Friday 9 November 2012

Keratan Akhbar Utusan Malaysia


ARKIB : 28/01/2013

Industri animasi tempatan


Penggunaan teknik 3D dan imej janaan komputer (CGI) menjadikan animasi lebih menarik.

APABILA diingat kembali ayat ‘satu dua tiga lekuk, jantan betina aku ketuk’ yang merupakan antara dialog dalam Hikayat Sang Kancil dan Buaya.
Ayat tersebut masih diingati sehingga kini sekali gus menunjukkan kesan yang ditinggalkan oleh penggiat animasi tempatan melalui jalan penceritaan sesebuah cerita pendek amat besar terhadap ingatan masyarakat tempatan.

Ini diakui sendiri oleh Presiden Persatuan Animasi Malaysia (Animas), Kamarudin Ismail yang menjelaskan bahawa pada ketika itu tidak ramai yang mempunyai kepakaran membabitkan aspek teknikal dan penerbitan animasi terutama melalui komputer.

“Ketika itu industri animasi tempatan masih mentah dan tidak ramai yang mempunyai kepakaran.
‘‘Animasi yang dihasilkan lebih tertumpu kepada tema nilai-nilai murni kemasyarakatan seperti yang terhasil pada Usop Santorian.

“Melalui potensi dan nilai komersial yang dihasilkan, ia mampu membuka mata banyak pihak sekali gus menyebabkan pelabur dan produksi tempatan berani menghasilkan animasi tempatan," katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Seiring pembangunan teknologi serta permintaan terhadap animasi berteknologi digital tiga dimensi (3D) yang memperkenalkan lakaran lebih halus serta setanding produk luar negara, kini lebih banyak produksi tampil membikin animasi 3D dalam memenuhi kehendak tersebut.

Namun tambah Kamarudin, masalah utama yang dihadapai oleh produksi apabila berjaya menyiapkan satu cerita berkonsepkan animasi 3D adalah mencari medium untuk dipertontonkan kepada masyarakat.
Realitinya stesen televisyen swasta kurang memberi sokongan kepada industri berkenaan dan satu-satunya yang menyokong hasil usaha anak tempatan adalah Radio Televisyen Malaysia (RTM) yang membeli beberapa program animasi untuk disiarkan.

Namun produksi yang terlibat terikat dengan beberapa peraturan ketat yang dikeluarkan oleh RTM dalam memberikan jalan cerita terhadap sesuatu cerita animasi sebelum disiarkan.
“Inilah kekangan yang terpaksa dihadapi oleh penggiat animasi tempatan yang bukan sahaja terpaksa bersaing sesama sendiri dalam memenuhi kriteria yang ditentukan RTM, malah bersusah payah beradu nasib mencari tempat di stesen televisyen swasta.

“Secara tidak langsung, lambakan produk animasi tidak dapat disiarkan malah ada dalam kalangan pemilik produksi terpaksa mencari pasaran luar negara bagi mengelak kerugian dan dalam masa sama terpaksa menanggung kos operasi yang telah dilaburkan," ujarnya.

Dalam realiti industri animasi tempatan katanya, kebanyakannya wujud dalam bentuk iklan serta program kerana tiada filem animasi tempatan yang mampu menandingi produksi animasi terkemuka antarabangsa, Walt Disney yang mempunyai kelengkapan canggih dalam menyiapkan cerita yang baik.

Beliau yang juga Pengarah Urusan Quest Animations (M) Sdn. Bhd. tidak menafikan penggunaan teknologi komputer serta perisian canggih dapat membantu dan memudahkan penghasilan sesuatu filem animasi.
Namun katanya apa yang lebih penting adalah jalan penceritaan perlu menarik, mudah difahami serta mengikut kehendak penonton di samping penggunaan teknik 3D dan imej janaan komputer (CGI) yang baik. - NOOR DIANA AZIS
ARKIB : 13/09/2007

Animasi cerita rakyat

PESERTA perlu menghantar tiga reka cipta karikatur animasi daripada sebuah cerita rakyat dengan pembangunan jalan cerita yang ringkas.



WARISAN bangsa sewajarnya dipertahankan, dijaga dan kemudiannya diwarisi dari satu generasi ke satu generasi.

Namun bila berbicara mengenai warisan, fokus kita lebih tertumpu kepada objek yang jelas pada pandangan, sedangkan apa yang diperturunkan oleh nenek moyang terdahulu sangat luas dan pelbagai.

Mengambil contoh cerita rakyat, hikayat dan penglipur lara, berapa ramai daripada kita yang masih ingat mengenai kisah kegagahan Badang, kepintaran Sang Kancil atau sifat bodoh alang Pak Pandir dan Pak Kaduk?

Jauh sekali untuk ditanya kepada generasi muda hari ini siapa Hang Nadim, Walinong Sari atau Sita Dewi kerana mereka lebih kenal Superman, Batman, Snow White, Doraemon atau Pokemon.

Justeru satu pendekatan perlu dicari bagi memastikan cerita-cerita rakyat ini tidak ditelan zaman sekali gus masih kekal menjadi salah satu bentuk hiburan yang penuh dengan pengajaran dan sindiran sebagai salah bentuk pendidikan.

Resipinya mudah sahaja, menggunakan kaedah yang sama bagaimana cerita-cerita luar negara berjaya menambat hati kanak-kanak moden hari ini iaitu menzahirkannya dalam bentuk animasi.
Usaha itulah juga yang sedang dirintis oleh Perbadanan Pembangunan Multimedia (MDeC) yang tampil dengan peraduan yang cukup menarik dalam menghidupkan kembali cerita-cerita rakyat dahulu kala.
Pertandingan yang dikenali sebagai Cerita Rakyat Malaysia Creative Competition 2007 itu membuka peluang kepada seluruh rakyat Malaysia melukis karikatur daripada cerita rakyat.
Ia termasuk cerita mitos, cerita lipur lara, cerita legenda, cerita jenaka dan cerita cerita binatang yang dipercayai berjumlah tidak kurang daripada 500 cerita yang pernah diperdengarkan dari satu generasi ke satu generasi.

Timbalan Presiden Creative Multimedia MDeC, Kamil Othman berkata, pertandingan yang bermula pada Mei lalu itu terbuka kepada dua kategori iaitu untuk bawah dan atas 18 tahun dan berakhir pada November ini.

“Mereka yang bermin-at boleh menghantar karikatur watak cerita rakyat yang mereka pilih sama ada yang dilukis tangan, lukisan digital atau gambar menggunakan perisian 3D,” katanya dalam sesi memperkenalkan barisan hakim pertandingan itu di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Hakim tersebut ialah pakar cerita rakyat yang juga pensyarah Universiti Putra Malaysia (UPM), Aripin Said dan kartunis terkemuka negara yang terkenal dengan majalah Gila-Gila, Jaafar Taib.
Menerusi pertandingan itu, peserta perlu menghantar tiga reka cipta karikatur animasi daripada sebuah cerita rakyat dengan pembangunan jalan cerita yang ringkas.

Sekiranya terpilih, karikatur itu akan dibawa ke fasa kedua iaitu membangunkannya dalam bentuk cerita animasi menggunakan kepakaran dan pengalaman yang dimiliki oleh MDeC yang pernah menghasilkan animasi Saladin yang diiktiraf kualitinya di peringkat antarabangsa.

Ia seterusnya diharapkan dapat menjadi salah satu pendekatan terbaik dalam memastikan cerita-cerita rakyat negara ini tidak pupus dan dihayati untuk satu tempoh jangka masa yang panjang.

Sejak dibuka, pertandingan ini telah menerima kira-kira 50 penyertaan dari seluruh negara termasuk karikatur daripada cerita rakyat Sabah dan Sarawak serta karikatur cerita rakyat kaum Cina dan India.

Maklumat lanjut mengenai pertandingan ini boleh didapati dengan melayari laman web http://cmc.msc.com.my/ce ramy.html atau menghubungi talian 03-8312 3014 atau 03-8312 3016.

Kategori 18 tahun ke atas:
Tempat Pertama: RM15,000
Tempat Kedua: RM10,000
Tempat Ketiga: RM5,000
Lima Hadiah Saguhati: RM3,000
Kategori 18 tahun ke bawah:
Tempat Pertama: RM5,000
Tempat Kedua: RM3,000
Tempat Ketiga: RM1,000
Lima Hadiah Saguhati: RM500


ARKIB : 03/12/2012

Pos Malaysia lancar setem Boboi Boy


Empat kanak-kanak bersama maskot Boboi Boy mempamerkan setem hobi kanak-kanak kartun animasi itu dalam majlis pelancaran koleksi setem bertemakan Hobi Kanak-Kanak di Ibu Pejabat Pos Malaysia Berhad, Kuala Lumpur baru-baru ini.

PEMINAT watak siri animasi tempatan, Boboi Boy kini berpeluang memiliki koleksi khas setem Pos Malaysia Berhad yang memaparkan enam watak kartun tersebut.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pos Malaysia Berhad, Datuk Khalid Abdol Rahman berkata, setem khas yang menampilkan karakter tersendiri siri animasi itu menjadikan kanak-kanak sebagai golongan sasaran.

“Koleksi ini dihasilkan dalam bentuk setem denominasi berharga 60 sen dan lembaran mini (RM5) termasuk Sampul Surat Hari Pertama berharga 50 sen sekeping serta folder pada harga RM5.50 setiap satu," katanya ketika berucap dalam majlis pelancaran koleksi khas setem itu di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Majlis pelancaran itu disempurnakan Ketua Pegawai Penyeliaan dan Pengawalan Industri, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Datuk Jailani Johari. Hadir sama Presiden Persatuan Filateli Malaysia, Datuk Anuar Bashah Mohd Sohore.
Koleksi setem bertemakan siri animasi Boboi Boy dan Kawan-kawan ini dihasilkan dengan kerjasama SKMM dan merupakan keluaran khas sempena Minggu Setem 2012.
“Untuk mencipta satu kelainan terutama kepada pengumpul setem, koleksi setem ini dicetak dengan dakwat khas keselamatan manakala lembaran mini pula dicetak dengan teknik Special Transparent Foil," jelasnya.

Sementara itu, Jailani berkata, sebanyak 13 juta keping setem telah dikeluarkan hasil kerjasama pihaknya dan Pos Malaysia Berhad sejak Januari sehingga Oktober lalu.
‘‘Sehingga kini sebanyak 13 tema termasuk koleksi hobi siri animasi Boboi Boy dan Kawan-kawan dikeluarkan dan mendapat sambutan hangat daripada masyarakat.
“Hal ini membuktikan kiriman surat melalui pos masih menjadi pilihan masyarakat walaupun dunia kini dikuasai oleh teknologi canggih seperti kiriman khidmat pesanan ringkas (SMS), e-mel dan rangkaian sosial," katanya.

Pada majlis tersebut turut diadakan penyampaian hadiah bagi pemenang Pertandingan Menulis Surat 1Malaysia 2012 dan OMG Kembara Setem Anugerah Kelab Setem & Filateli Cemerlang peringkat Zon Tengah 2012.



Bola Kampung animasi antarabangsa

Oleh ABD. AZIZ ITAR

aziz.itar@utusan.com.my

BIDANG animasi memperlihatkan perkembangan yang sihat sejak lima tahun kebelakangan ini apabila banyak siri kartun yang dihasilkan oleh anak-anak tempatan disiarkan menerusi kaca televisyen.

Bagaimanapun, antara banyak siri kartun itu, Bola Kampung yang diterbitkan oleh Animasia Studio boleh berbangga dengan produk pertama mereka yang dihasilkan pada tahun 2005, kini memasuki musim kelima.

Menurut pengarah dan pengasas Animasia Studio, Wong Kuan Loong, lebih menarik lagi Bola Kampung merupakan siri animasi tempatan pertama yang disiarkan menerusi Cartoon Network (CN) di seluruh Asia Tenggara.
"Saya berasa bangga dan bertuah kerana Bola Kampung bukan sahaja merupakan produk pertama Animasia Studio, tetapi ia juga telah disiarkan melalui saluran Cartoon Network sejak tahun 2005 lagi.

"Sekarang ini, Bola Kampung telah memasuki musim kelima. Setiap musim mempunyai 13 episod. Ia telah disiarkan mulai 4 Jun lalu pukul 8 malam di saluran tersebut," katanya kepada Hits sewaktu ditemui baru-baru ini.

Pada pertemuan di pejabatnya di Jalan Klang Lama, Selangor itu, Kuan Loong atau lebih dikenali sebagai Ah Loong turut memperkenalkan musim baru Bola Kampung yang dikenali sebagai Bola Kampung X yang akan disiarkan di CN Julai ini.
Jelas Ah Loong yang telah terbabit dalam dunia animasi sejak 12 tahun lalu, setiap musim, Bola Kampung menampilkan kelainan daripada segi jalan cerita dan konsep permainan bola sepak jalanan yang mempunyai peraturan tersendiri.

"Walaupun jenis permainan bola sepak yang ditonjolkan berbeza-beza tetapi kami masih mengekalkan watak-watak yang sama dalam animasi ini. Misalnya, watak Ivan, Donovan, Samuel, Sean, Nicol dan Simon.
"Permainan bola sepak dalam animasi ini menampilkan banyak kelainan antaranya ada episod memperlihatkan watak-watak dalam animasi ini bermain dengan makhluk asing. Jadi, peraturan permainannya juga berbeza," ujarnya.

Selain tarikan pada corak permainan bola sepak yang pelbagai, tambah Ah Loong, Bola Kampung juga mempunyai identiti daripada segi budaya dan kesenian yang berlatarbelakangkan masyarakat Malaysia sebagai tarikan para penonton.
Bola Kampung yang dihasilkan oleh 50 tenaga kerja termasuk para animator berjaya menambat hati para penonton di peringkat antarabangsa yang mana ia secara tidak langsung mampu memaparkan latar budaya negara ini.

"Setiap episod Bola Kampung, kami paparkan latar tempat yang berbeza di mana ia menggambarkan identiti masyarakat Malaysia yang berlainan bangsa dan agama. Contohnya, kesenian rumah tradisional di Melaka.
"Kami juga tidak terkecuali memaparkan bangunan moden seperti KLCC (Menara Berkembar Kuala Lumpur). Cara ini, secara tidak langsung boleh mempromosikan lagi nama negara di luar negara," ujarnya.

Bola Kampung bukanlah satu-satunya produk terbitan Animasia Studio sebaliknya mereka turut menghasilkan banyak lagi animasi antaranya Roll 21, Balla Bowl, Asian Folklores, House of Loo dan Kung Fu Chicken.
Selaku pencipta Bola Kampung, Ah Loong banyak menggunakan resipi budaya setempat untuk diangkat menerusi saluran antarabangsa seperti Cartoon Network biarpun dialog yang dituturkan dalam bahasa Inggeris.
"Kami tiada pilihan selain menggunakan bahasa Inggeris kerana saluran Cartoon Network ditonton di luar negara di mana ia lebih difahami oleh semua golongan. Malah, penonton di Malaysia juga tiada masalah untuk memahaminya.
"Ini kerana, bahasa Inggeris yang digunakan ringkas dan mudah difahami semua golongan penonton termasuklah kanak-kanak. Secara tidak langsung ia boleh membantu golongan terbabit mempelajari bahasa Inggeris," katanya.

Pada Zaman Dahulu taruhan terbaru LCPSB
SELEPAS kejayaan siri kartun Upin & Ipin yang mendapat sambutan hangat di televisyen (TV) Malaysia dan Indonesia, penerbit animasi itu, Les' Copaques Sdn. Bhd., (LCPSB) bakal tampil dengan satu lagi siri kartun berjudul Pada Zaman Dahulu.

Menurut Pengarah Urusan LCPSB, Burhanuddin Md. Radzi, Pada Zaman Dahulu yang kini sedang dalam pembikinan menjadi rebutan banyak stesen TV ekoran kejayaannya menjadikan Upin & Ipin suatu fenomena dalam siri animasi di rantau ini sejak tiga tahun lalu.
"Setakat ini, saya sudahpun memberikan hak tayangan siri Pada Zaman Dahulu kepada stesen TV AlHijrah di mana ia akan ditayangkan mulai 27 November ini. Sebagai permulaan kami akan menerbitkan 12 episod di mana setiap episod durasinya tujuh minit.
"Sementara itu, selepas enam bulan siarannya di TV AlHijrah, Pada Zaman Dahulu akan ditayangkan pula di saluran Astro Ceria. Animasi ini dalam bahasa Melayu dan menggunakan sepenuhnya suara latar pelakon baru," katanya kepada Hits, baru-baru ini.

Pada pertemuan di pejabat LCPSB itu, Burhanuddin berkata, Pada Zaman Dahulu yang menampilkan tiga watak utama iaitu Aki, Ara dan Aris, yakin siri kartun berdasarkan cerita-cerita penglipurlara itu mampu menarik perhatian para penonton.
Ini kerana katanya, selain tiga watak itu, siri kartun arahan Mohd. Shafiq Mohd. Isa ini turut menampilkan watak-watak binatang seperti buaya, kancil, kerbau dan monyet yang popular dalam cerita-cerita penglipurlara terutamanya golongan kanak-kanak.

"Kami menggunakan watak Aki dan dua cucunya itu bagi menceritakan kisah-kisah binatang yang popular dalam cerita-cerita penglipurlara. Tetapi pada masa sama kami gunakan pendekatan sendiri dan menceritakannya dalam nafas baru yang penuh dengan nilai pengajaran.
"Semua peminjam suara latar Pada Zaman Dahulu adalah muka-muka baru dalam penerbitan ini. Banyak kelainan dalam produk terbaru kami ini antaranya, ia pertama kali dihasilkan dalam bentuk HD (definisi tinggi) bagi meningkatkan lagi kualiti penerbitan," ujarnya.
Jelas Burhanuddin, penerbitan Pada Zaman Dahulu dilakukan bukan sahaja bagi menambahkan lagi produk terbitan LCPSB, malah ia juga memberi pilihan yang lebih banyak kepada para penonton TV terutamanya golongan kanak-kanak.

Katanya, sebagai sebuah syarikat produksi yang semakin berkembang LCPSB tidak boleh bergantung kepada siri kartun Upin & Ipin sahaja sebaliknya, pada masa akan datang dia akan mempelbagaikan lagi produk terbitannya termasuklah dalam bidang perfileman.
"LCPSB mempunyai 140 pekerja yang bukan sahaja terbabit dalam penerbitan animasi tetapi mereka juga berbakat dalam meminjamkan suara dalam animasi-animasi yang kami terbitkan. Sebab itu, selepas ini kami merancang menerbitkan lebih banyak produk.

"Antaranya menerbitkan satu lagi filem berjudul Laksamana Upin & Ipin The Movie selepas Geng: Pengembaraan Bermula yang ditayangkan dua tahun lalu. Selain itu, Teater Muzikal Upin & Ipin akan dipentaskan di Istana Budaya, Kuala Lumpur pada April tahun depan," ujarnya.
Sementara itu pengarah Pada Zaman Dahulu, Mohd. Shafiq Mohd. Isa, berkata, dia tidak menafikan jalan cerita kisah-kisah binatang yang dipaparkan dalam siri kartun itu umumnya sudah diketahui ramai kerana ia telah diceritakan secara turun temurun.

Namun, sebagai pembikin siri animasi baru, dia tetap akan mempelbagaikan cerita-cerita yang terkandung dalam Pada Zaman Dahulu dengan idea-idea baru yang sarat dengan mesej untuk diserapkan kepada penonton terutamanya golongan kanak-kanak.
"Kami hanya mengambil secara kasar latar cerita daripada kisah-kisah penglipurlara tetapi daripada segi olahan dan penceritaan semula, sedikit sebanyak menokok tambah. Contohnya, daripada segi dialog dan mesej yang berkaitan dengan sesebuah cerita," jelasnya.



Kembangkan dunia animasi wayang kulit
Royhadlin Hussain menunjukkan replika kulit VCD Dikir Frog dan Dikir Fantasi yang memperkenalkan watak animasi Wok Yoh, Samad dan Said kepada umum pada 2003.


KOTA BHARU 19 Jan. – Karakter animasi seperti Doraemon dan Mickey Mouse bukan hanya popular dalam masyarakat, malah kucing robot dan tikus berseluar butang besar itu adalah ‘duta’ kepada negara yang memperkenalkannya sejak puluhan tahun lalu.
Walaupun sekadar watak kartun dengan cerita yang tidak masuk akal, sesiapa sahaja dengan mudah dapat mengaitkan kedua-dua karakter tersebut dengan negara Jepun dan Amerika Syarikat (AS) impak daripada hiburan yang dibawa.
Malah, fenomena Upin dan Ipin yang melanda negara sejak kebelakangan ini juga menyaksikan wadah serupa berjaya melahirkan ikon watak kartun tempatan dalam pembikinan dan diramal bakal menyerlahkan nama Malaysia di peringkat dunia.
Melihat kepada skala lebih kecil, penduduk negeri Cik Siti Wan Kembang sebenarnya berbangga apabila mereka turut mempunyai ikon tersendiri yang telah dihidupkan dalam bentuk kartun sejak 2003.
Ketika itu, lagu antarabangsa yang menggunakan watak animasi Crazy Frog - Axel F tiba-tiba menjadi popular dalam carta muzik dunia dan di kalangan yang kreatif di negeri ini telah mengambil kesempatan ‘mendikirkan’ riwayat hidup seekor katak yang pandai berjoget.
Bersama-sama Dikir Frog, tiga watak wayang kulit iaitu Wok Yoh, Samad dan Said mula diperkenalkan kepada umum dalam sketsa animasi yang dimuatkan dalam video cakera padat (VCD) lagu-lagu dikir moden.
Pengasas animasi wayang kulit, Royhadlin Hussain, 39, berkata, elemen itu dimasukkan dalam VCD sebagai satu suntikan segar dan kelainan daripada produk lagu dikir moden lain yang ada dalam pasaran.
“Kali pertama dalam pasaran, salinan VCD tersebut terpaksa dicetak beberapa kali oleh syarikat pengedar dan saya dimaklumkan dalam tempoh tiga hari sahaja, lebih 10,000 salinan berjaya dijual,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Panji, dekat sini baru-baru ini.
Sejak itu, berpuluh-puluh sketsa Wok Yoh, Samad dan Said telah dihasilkan dan menjadi perencah utama dalam VCD yang memuatkan lagu dikir barat moden penyanyi tempatan seperti Rosalinda, Fakry, Leha Adik Manja dan Ramli Raja Laut.
Kegilaan peminat tidak pernah lekang dan situasi itu boleh dilihat sehingga hari ini apabila penjual pasar malam dan kedai muzik di negeri ini ligat menayangkan animasi Wok Yoh, Samad dan Said sebagai ‘pengusik’ bagi menarik pelanggan.
Royhadlin yang menguruskan sebuah syarikat produksi di sini berkata, idea mencipta animasi wayang kulit timbul kerana dia mahu memastikan kesenian yang menjadi identiti negeri terus kekal dalam hati masyarakat walaupun dipapar dalam bentuk berbeza.
Lebih-lebih lagi dengan pengharaman persembahan wayang kulit di tempat awam oleh kerajaan negeri pimpinan Pas, dia berpendapat sesuatu perlu dilakukan agar kesenian itu tidak terkubur.
Royhadlin Hussain sedang menunjukkan proses melukis animasi wayang kulit dengan menggunakan aplikasi mikromedia di rumahnya di Kota Bharu, baru-baru ini.


Justeru, dengan ilmu dan pengalaman yang diperoleh setelah berbelas tahun terlibat dalam bidang animasi di ibu negara, Royhadlin mengemukakan rancangannya kepada pengedar yang mengambil khidmatnya untuk menghasilkan klip video dikir barat.
“Kalau Doraemon boleh menjadi ikon Jepun, tidak mustahil watak yang kita angkat daripada wayang kulit juga boleh mengikut jejak sama.
“Malah, melalui cara ini, kita dapat menarik minat lebih ramai lagi orang untuk mengenali dan menyaksikan pertunjukan wayang kulit sebenar,” katanya.
Royhadlin berkata, daripada pelbagai watak wayang kulit, watak Wok Yoh, Samad dan Said diketengahkan kerana ketiga-tiganya merupakan antara watak yang dekat di hati peminat kesenian warisan itu memandangkan status ‘pengasuh’ Raja Seri Rama dan sifat mereka yang kelakar.
Menurutnya, beberapa cerita animasi jenaka pendek dengan loghat Kelantan berdurasi tiga hingga lima minit berkisar tajuk lagu dikir barat dimuatkan dalam setiap VCD yang diterbitkan pengedar.
“Kalau pengedar buat lagu mengenai isu buang bayi, sketsa Wok Yoh, Samad dan Said yang menjadi pengenalan setiap VCD menyentuh isu itu.
“Selepas beberapa lagu, sekali lagi kartun pendek animasi akan dipaparkan dan ia juga menjadi klip penutup VCD sebagai kesimpulan kepada lagu yang dimainkan,” katanya.
Royhaldin yang mempunyai kelulusan dalam jurusan Seni Lukis dan Seni Reka dari Universiti Putra Malaysia (UPM) menggunakan teknologi aplikasi mikromedia untuk menghasilkan pergerakan berganda seperti dalam aksi wayang kulit sebenar yang menekankan pergerakan tangan dan kepala.
Menurutnya, dengan kecanggihan teknologi yang ada, proses melukis bagi sketsa pendek hanya mengambil masa sehari dan boleh dilakukan dari rumah.
Namun, pembentukan karakter bagi ketiga-tiga watak bukan sekadar diambil asasnya daripada cerita wayang kulit semata-mata tetapi ia juga berdasarkan cerminan sikap masyarakat Melayu yang sebenar hari ini.
“Said yang paling rendah adalah yang paling cerdik antara ketiga-tiganya manakala Wok Yoh yang memakai semutar (penutup kepala) pula seorang yang lurus bendul. Sementara Samad yang bersongkok hitam adalah seorang yang suka bercakap besar tetapi penakut.
“Ia berdasarkan pemerhatian saya kepada keadaan sekeliling kerana animasi sebenarnya adalah satu bidang kreativiti yang serius dan bukan perkara main-main.
“Ketiga-tiga watak ini sudah saya patenkan dengan Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) bagi mengelak pihak lain mengeksploitasi animasi yang saya hasilkan,” katanya.
Royhaldin yang menggemari kartun klasik Walt Disney amat terhutang budi dengan ayah sepupunya yang juga dalang terkenal, Saupi Mat Isa, 47, yang menjadi tonggak kepada penjelmaan watak Wok Yoh, Samad dan Said.
Saupi bukan sahaja merakamkan suaranya untuk ketiga-tiga watak bahkan adalah pencipta setiap patah dialog yang diucap sekalipun dia buta huruf.
“Saya hanya memberi idea kepada Saupi cerita yang saya mahukan dan dia akan mereka sendiri dialog bagi setiap watak, setelah selesai proses rakaman barulah proses melukis akan bermula mengikut pergerakan dialog yang dilontar Saupi,” katanya.
Royhadlin berkata, bermula pada 2007, VCD siri animasi berdasarkan cerita asal wayang kulit Jala Emas Jala Perak sepanjang 45 minit pula telah diterbitkan dan akan memasuki siri keempat pada tahun ini.
Dalam siri-siri ini, bukan sahaja Wok Yoh, Samad dan Said menjadi teraju tetapi juga watak lain dalam wayang kulit seperti Raja Seri Rama, Siti Dewi, Puteri Mayang Mengurai, Wak Dogol dan Hanuman Kera Putih.
Menurutnya, dia mengimpikan untuk melihat animasi wayang kulit ditayangkan di siaran televisyen seperti siri rancangan kartun popular lain dan bersedia berbincang dengan mana-mana pihak yang jujur demi kelangsungan khazanah warisan bangsa itu.
“Penggemar kartun wayang kulit bukan sahaja kalangan kanak-kanak bahkan orang tua yang mengenali watak dan cerita asal wayang kulit malah ada peminat asing dari Jepun dan Indonesia menemui saya menyatakan kekaguman mereka dengan keupayaan kita menghasilkan kartun lain daripada lain.
“Sekalipun mempunyai sarikata bahasa Melayu dan Inggeris, saya hairan juga bagaimana mereka boleh faham sepenuhnya.
“Tapi mereka berkata, keikhlasan dalam kisah yang dipapar seiring dengan alunan serunai, paluan gendang dan suara watak menjadikan animasi wayang kulit mempunyai roh dan jiwa tersendiri,” katanya.



Artikel 29/03/2007

Saladin filem animasi Malaysia menang hadiah peringkat dunia

Saladin filem animasi Malaysia menang hadiah peringkat dunia KUALA LUMPUR 28 Mac – Filem kartun Saladin oleh Multimedia Development Corporation (MDeC) telah memenangi hadiah Tokyo Big Sight Award di Pesta Anime Antarabangsa Tokyo 2007, pameran animasi terbesar dunia, minggu lepas.

Saladin memenangi anugerah untuk kecemerlangan dalam imejan janaan komputer tiga dimensi (3D CGI), kesan visual khas dan animasi, menurut kenyataan MDeC hari ini.
Ketua Pegawai Eksekutif MDeC, Badlisham Ghazali berkata, hadiah itu menunjukkan bahawa bakat tempatan mempunyai keupayaan berkelas dunia dan kemahiran teknikal untuk menghasilkan animasi yang boleh bersaing dengan bakat-bakat terbaik dunia.
“Malaysia sememangnya mempunyai pengetahuan, kreativiti dan teknologi untuk mengeluarkan animasi berkualiti tinggi bagi pasaran global.
‘‘Ia menunjukkan bahawa kita mempunyai animator-animator berkelas dunia yang mempunyai keupayaan melaksanakan kerja berkualiti tinggi setara dengan penggiat-penggiat antarabangsa,” katanya.

Beliau berkata, menerima pengiktirafan daripada penggiat industri terkemuka seperti Jepun amat bermakna kepada MDeC dan rakyat Malaysia.
Tahun lalu Saladin memenangi anugerah untuk nada teknologi terbaik di Pesta Kartun dan Animasi Antarabangsa Seoul.

Badlisham berpendapat, anugerah Tokyo itu mempunyai impak pembuka minda komuniti kreatif global kepada potensi Malaysia sebagai satu pusat kreatif.
“Ini akan membuka pintu bagi kerja-kerja lebih kreatif oleh bakat-bakat Malaysia di samping meletakkan Malaysia sebagai pusat ICT global.
“Syarikat-syarikat kandungan kreatif di Koridor Raya Multimedia telah terbabit dalam pengeluaran beberapa siri animasi saluran Disney dan produksi-produksi bersama Kanada.
“Ia adalah kediaman kepada syarikat-syarikat yang telah mewujudkan peluang-peluang untuk permainan berkelas dunia bagi Sony, Nintendo dan Konami,’’ kata kenyataan MDeC itu.
MDeC berkata, apabila Malaysia menjadi tuan rumah Kongres Dunia mengenai Teknologi Maklumat (WCIT) tahun depan, syarikat-syarikat tempatan boleh menggunakannya sebagai landasan bagi mempamerkan produk-produk dan perkhidmatan mereka, termasuk produk-produk kreatif dan mudah alih, dan sebagai jaringan dengan bakal-bakal rakan kongsi dan pelanggan dari seluruh dunia.
– Bernama




Dakwah animasi Nora Ariffin


Memegang jawatan sebagai Pengarah Hud Hud Media Sdn. Bhd., jelas Nora, penerbitan animasi bersiri itu merupakan dunia barunya dalam menyebarkan dakwah kepada masyarakat.
"Kesibukan saya dengan Ummi menyebabkan saya melupakan seketika dunia nyanyian. Tumpuan saya kini lebih kepada Ummi dan memberi peluang kepada saya untuk meneroka cabang baru dalam dunia seni.

"Setelah hampir dua dekad menjadi seorang penyanyi, kini saya mencuba sesuatu yang baru apabila menyumbangkan suara untuk watak Ummi dalam siri animasi ini.
"Saya cukup seronok dengan dunia baru ini yang tidak hanya memberikan hiburan kosong semata-mata kepada masyarakat. Setidak-tidaknya, ini juga tanggungjawab saya kepada khalayak untuk berkongsi perkara yang baik," kata Nora yang ditemui di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Menyambung bicara, juara Bintang HMI 1991 ini menjelaskan dia dan suaminya sudah lama berhasrat untuk menerbitkan animasi berbentuk Islamik yang menerapkan nilai-nilai kekeluargaan.
Ditambah pula dengan statusnya sebagai ibu kepada tiga orang cahaya mata dan begitu dekat dengan keluarga, menyebabkan Nora terfikir untuk menghasilkan Ummi.
Semuanya bermula sekitar dua tahun lalu dan kata Nora, projek animasi Ummi hanya bermula selepas Johan menghasilkan album yang memuatkan lagu-lagu bercorak dakwah dan kerohanian menerusi Voices of Ummi.
"Sebelum menghasilkan Ummi, saya telah membuat penyelidikan dan melihat potensi animasi islamik seperti Ummi ini mampu pergi jauh."Apatah lagi, dalam pasaran animasi tempatan ketika ini, tidak banyak genre sebegini yang diketengahkan untuk tatapan masyarakat.
"Lalu, apabila peluang itu diberikan oleh Perbadanan Pembangunan Multimedia (MDeC) yang membantu dari segi dana dan perkhidmatan, kami tidak menunggu lama untuk menghasilkan animasi ini," ujar Nora yang cukup terkenal dengan lagu-lagu balada seperti Di Persimpangan Dilema, Dendam Dalam Diam dan Menyemai Cinta Bersamamu ini lagi.
Tetapi kata Nora, dakwah yang ditonjolkan dalam Ummi bukanlah yang begitu ekstrem. Memandangkan sasaran utama animasi ini untuk kanak-kanak, maka, dakwahnya lebih lembut dan mudah dihayati oleh penonton.
Bagi memastikan semuanya berjalan lancar dan tidak tersasar daripada jalan asalnya, Hud Hud Media menggunakan khidmat dua orang ustaz untuk melancarkan lagi proses penghasilan Ummi.
Tidak hanya bertindak sebagai pencetus idea, sumbangan Nora juga terletak kepada pencarian bahan dan jalan cerita yang ingin diketengahkan dalam setiap episod.
Selain watak Ummi, antara karakter yang ditampilkan dalam siri ini termasuklah Aliff, Ustaz Syakir, Putri, Uncle Maideen, Atan, Hana, Aiman dan watak kucing bernama Jojo.
Apa yang menariknya, Nora juga menampilkan tiga orang anaknya iaitu Mohd. Syakir Iman, Mohd. Syakir Alif dan Putri Nur Dahlia yang turut menyumbangkan suara untuk watak-watak Ustaz Syakir, Alidd dan Putri.
"Untuk menjadikan animasi ini lebih realistik, saya menggunakan suara kanak-kanak untuk watak-watak yang ditampilkan. Sebelum ini, kalau kita lihat ada watak muda yang dilakonkan oleh pelakon berusia.
"Tetapi saya tidak mahu menggunakan konsep sebegitu. Sebaliknya, saya memberi peluang kepada kanak-kanak yang kami pilih daripada sesi uji bakat yang dijalankan.
"Ternyata, bukan mudah untuk mencari bakat yang benar-benar mampu menepati karakter yang ditampilkan. Tetapi, dengan bakat yang kami ada ini, alhamdulillah, semuanya berjalan lancar seperti mana yang kami rancang," ujar wanita berusia 39 tahun ini yang pernah diangkat sebagai Artis Baru Wanita Terbaik Anugerah Industri Muzik 1995.
Menyentuh tentang perkembangan Ummi pula, pemilik nama penuh Wan Nora Afiza Ariffin ini memberitahu buat masa ini Hud Hud Media sudah pun menyiapkan lapan episod daripada 26 episod untuk musim pertama.
Namun, ketika ditanya kepada Nora mengenai stesen yang akan menayangkan Ummi kelak, wanita peramah ini lebih selesa mengunci rapat mulutnya.
"Semuanya masih dalam perbincangan dan alhamdulillah, nampaknya ada petanda positif daripada stesen televisyen berkenaan yang berminat untuk menayangkan Ummi.
"Tetapi, lebih manis jika stesen televisyen berkenaan yang membuat pengumumannya nanti," katanya sambil mengukir senyuman manis.
Kelainan yang diterapkan menerusi Ummi juga terletak kepada konsep muzikal yang julung kali diperkenalkan dalam animasi bersiri tempatan.
Untuk itu, jelas Nora, suaminya akan bertindak sebagai komposer dan penggubah lagu dalam menghasilkan lagu-lagu untuk siri animasi itu.

Dalam usaha Hud Hud Media menarik perhatian masyarakat menonton Ummi kelak, Nora memberitahu lagu-lagu baru akan ditampilkan dalam setiap episod.
"Tetapi, semuanya bergantung juga kepada jalan cerita kerana ada lagu-lagu yang akan dimainkan berulang dalam beberapa episod.
"Atas alasan itu, kami akan menerbitkan album runut bunyi Ummi secara bersiri agar lagu-lagu itu dapat dinikmati setiap masa. Sudah pasti sasaran kami adalah golongan kanak-kanak.
"Jika sambutan terhadap Ummi menggalakkan, kami akan menerbitkan musim keduanya dan berkemungkinan besar versi filemnya juga," jelas Nora penuh optimis yang turut memberitahu Ummi juga mendapat kelulusan daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).
Sebagai permulaan, Nora dan suaminya bersyukur apabila salah sebuah lagu untuk animasi itu, Pedoman berjaya memenangi Lagu Nasyid Terbaik dalam Anugerah Industri Muzik Ke-18, tahun lalu.

Malah, penjualan album Voices of Ummi juga cukup menggalakkan apabila sudah terjual melebihi 5,000 salinan dan kini diulang cetak untuk kali kedua.
Sementara itu, Johan yang ditemui pula berkata, pihaknya memang mahu mencari peluang perniagaan dalam usahanya untuk meluaskan pasaran Ummi.
Tidak terhad kepada penerbitan animasi semata-mata, Johan mahu melihat karakter itu berkembang dalam bentuk aplikasi permainan video, barangan kanak-kanak dan pelbagai barangan lain yang dapat mengukuhkan lagi jenama Ummi.
Apa yang penting kata Johan, jika ada pelabur yang berminat ia haruslah dilakukan dalam landasan syariah kerana pelaburan ini bukan hanya untuk di dunia tetapi juga sebagai bekalan di akhirat.
Jelas komposer lagu Jentayu ini lagi, dia berharap dengan pelaburan yang dilakukan untuk Ummi adalah untuk kebaikan semua pihak dalam jangka masa panjang.
Jika ada pihak yang berminat untuk bekerjasama dengan Hud Hud Media, bolehlah hubungi talian 03-7875 5449 atau emel kepada johan@hudhudmedia.com.


 ARKIB : 08/01/2012

Siri animasi MATT pelbagai mesej
Watak ayah yang menjadi lagenda lumba motosikal.


SIRI animasi bahasa Melayu tempatan semakin mendapat tempat di stesen televisyen tempatan dan juga tidak asing bagi penonton.
Bermula siri Usop Sontorian, kini industri animasi seakan-akan berlumba mengeluarkan produk masing-masing dan memberikan persembahan yang terbaik.
Upin dan Ipin misalnya, telah mencetuskan fenomena hebat dalam dunia animasi tempatan apabila berjaya menembusi pasaran luar negara antaranya di Indonesia, malah menjadi siri animasi yang paling digemari di negara itu.
Sedar akan perkembangan pesat ini, syarikat Saymohm Sdn. Bhd., dengan kerjasama Utusan Production telah mengeluarkan siri animasi terbaru berbentuk 3D yang berjudul Matt.
Matt akan mula bersiaran hari ini di saluran RTM, TVi ( Saluran 180, Astro) pada pukul 9 malam sebanyak 39 episod dan berdurasi lapan minit.
Apa yang menarik animasi ini mengisahkan kehidupan Matt (motosikal) yang menggunakan suara artis terkenal Aliff Satar, bercita-cita besar untuk menjadi juara perlumbaan motor seperti ayahnya sebelum ini.
Walaupun mengisahkan kehidupan motor, namun pengisian siri animasi ini begitu sarat dengan pelbagai mesej yang berguna terutamanya bagi generasi remaja.
Menurut Pengarah Operasi Saymohm Sdn. Bhd., Fuad Samad, selain sebagai hiburan di hujung minggu, Matt turut memaparkan pesanan-pesanan dan pelbagai langkah keselamatan yang berguna.
“Siri ini banyak mengajar tentang ciri-ciri keselamatan jalan raya kepada para penunggang motosikal khasnya, selain itu juga mesej kekeluargaan dan persahabatan turut diketengahkan.
“Menggunakan tag line “juara litar lumba”, Matt mempunyai azam yang begitu tinggi dan bertekad untuk mencapai kejayaannya dengan bantuan keluarga dan rakan. Ini adalah satu mesej yang baik untuk remaja di luar sana,” ujar Fuad ketika sidang akhbar di Puchong, Selangor baru-baru ini.
Ujar Fuad, ketika ini, siri animasi memang mendapat tempat di setiap stesen televisyen dan permintaannya juga cukup tinggi.
“Bukan sahaja di negara kita bahkan di pasaran Asia permintaan siri animasi cukup tinggi, masyarakat dunia juga telah mula mengenali animasi kita.
“Selepas ini, Matt akan dipasarkan ke Indonesia dan seterusnya ke Nigeria,” jelasnya.
Projek bagi menghasilkan siri ini bermula sejak Februari tahun lalu dengan barisan lapan animator berbakat tempatan dan menelan belanja sebanyak RM380,000.
Tambahnya lagi, selain jalan cerita yang menarik, penggunaan suara daripada kalangan artis yang berpengalaman juga menjadi tunjang yang kuat terhadap siri ini.
Selain Aliff Satar, antara artis yang menyumbangkan suara untuk siri ini adalah Sathia (Macha), Liza Rafar (Mak) dan Tan Ting yang berperanan sebagai mekanik.
Bagi Sathia, pengalaman dalam menyumbang suara bagi animasi ini sungguh menyeronokkan dan berharap siri ini akan mempunyai pengikutnya yang tersendiri.
“Watak saya sebagai Macha memang sesuai dengan saya, yang menariknya kami semua merakam suara terlebih dahulu sebelum proses penghasilan animasi.
“Jadi kami tidak terikat dengan mimik-mimik animasi, kami hanya menggunakan kreativiti kami sendiri, ia cukup senang dan menghiburkan, bagi saya sendiri saya tidak terlalu ikutkan skrip,” jelasnya.

 

 ARKIB : 25/06/2012

Yayasan Kartunis 1Malaysia diwujudkan


Najib Tun Razak menyampaikan Anugerah Kartunis Sepanjang Hayat kepada kartunis, Mohammad Nor Khalid atau lebih dikenali sebagai Lat pada majlis ramah mesra bersama kartunis di Pasar Budaya, Kuala Lumpur, semalam. Turut hadir Sohaimi Shahadan (kiri) dan Abdul Azeez Abdul Rahim (dua, kanan).
KUALA LUMPUR 24 Jun - Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan penubuhan Yayasan Kartunis 1Malaysia bagi memajukan industri kartun dan animasi tempatan selain kebajikan para penggiat bidang berkenaan.
Perdana Menteri berkata, yayasan itu juga bertujuan menghargai peranan, sumbangan serta jasa para kartunis dalam membantu membangunkan perpaduan masyarakat melalui karya masing-masing.
Beliau turut mengumumkan peruntukan dana permulaan RM300,000 kepada yayasan itu yang disampaikan melalui Kelab Putera 1Malaysia (KP1M).
Katanya, para kartunis yang kebanyakannya kini telah mengubah wacana mereka kepada bidang animasi, berperanan penting dalam pembinaan negara bangsa dengan menerapkan mesej perpaduan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum dan agama.
"Tentu sekali bila saya ungkapkan Gagasan 1Malaysia, saya mahu para kartunis dapat menerapkan mesej 1Malaysia dan agenda transformasi negara di dalam karya mereka," katanya.
Beliau berucap pada Pameran Kartun dan Animasi 1Malaysia 2012 yang julung kali diadakan di pekarangan Pasar Seni, di sini hari ini.
Turut hadir Exco Pemuda UMNO, Datuk Sohaimi Shahadan dan Presiden Kelab Putera 1Malaysia, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim.
Acara anjuran bersama Konsortium Cartoonist At Work (CAW) dan KP1M itu direkodkan dalam Malaysia Book of Records (MBOR) sebagai Perhimpunan Terbesar Kartunis di negara ini, dengan mengumpulkan 356 orang penggiat bidang berkenaan.
Sementara itu, Perdana Menteri turut menyampaikan pelbagai hadiah sempena pameran dua hari berkenaan, termasuk 11 anugerah dalam bidang tersebut.
Kartunis Datuk Mohammad Nor Khalid atau Lat, yang dikenali melalui karya The Kampung Boy dianugerahkan Kartunis Sepanjang Zaman.
Turut menerima anugerah ialah 10 lagi kartunis dan animator termasuk Mior Sariman Mior Hassan bagi kategori Pencetus Revolusi Kartun; Jaafar Taib (Kartunis Dedikasi); Hassan Abd. Muthalib (Bapa Animasi Malaysia); Tan Sri Lim Kok Wing (Karyawan Inovatif) dan Reggie Lee (Kartunis Masyarakat Malaysia).



  

ARKIB : 05/08/2012

Bangga pencapaian animasi kita

ANIMASI atau juga dikenali sebagai kartun kebiasaannya begitu diminati oleh golongan kanak-kanak. Perwatakan setiap watak kartun yang dicipta oleh animator cukup menghiburkan penonton.
Perkembangan animasi negara kita juga dilihat semakin berkembang dan seiring dengan perkembangan teknologi animasi ketika ini.
Animasi di Malaysia bermula pada tahun 1946 dengan tertubuhnya Unit Filem Malaya sekarang dikenali sebagai Filem Negara. Filem animasi pendek yang pertama ialah Hikayat Sang Kancil dan ditayangkan pada tahun 1983.
Filem pendek yang muncul di antara tahun 1984 dan 1987 ialah Sang Kancil & Monyet, Sang Kancil & Buaya, Gagak Yang Bijak, Arnab Yang Sombong dan Singa Yang Haloba.
Gesaan kerajaan terhadap penggunaan teknologi digital pada awal 1980-an menyaksikan penghasilan siri animasi TV pertama, Usop Sontorian oleh Kamn Ismail (pada tahun 1993).
Manakala filem cereka animasi pertama, Silat Lagenda yang diarahkan oleh Hassan Muthalib ditayangkan pada tahun 1998.
Terkini, sebanyak 31 siri TV, empat telefilem dan tiga filem cereka telah dibuat dan paling membanggakan adalah beberapa daripada animasi tersebut telah dijual ke negara lain.
Karya beberapa kartunis juga telah diadaptasi kepada bentuk animasi antaranya karya Lat yang menghasilkan Kampong Boy .
Terkini, siri animasi Upin Ipin begitu dikenali di seluruh negara, watak dua orang adik beradik kembar yang ceria membuatkan siri ini tidak bosan untuk ditonton oleh penggemarnya.
Siri Upin Ipin ini juga menjadi identiti buat negara kita kerana begitu dikenali di negara-negara jiran antaranya Indonesia dan beberapa negara lain, budaya Melayu dan Malaysia yang diketengahkan menjadi tunjang kejayaan siri animasi ini.
Bukan sekadar hiburan semata-mata, isu dan persekitaran kampung yang dipaparkan dalam siri ini cukup untuk kita mengimbau kembali kenangan serta cara hidup sebenar di kampung.
Budaya Melayu yang ditonjol sebenarnya sudah cukup membuatkan siri ini diangkat sebagai salah satu identiti negara.
Upin Ipin merupakan keluaran sampingan bagi filem Geng: Pengembaraan Bermula yang juga menampilkan watak utama siri animasi tersebut.
Pada awalnya, Upin Ipin disiarkan sempena bulan Ramadan pada tahun 2007 di TV9 , dengan tujuan mendidik anak-anak agar menghayati erti bulan mulia.
Kini siri ini telah menjangkaui lima musim dan tidak terhad pada televisyen sahaja, bahkan juga dalam bentuk DVD dan penstriman video melalui Internet.
Atas kejayaan menambat hati penonton serantau, Upin Ipin disenaraikan dalam Malaysia Book of Records sebagai "Animasi Paling Berjaya" pada tahun 2011. Selepas filem Geng, watak Upin Ipin bakal membintangi sebuah lagi filem cetera berjudul Laksamana Upin Ipin yang dijangka keluar pada tahun ini.
Dalam pada itu, siri animasi Boboyboi juga tidak menghampakan kita, cara pengolahan serta jalan cerita cukup menghiburkan setanding siri animasi luar negara yang lain.
Sepatutnya, para penerbit serta pengarah filem cereka kita perlu mengambil contoh perkembangan yang telah di tunjukkan oleh filem animasi yang dibuktikan kehebatannya di pentas antarabangsa.
Suatu yang menarik mengenai animasi kita ialah mampu menggambarkan sosiobudaya masyarakat yang gagal dilakukan oleh filem cereka.





ARKIB : 17/07/2011

Animasi anak Malaysia di pentas dunia
Rentetan daripada itu, animasi Re-Entry telah pun mendapat pengiktirafan oleh Naib Presiden STS, Samuel Coniglio sebagai muzik video pelancongan angkasa pertama dunia melalui runut bunyi Ticket to the Moon yang dinyanyikan oleh kumpulan Subculture.


MUNGKIN ramai yang masih belum mengenali pemilik nama Norul Rafidi Zakaria ini. Di sebalik senyum yang tak putus-putus terukir di wajahnya itu, dia menyimpan cerita yang cukup menarik untuk membuatkan sesiapa sahaja buka mata.
Siapa sangka apa yang dikecapi oleh Rafidi cukup besar kesannya. Berpeluang mempersembahkan animasi filem Re-Entry Animated yang bakal ditayangkan di perjumpaan Persatuan Antarabangsa untuk Kemajuan Keselamatan Angkasa Lepas (IAASS) Kelima pada bulan Oktober ini, impiannya kini hanya tinggal selangkah sahaja lagi.
Dalam persidangan yang akan diadakan antara 17 hingga 19 Oktober di Paris itu, Rafidi bakal mempersembahkan filem animasi tiga minit (trailer) berkaitan dengan filem animasi pelancongan angkasa pertama dunia kepada pihak Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA), Agensi Angkasa Eropah (ESA), Agensi Penerokaan Aero-Angkasa Jepun (JAXA) serta para penerbit dan pengarah dari Hollywood.
Lantas peluang yang ada telah menjadikan Rafidi sebagai anak Malaysia pertama yang diberi peluang mempamerkan animasi sedemikian berdasarkan kandungan komik anime Jepun bertajuk Re-Entry.
Komik tersebut merupakan hasil ciptaan Profesor Dr. Patrick Collin yang juga merupakan pensyarah ekonomi dan sumber tenaga angkasa lepas di Universiti Azabu, Jepun di samping perunding untuk JAXA.
Apa yang terkandung dalam komik tersebut merupakan kisah pelancongan angkasa .
“Berpandukan komik Re-Entry tersebut, saya ambil dan jadikan dia animasi. Pada mulanya, animasi ini dibuat di dalam bentuk dua dimensi atau 2D (untuk watak) dan tiga dimensi atau 3D (untuk objek) selama tiga minit untuk Persatuan Pelancongan Angkasa Lepas - Bahagian Malaysia (STS-MC) untuk dibentangkan di IAASS Keempat di Hunville, Amerika Syarikat pada 19 Mei 2010.
“Banyak perkara yang perlu saya perbaiki melalui trailer pertama itu. Ramai nama-nama besar dunia yang berpendapat ada penambahbaikan dan perician yang boleh saya laksanakan untuk memperbaikinya.
“Rentetan daripada itu, animasi Re-Entry telah pun mendapat pengiktirafan oleh Naib Presiden STS, Samuel Coniglio sebagai muzik video pelancongan angkasa pertama dunia melalui runut bunyi Ticket to the Moon yang dinyanyikan oleh kumpulan Subculture.
“Sehingga hari ini, pasukan saya telah siap membangunkan lebih 70 peratus versi baru animasi Re-Entry untuk dipersembahkan pada bulan Oktober nanti, sepenuhnya dalam bentuk 3D,” kata lelaki asal Taiping, Perak ini lagi.
Animasi ini berkonsepkan aksi dan adventure bertemakan masa akan datang di Malaysia di mana pelancongan angkasa telah berkembang pesat dan menjadi salah satu penyumbang ekonomi negara.
Animasi ini mempamerkan bagaimana takjubnya kehidupan pelancong yang datang melawat angkasa seterusnya dapat menginap di hotel angkasa. Pelbagai paparan turut diperlihatkan bagaimana pentingnya bidang industri ini termasuklah mencipta pekerjaan yang baru untuk mereka teroka.
Ini bukan satu angan-angan kosong memandangkan segala-galanya yang penuh dengan pendidikan sains angkasa seterusnya menunjukkan pelbagai ruang yang boleh dicipta dengan konsep dunia pembangunan angkasa lepas tanpa sempadan.
Bercerita mengenai isi kandungan pula, Rafidi menjelaskan animasi tersebut bukan direka secara suka-suka sebaliknya idea tersebut turut datang daripada Presiden STS-MC, Norul Ridzuan yang juga merupakan bekas pengarah Planetarium Negara.
Animasi ini turut diiktiraf sebagai penggerak atau perintis animasi yang berkonsepkan Pelancongan Angkasa pertama dunia oleh Pengasas dan Presiden STS sendiri, John Spencer yang juga adalah Arkitek Angkasa NASA.
Tidak melihat animasi ini sebagai kejayaan peribadi semata-mata, Rafidi cukup mengharapkan agar apa yang diimpikan oleh jutaan penduduk dunia yang mahu menjadi pelancong angkasa akan terlaksana tak lama lagi.
Selaku pengarah dan pemegang hak harta intelek (IP) untuk animasi ini, Rafidi juga telah membuka peluang kepada sekumpulan anak Melayu yang berbakat menyumbang idea ilustrasi untuk Re-Entry Animated.
Dengan kerjasama kelab pengumpul figura CShot, sebuah buku idea dan ilustrasi untuk animasi tersebut bakal dikemukakan pada persidangan IAASS di Paris.Animasi ini juga boleh dijadikan rujukan para pelajar kerana isi kandungnya adalah berdasarkan sains angkasa sebenar yang direalisasikan melalui animasi.
“Persidangan itu juga turut akan dihadiri oleh pelbagai pakar bidang sains angkasa daripada NASA, ESA, JAXA, cerdik pandai daripada universiti seluruh dunia dan juga penggiat serta pembuat filem-filem antarabangsa.
“Banyak perancangan yang telah kita lakukan untuk projek ini. Untuk animasi berkenaan, kita masih menggunakan lagu kumpulan Subculture dan tiga lagi lagu nyanyian Xtrotoyz. Kalau tak ada masalah, projek filem animasi penuh album runut bunyi Re-Entry Animated akan kita lancarkan di Paris selepas persidangan tersebut,” kata Rafidi yang cukup berterima kasih apabila akhbar Kumpulan Utusan menjadi media rasmi bagi projek ini.
Animasi Re-Entry merupakan produk Triangle O Sdn. Bhd. yang kini membuka pintu untuk penaja dan pelabur tempatan turut serta dalam projek berkenaan yang dijangka dapat disiapkan sepenuhnya dalam tempoh dua tahun. Bagi mereka yang berminat turut serta boleh melayari www.re-entry.com.my atau Facebook/Re Entry Animated.

0 comments:

Post a Comment