan menghasilkan kandungan kreatif yang meninggalkan kesan mendalam kepada masyarakat.

Hollywood adalah kilang kandungan terbesar di dunia dan dituruti Bollywood (India) dan mereka menceritakan mengenai kekuatan negara menerusi kandungan dihasilkan.

Anda boleh lihat sendiri, AS kalah dalam peperangan di Vietnam tapi penghasilan kandungan dipertontonkan kepada masyarakat menggambarkan seolah-olah mereka memenangi perang terbabit,” kata Kamil.

Potensi industri animasi bukan hanya sekadar penerbitan siri televisyen atau filem cereka, malah ia kini turut berkembang kepada segmen lain dalam industri berkenaan seperti ‘anime’ dan ‘manga’.

Kamil berkata, industri animasi di Malaysia boleh dibangunkan menjadi pasaran bernilai jutaan ringgit dengan sokongan kerajaan dan strategi pemasaran terancang.

MDeC sentiasa menyokong perkembangan industri isi kandungan kreatif tempatan.

Kami percaya industri ‘manga’ tempatan perlu diberi pendedahan sewajarnya dan dieksport malah terdapat peluang yang besar di luar sana untuk industri ini tetapi setakat ini ia tidak digunakan sepenuhnya oleh penggiat industri berkenaan,” katanya.

Beliau menegaskan, penggiat kandungan kreatif terbabit perlu mempelajari bagaimana memasarkan produk mereka ke peringkat antarabangsa selain perlu mempunyai wawasan untuk memastikannya tidak hanya terhad ke pasaran tempatan.

Seterusnya, kita perlu mempunyai rancangan kukuh di peringkat nasional untuk memastikan ia boleh dipasarkan mengikut acuan negara ini,” katanya.

Beliau memberi contoh pelan utama Korea Selatan pada 2001 yang mahu memaparkan budaya negara itu kepada masyarakat dunia hanya melalui kandungan kreatif.

Agensi ditubuhkan bagi menepati hasrat terbabit ialah Agensi Kebudayaan dan Kandungan Korea yang mahukan setiap kandungan Korea turut membawa produk mereka bersama. Inisiatif terbabit berjaya membawa teknologi Korea seperti Samsung, LG, Hyundai dan sebagainya ke mata dunia,” katanya.

Pengusaha industri kandungan kreatif di negara ini perlu berani untuk meneroka pelbagai aspek dalam pasaran terutama membabitkan maklumat dan idea baru jika mahu bersaing dalam arena global industri berkenaan.

Kamil pernah mengemukakan kertas konsep kepada Ketua Setiausaha Negara (KSN) mengenai cadangan penubuhan Perbadanan Pembangunan Industri Kreatif (CIDC).

Beliau berkata, cadangan itu adalah untuk memperkasa pembangunan industri kandungan multimedia kreatif di negara ini yang mempunyai peranan hampir sama dengan Agensi Kebudayaan dan Kandungan Korea termasuk menyelia Dasar Kandungan Kebangsaan dan bertindak sebagai laluan masuk kepada pasaran dunia.

“Ada persepsi mendakwa industri kreatif berasaskan hiburan semata-mata walhal ia membabitkan penggunaan teknologi digital dalam industrinya,” katanya.

Syarikat produksi tempatan, khususnya yang terbabit dalam pengeluaran filem dan siri televisyen, harus memberi fokus kepada usaha menghasilkan filem yang mengandungi lebih kandungan tempatan, bagi menembusi pasaran eksport.

Pembangunan kandungan tempatan yang kreatif boleh menarik penonton luar negara membeli produksi tempatan.

Kamil memaklumkan, orang luar mempunyai minat tinggi untuk mendapatkan produk tempatan khususnya filem atau program yang ada kandungan tempatan yang tinggi.

Katanya, kerjasama strategik penyedia kandungan tempatan dengan syarikat luar negara dapat membuka jalan kepada rakyat tempatan memahami pasaran global dengan lebih baik dan pada masa sama, membuka peluang pekerjaan kepada tenaga tempatan.

MDeC sebagai penggalak kepada pembangunan multimedia akan terus memberi tumpuan kepada usaha membangunkan kandungan tempatan dan mengatasi halangan kreativiti.

Buat masa sekarang tiada polisi yang jelas dan berbentuk jangka panjang menyebabkan perkembangan industri kreatif Malaysia tidak serancak negara maju lain seperti Amerika Syarikat, Jepun dan yang terbaru, Korea Selatan, yang mengeksport industri budayanya menerusi industri terbabit.

Wujudnya satu polisi khusus yang digubal untuk industri kreatif berkenaan membuka langkah bersepadu yang dapat digembleng, terutamanya menjadikan industri berkenaan penjana pendapatan kepada negara dan juga mencipta lebih banyak peluang pekerjaan.

“Dengan adanya satu polisi khusus dan penubuhan satu suruhanjaya khas untuk industri berkenaan, maka ia akan dapat memberikan tumpuan lebih khusus kepada industri kreatif, terutamanya pembangunan sumber manusia, penerokaan pasaran antarabangsa, prasarana, penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta perkhidmatan,” kata Kamil.

Di samping itu, rangsangan harta intelek (IP) penting kepada perkembangan industri budaya tempatan kerana ia mampu melindungi, sekali gus menggalakkan lebih ramai rakyat Malaysia yang kreatif untuk terbabit dalam pembangunan industri berkenaan.

Pembangunan industri IP amat penting untuk dimiliki pencipta agar hasil kreativiti tidak dapat dicuri dengan mudah oleh pihak lain.

Malah, pembangunan IP mampu memberi pulangan besar seperti yang disaksikan menerusi Upin & Ipin apabila mendapat keuntungan apabila membangunkan produk lain berasaskan animasi mereka seperti patung permainan dan sebagainya.
Artikel ini disiarkan pada : 2011/09/27


 

16 negara tonton BoBoiboy

BAGAIMANA sejarah Animonsta Studios mula bertapak di negara ini?
Animonsta Studios yang menjangkau umur dua tahun pada 15 September lalu ditubuhkan khusus untuk menerbitkan animasi dalam bentuk siri dan filem.
Produk sulung kami, BoBoiBoy ditayangkan di TV3 dan kini saluran Disney Channel Asia yang dapat ditonton di 16 negara.

Kami menggunakan konsep ‘Universal Content with Local Touch’ (kandungan universal dengan sentuhan tempatan) apabila kami percaya animasi terbitan tempatan dapat pergi lebih jauh ke pasaran antarabangsa.

Kejayaan BoBoiBoy pasti mendorong ramai anak muda lain untuk mencuba nasib dalam bidang animasi, bagaimana mereka boleh mendapatkan modal memulakan syarikat?

Memang banyak syarikat mencuba nasib dalam bidang ini dan mereka boleh mendapatkan tawaran geran yang disediakan melalui agensi kerajaan atau swasta.
Tawaran disediakan cukup untuk melengkapkan syarikat pemula yang beroperasi sekitar dua atau tiga individu saja.


Apakah fokus yang sepatutnya ditonjolkan syarikat animasi negara ini?

Syarikat produksi tempatan, khususnya yang terbabit dalam pengeluaran filem dan siri televisyen, harus memberi fokus kepada usaha menghasilkan filem yang mengandungi lebih kandungan tempatan bagi menembusi pasaran eksport.

Pembangunan kandungan tempatan yang kreatif boleh menarik penonton luar negara membeli produksi tempatan.


Bagaimana perkara itu boleh dikaitkan dengan kejayaan yang dicapai BoBoiBoy?

Kami memandang jauh konsep superhero (adiwira) tempatan memandangkan sebelum ini, Malaysia masih tidak mempunyai watak adiwira kanak-kanak. Sudah tiba masanya Malaysia mempunyai watak superhero kanak-kanak sendiri.

Kalau kita mengaitkannya dengan pasaran antarabangsa pula, genre ini sememangnya mudah diterima masyarakat global.


Bagaimana Animonsta Studios menguruskan perbelanjaan? Dari mana anda mendapat sumber kewangan?

Kami mendapat sumber kewangan daripada geran kerajaan dan urus niaga kami.
Dana dalam bentuk geran dari BCi2 itu dikeluarkan Multimedia Development Corporation (MDeC).

Kami juga meminimumkan perbelanjaan dengan memanfaatkan fasiliti dari pihak kerajaan melalui MDeC iaitu MAC3 yang mana kami dapat menyewa tempat kerja dengan kos rendah.

Di MAC3, MDeC menyediakan pelbagai kelengkapan seperti komputer, perisian, ‘rendering farm’ dan yang terbaru studio rakaman.

Sumber terpenting tentulah daripada urus niaga kami sendiri dengan stesen TV termasuk penaja dalam dan luar negara. Selain itu, kami juga mendapat sumber kewangan daripada pemberian lesen menjual barangan BoBoiBoy dan kutipan royalti.


Apakah perancangan masa depan Animonsta?

Kami berusaha menumpukan produksi musim kedua BoBoiBoy yang akan muncul pada Jun 2012. Ia disusuli dengan musim seterusnya untuk beberapa tahun kerana kami yakin BoBoiBoy boleh bertahan untuk satu tempoh yang agak lama.

Di samping itu, kami dalam perancangan menghasilkan filem BoBoiBoy, namun belum ada kenyataan dan tarikh rasmi lagi kerana faktor tenaga kerja dan perancangan perniagaan yang perlu diselesaikan terlebih dulu.

Apa pun, BoBoiBoy akan aktif di pasaran Asia mulai tahun hadapan bermula di Indonesia. Tahun seterusnya (2013), kami akan menumpukan pasaran Eropah,
Amerika dan pasaran lain.


Bagaimanakah caranya untuk animasi Malaysia maju pada masa depan?

Pemahaman dan keseimbangan antara kreativiti dan perniagaan adalah kunci bagi animasi Malaysia maju ke hadapan.
Artikel ini disiarkan pada : 2011/10/30

 

Minda: Dunia tabik karya kita

Oleh Nizam Razak

SEJAK beberapa tahun kebelakangan ini, kita dapat melihat kebangkitan industri animasi di Malaysia. Ia menjadi satu fenomena dan trend baru. Bermula dengan siri animasi Upin & Ipin di TV9 pada bulan puasa 2007, sambutannya amat luar biasa.
Saya yang terbabit secara langsung dengan penerbitan siri Upin & Ipin dan filem animasi 3D pertama Malaysia; Geng Pengembaraan Bermula amat teruja dengan sambutan yang diberikan.
Manakan tidak, pada awalnya agak risau dengan sambutan yang bakal diterima, namun kerisauan itu hilang apabila rakyat memberikan sambutan padu terhadap Upin & Ipin dan seterusnya membanjiri pawagam untuk melihat filem Geng Pengembaraan Bermula yang turut memaparkan watak popular Upin dan Ipin.

Selepas Upin & Ipin dan Geng Pengembaraan Bermula, kita dapat lihat lebih banyak animasi dihasilkan dan penerimaan penonton semakin meluas serta penghayatan penonton semakin mendalam.

Siri animasi BoBoiBoy, Saladin, Pada Zaman Dahulu dan Bola Kampung musim baru dilihat memeriahkan lagi dunia animasi tanah air.

Siri animasi BoBoiBoy yang menjadi siri animasi tempatan pertama ditayangkan di TV3, baru-baru ini berjaya mencatatkan sejarah dengan memecahkan rating dan rekod penonton siri animasi tertinggi di kaca TV Malaysia dengan 1.736 juta penonton. Rekod penonton tertinggi selama ini dipegang puluhan tahun lamanya oleh siri animasi Jepun, Doraemon dengan 1.6 juta penonton.

BoBoiBoy menjadi pilihan penonton bukan saja di Malaysia, malah di Filipina dan juga Singapura melalui siaran di Disney Channel. BoBoiBoy bakal memasuki pasaran Indonesia pada Jun ini melalui GlobalTV.

Kemeriahan ini ditambah lagi dengan kemunculan filem animasi Seefood yang baru saja ditayangkan di pawagam tanah air serta diedarkan di 90 negara. Akhir tahun ini, Bola Kampung The Movie pula akan ditayangkan. Selepas melihat trailer Bola Kampung The Movie, penulis semakin tidak sabar untuk menontonnya.

Melihat perkembangan Upin & Ipin, Les’ Copaque membuktikan bahawa siri kartun dapat diterjemahkan ke teater muzikal, karnival malah ke peringkat taman tema. Penulis berharap taman tema yang dirancang Les’ Copaque menjadi kenyataan.

Dapat kita lihat, animasi yang dulu dikatakan tidak mempunyai masa hadapan yang cerah, kini menjadi buah mulut generasi muda untuk dijadikan kerjaya apabila memasuki alam pekerjaan nanti. Ada juga yang memasang azam dan impian untuk memiliki studio produksi sendiri kelak.

Kerajaan sememangnya memainkan peranan utama dalam usaha menaikkan industri animasi. Pelbagai usaha seperti pemberian dana, akses pasaran dan penyediaan infrastruktur disediakan.

Kerajaan sendiri melalui Multimedia Development Corporation (MDeC) memacu industri apabila mengumumkan produksi siri animasi Saladin dengan kerjasama Al Jazeera Children Channel.

Tahun 2011 menyaksikan siri animasi Saladin mencipta sejarah apabila dicalonkan di International Emmy Awards. Satu penghargaan tertinggi untuk industri animasi tanah air.

Kejayaan Saladin di peringkat antarabangsa berjaya meletakkan Malaysia di peta animasi dunia. Nama-nama besar di dalam dunia animasi kagum melihat mutu penghasilan Saladin. Ini secara langsung menaikkan keyakinan mereka secara keseluruhan terhadap industri animasi negara. Nampaknya peluang animasi kita untuk menembusi pasaran antarabangsa semakin luas.

Jika dibandingkan dengan negara lain, industri animasi di Malaysia sememangnya beruntung kerana diberi banyak bantuan oleh pihak kerajaan. Sebagai contoh, tidak banyak negara memperuntukkan dana berbentuk geran yang tidak perlu dibayar semula.

Tidak cukup dengan bantuan dalam bentuk kewangan, setiap tahun pihak kerajaan daripada MDeC, Finas dan SKMM akan membawa syarikat animasi yang berminat untuk menyertai pelbagai pasaran atau program berkaitan dengan animasi.

Jelas sekali di mata saya bahawa industri animasi kita dikagumi oleh negara lain. Setiap kali saya berpeluang untuk ke negara jiran untuk menguruskan perniagaan, mereka pasti akan menyatakan kekaguman mereka dengan pembangunan pesat industri animasi kita. Mereka amat memuji usaha dan bantuan kerajaan berikan terhadap industri animasi kita.

Apa yang saya lihat masih kekurangan ialah bajet untuk pemasaran dan promosi. Walaupun kerajaan banyak membantu untuk membawa syarikat ke pasaran antarabangsa, namun bagi saya ia belum mencukupi.

Animasi adalah bisnes media dan bisnes media tidak boleh lari daripada perbelanjaan pemasaran dan promosi. Untuk sesebuah syarikat menyediakan bajet pemasaran dan promosi sendiri, ia amat besar dan kadangkala boleh melepasi bajet produksi.

Saya dapat lihat banyak produk keluaran negara berada di paras global tetapi oleh kerana kekurangan bajet pemasaran dan promosi, produk animasi yang mempunyai peluang masih lagi ‘tersangkut’ di Malaysia saja.

Bajet pemasaran dan promosi penting bukan saja untuk menyedarkan pembeli yang terdiri daripada stesen penyiar mengenai kewujudan produk animasi tetapi juga untuk menyedarkan pihak berminat untuk mengambil lesen barangan serta mengumumkan kewujudan barangan kepada orang ramai.

Sebenarnya perniagaan animasi ini hanya bergantung 30 peratus daripada jualan penyiaran dan selebihnya daripada pemberian lesen dan penjualan barangan.

Tanpa bajet pemasaran dan promosi, adalah amat sukar untuk syarikat animasi mengumumkan bahawa adanya lesen dan kewujudan barangan di pasaran. Ini mengakibatkan kerugian 70 peratus peluang perniagaan. Secara langsung, situasi ini menyukarkan syarikat animasi untuk kekal lama.

Sebab itu kita lihat banyak animasi popular dari Barat dan Jepun seperti Naruto, Doraemon, Ben10 dan Ultraman sebenarnya memberi fokus kepada aspek penjualan barangan. Siri animasi yang mereka siarkan di TV itu hanyalah untuk mempopularkan cerita dan watak yang ada di dalam animasi mereka.

Selepas cerita dan watak popular, mereka mengaut keuntungan dengan aktiviti jualan barangan mereka seperti jam tangan, patung permainan, baju, beg sekolah dan pelbagai lagi yang bernilai jutaan ringgit.

Di Malaysia kita bernasib baik kerana pihak stesen TV banyak membantu mempromosikan animasi tempatan yang mereka siarkan tetapi situasinya berbeza apabila kita ke luar negara. Di luar negara produk animasi kita hanyalah satu daripada berpuluh-puluh atau mungkin beratus-ratus animasi yang dibeli.

Secara lojik pembeli tidak boleh mempromosikan animasi kita secara berlebihan. Cukup sekadar untuk memberitahu penonton waktu siaran saja. Jadi sudah tentu kita perlukan bajet yang lebih untuk mempromosikan jualan barangan dan lesen animasi kita.

Walaupun banyak kita perlu pelajari dan perbaiki, saya percaya kita berada di landasan yang betul. Saya berasa amat bangga dengan kemajuan industri animasi tanah air setakat ini yang bukan saja berjaya di Malaysia malah diterima di peringkat antarabangsa.

Ini terbukti dengan penyiaran beberapa animasi tempatan di saluran TV antarabangsa seperti Disney Channel dan juga Cartoon Network. Berdasarkan pengalaman saya, ia bukanlah mudah bagi saluran TV antarabangsa untuk menerima produk animasi. Mereka amat mementingkan aspek penceritaan, kualiti visual dan kesesuaian dengan penonton mereka yang meliputi beberapa negara.

Penerimaan terhadap animasi kita patut dibanggakan seluruh rakyat Malaysia kerana membuktikan cerita kita, budaya kita, wajah kita boleh diterima di peringkat antarabangsa.

Secara tidak langsung kita dapat mengeksport budaya kita ke serata dunia. Lihat apa yang dilakukan oleh Jepun sehingga dunia berpeluang mengenali budaya mereka melalui animasi yang banyak berada di kaca TV seluruh dunia. Muda-mudi di negara kita turut belajar bahasa Jepun secara tidak langsung daripada siri animasi mereka.

Saya harap industri animasi kita akan dapat mencapai tahap lebih tinggi agar dunia dapat mengenali kita dengan lebih dekat lagi melalui produk animasi kita.


Penulis pengasas bersama Animonsta Studios
Artikel ini disiarkan pada : 2012/03/29

 

Artikel pada 2012/07/22

Dua tahun siapkan rekaan

APABILA meneliti reka bentuk kapal angkasa, kenderaan perisai, senjata, rekaan dalaman markas ARES serta keadaan bandar New York yang musnah diserang makhluk asing, anda pasti terfikir ia mungkin hasil karya tenaga kreatif Hollywood, Korea atau Jepun.
Namun siapa sangka, hasil kerja bertaraf antarabangsa itu disiapkan di sebuah syarikat bernama Studio Climb yang terletak di Petaling Jaya, Selangor.
Mengambil masa selama kira-kira dua tahun untuk menghasilkan reka bentuk mekanikal, latar belakang, konsep dan papan cerita untuk Tripod Entertaiment dalam penghasilan animasi War of the Worlds: Goliath, Ketua Pegawai Eksekutif Studio Climb, Spencer Ooi berkata, ia bukan sesuatu yang mudah.

“Kami perlu membuat kajian kerana ia bukan sekadar rekaan sains fiksyen semata-mata tetapi ia turut membabitkan watak dan lokasi yang tercatat dalam sejarah Perang Dunia Pertama.

“Ia sesuatu yang mencabar tetapi jika anda seronok melakukan tugasan, ia mampu disiapkan dengan baik,” katanya yang ditemui di Konvensyen Komik Antarabangsa San Diego, California, Amerika Syarikat baru-baru ini.

Menurutnya, Studio Climb terbabit dalam praproduksi manakala sebuah syarikat di Korea diberi tanggungjawab menghasilkan animasi karakter War of the Worlds: Goliath.

“Saya bangga kerana dapat menyumbang kreativiti dalam projek membabitkan syarikat antarabangsa malah membuktikan Malaysia juga mampu menghasilkan hasil kerja setaraf nama besar dalam industri animasi dunia,” katanya.

Hasil kerja Studio Climb turut mendapat pujian Penerbit Eksekutif War of the Worlds: Goliath, Kevin Eastman yang juga pencipta bersama siri animasi Teenage Mutant Ninja Turtles.

“Malaysia mempunyai ramai bakat yang setaraf antarabangsa. Saya sangat tertarik dengan rekaan visual yang dihasilkan malah ia memberi keunikan kepada animasi ini terutama kepada peminat War of the Worlds,” katanya.

Menurutnya, ia juga peluang kepada bakat di Malaysia untuk menunjukkan karya mereka di pentas dunia.

“Dengan sokongan daripada agensi kerajaan Malaysia seperti Mavcap, saya yakin ia mampu menjadi inspirasi kepada bakat tempatan untuk menghasilkan karya yang sangat berkualiti,” katanya.

Penulis lakon layar War of the Worlds: Goliath, David Abramowitz berkata, animasi itu memaparkan jalan cerita baru dan segar kepada peminat animasi.

“Ia juga menampilkan karakter terkenal dalam sejarah Perang Dunia Pertama seperti jurutera mekanikal terkenal dari Serbia, Nikola Tesla, bekas Presiden Amerika Syarikat, Teddy Roosevelt, juruterbang pesawat perang Jerman semasa Perang Dunia Pertama, Manfred von Richthofen atau lebih dikenali sebagai Red Baron,” katanya.




Artikel ini disiarkan pada : 2012/08/01

 ‘Saya gilakan kartun’

Oleh Elrafaei Sapi
ahmadelrafaei@hmetro.com.my
   
KUALA LUMPUR: “Saya gilakan kartun, malah semua siri Dragon Ball dan Doraemon saya simpan hingga sekarang. Ia turut menjadi inspirasi kepada saya untuk terbabit dalam bidang animasi,” kata pengasas bersama BoBoiBoy, Mohd Nizam Abd Razak.
Menurut beliau, duit saku diberi ibu bapa ketika sekolah dulu disimpan separuh supaya dia boleh membeli komik kegilaannya.

Katanya, dia sanggup lapar atau berjalan jauh asalkan dapat membeli komik terutama Dragon Ball dan Doraemon.
“Itulah pengalaman terbaik yang saya tidak dapat lupakan, malah mendorong saya memasuki universiti dan mengambil bidang animasi hingga menjadi pengasas bersama BoBoiBoy dan juga Upin & Ipin.

“Saya memang suka kartun. Jadi memang sukar untuk pisahkan kartun dengan saya,” katanya ketika diminta menceritakan babak kehidupan paling manis sempena kempen #MYsyg (My Sayang) anjuran Media Prima Berhad yang menawarkan hadiah wang tunai.

Dalam kempen berakhir 15 Ogos itu, orang ramai berpeluang menghantar rakaman video, teks dan gambar dalam bahasa kebangsaan, Inggeris, Mandarin dan Tamil menerusi laman web www.mysyg.com.my.
Lima penyertaan terbaik setiap kategori layak memasuki peringkat seterusnya sebelum pemenang kategori masing-masing dipilih secara undi atas talian dan keputusan hakim.

Juara setiap kategori ini akan mendapat wang tunai RM5,000 seorang.
Bagi penyertaan kategori video, setiap rakaman tidak boleh melebihi tiga minit tanpa mengira jenis kamera digunakan, termasuk telefon bimbit, manakala bagi kategori penyertaan teks pula tidak boleh melebihi 150 patah perkataan dan kategori bergambar pula membabitkan ekspresi wajah unik atau kreatif dengan menyertakan bersama keterangan gambar.

Nizam yang berasal dari Kampung Jambatan Duyong, Melaka menyatakan bidang animasi semakin memberi impak besar pada masyarakat selaku penonton khususnya kanak-kanak.

Paling membanggakan, dua animasi tempatan itu mencipta fenomena di kalangan penonton cilik.

“Memang saya terkejut dengan sambutan diterima. Saya gembira dengan perkembangan sihat ini,” katanya.

Seperti Upin & Ipin, pencapaian hasil kerja Nizam dalam bidang animasi turut menyerlah bersama BoBoiBoy yang masih ditayangkan di TV3 dan saluran Disney di Astro apabila berjaya mencatat rating tertinggi 2.5 juta penonton.

Selalunya, kata Nizam, bidang animasi lebih merujuk pada kartun barat kerana ia masih baru di Malaysia tetapi berkembang pesat.

“Namun, apabila Upin & Ipin dan BoBoiBoy wujud, kanak-kanak mula berbangga dengan adiwira tempatan. Menariknya, menerusi ikon ini ia turut mengetengahkan budaya masyarakat kampung,” katanya.

Watak Upin & Ipin mengisahkan pengalaman dua beradik di kampung bukan saja menarik tumpuan kanak-kanak di negara ini sebaliknya turut diminati penonton di negara Asia lain seperti Indonesia, Filipina, Singapura, Brunei dan kini mula menembusi Vietnam.

Nizam yang juga pengarah urusan Animosta Studios berkata, kejayaan Upin & Ipin dan BoBoiBoy di persada antarabangsa mendorong kanak-kanak meminati bidang animasi.

“Animasi semakin menarik perhatian ramai untuk cuba menjadi pereka animasi. Sebelum ini, animasi lebih dikenali di Jepun, tetapi kini kita berbangga dengan produk tempatan,” katanya.


 

Artikel ini disiarkan pada : 2012/03/05 

Mesej alam sekitar SeeFood

Oleh Nor Akmar Samudin
akmar@hmetro.com.my
     
SESUDAH dua tahun membuat kajian dan penyelidikan mendalam, barulah filem animasi berbahasa Inggeris pertama terbitan produksi tempatan yang hebat berjudul SeeFood dapat ditayangkan kepada penonton.
Menariknya sebelum filem itu ditayangkan kepada penonton tempatan mulai 8 Mac ini, ia sudahpun terlebih dulu dipertontonkan di lebih 90 negara lain di Amerika Utara, Eropah, Amerika Latin dan Asia.
Menurut Pengarah Silver Founder Animation, Silver Ant Sdn Bhd, Aun Hoe, SeeFood bukanlah filem animasi yang biasa tetapi ia mengangkat mesej untuk dijadikan panduan dan renungan bersama manusia sejagat.

“SeeFood membawa mesej alam sekitar dan persahabatan. Untuk merentasi pentas antarabangsa, kita mesti ada jalan cerita yang kukuh. Untuk menerbitkan filem animasi ini, Silver Ant melakukan kajian mendalam terhadap pelbagai spesies ikan serta persekitarannya selama tiga bulan di akuarium, kawasan kampung di Sekinchan, Selangor serta pantai indah di pantai timur. Ini bagi membolehkan kami mengenali lebih dekat dunia marin dan ekosistem tempatan.

“Kami juga mengambil masa yang panjang supaya pakar animasi dapat menghasilkan mimik watak animasi yang cantik dan menyeronokkan untuk kita tonton. Jangan bandingkan SeeFood dengan filem animasi dari luar negara kerana mereka ada bajet jauh lebih besar dan animator yang sangat ramai lagi berpengalaman.

“Untuk SeeFood ini, kami terpaksa melatih animator selama beberapa tahun. Kami menggunakan 35 animator untuk merealisasikan filem animasi ini. Bagaimanapun, pengorbanan kami itu sangat berbaloi kerana SeeFood sudah menang anugerah di luar negara. Selepas selesai tayangan di Malaysia, SeeFood akan dibawa pula ke Jakarta, Jerman dan China.

“Sebagaimana filem animasi dari luar, kami ciptakan karakter yang kelakar dan diperkayakan lagi dengan keindahan suasana perkampungan di Malaysia kerana kami mahu apabila penonton kita menontonnya, ia terasa dekat di hati mereka.

“Ia juga menjadi identiti yang animasi ini milik orang Malaysia dengan keindahan pantai dan kampungnya,” kata Aun Hoe.

Tambah Aun Hoe lagi, SeeFood bukanlah sekadar cerita kartun tetapi sebahagian daripada kejayaan industri seni tanah air. Jadi dia berharap syarikat di luar sana akan sudi memberi sokongan kepada mereka.

“Saya yakin dengan adanya sokongan daripada pelbagai pihak, lebih banyak filem animasi dapat dapat diterbitkan secara aktif seperti filem cereka biasa. Asalkan ada kewangan yang mencukupi, rakyat tempatan juga mampu menerbitkan filem animasi sebaik filem animasi yang dibuat di luar negara,” katanya.

Untuk tayangan di negara ini, filem itu diedarkan Grand Brilliance Sdn Bhd.

Melalui sesi previu yang diadakan di Cathay The Curve, baru-baru ini, ramai memuji hasil animasi filem itu. Kesan visualnya tidak malu ditonton masyarakat antarabangsa seperti filem Finding Nemo. Ia sarat cerita dan dialog yang mencuit hati untuk memberi pengajaran kepada penonton terutama kanak-kanak.

Penonton boleh mencontohi kesungguhan serta ketabahan watak Pub iaitu seekor jerung dan sahabat baiknya, Julius. Kisah bermula apabila berdozen telur ikan jerung dalam terumbu karang dicuri pemburu haram. Tanpa mengambil kira risiko dan bahaya yang bakal ditempuhinya, Pub nekad untuk menyelamatkan adik-beradiknya.

Julius yang khuatir akan keselamatan Pub, muncul dengan sut khas yang menyerupai robot untuk memburu makanan di daratan. Malangnya, Julius pula yang
menjadi mangsa tangkapan seorang nelayan yang rakus. Oleh itu, Pub berazam untuk menyelamatkan kawan baiknya daripada menjadi hidangan sup jerung istimewa.

Dengan sari kata bahasa Melayu dan Mandarin, SeeFood akan ditayangkan di 65 panggung di seluruh negara dan Brunei Darussalam mulai 8 Mac ini.



0 comments:

Post a Comment